SUKAR untuk manusia menyorok bahasa tubuh, lebih-lebih lagi kalau mereka itu pasangan kekasih. Perkara inilah yang terlihat apabila Zizan Razak dan Emma Maembong dipertemukan dalam satu sesi fotografi khas bagi sambutan Aidilfitri kali ini.
Biarpun sebarang pengesahan konkrit mengenai status hubungan mereka belum pernah terpacul daripada mulut kedua-dua pihak yang lebih selesa membiarkan ia menjadi spekulasi bertebaran, sentuhan mesra berbaur sayang tetap tergambar daripada gerak laku dan renungan mata mereka.
Bagaimanapun, menyedari mereka sentiasa diperhatikan, Zizan dan Emma kadangkala cuba mengawal pergerakan mereka. Apa yang pasti, Zizan walaupun selalu memberikan ‘all out’ ketika di pentas, namun untuk bercerita soal hati, ia tidak sama sekali. Dia memang kuat berahsia!
Mungkin juga Zizan memiliki pendirian tegas tidak mahu berbicara berlebihan mengenai sesuatu hal yang belum pasti. Emma yang mula mencuri perhatian ramai kerana bakat dan kecantikan yang dimiliki, juga sama seperti kebanyakan wanita lain, lebih suka pihak lelaki yang membuat pengesahan.
Sekadar mengimbas gosip yang pernah menghimpit Zizan dan pelakon tidak kurang menawan, Juliana Evans, bintang Hantu Kapcai itu lebih senang menyifatkan hubungan mereka sebagai teman tapi mesra saja.
Namun, andai menghalusi selera Zizan yang semacam lebih tertarik kepada gadis-gadis berdarah kacukan, tidak mustahil Emma adalah ‘type’ gadis idamannya.
Sejauh manapun spekulasi yang ingin dibuat, ia tidak boleh disahkan selagi tuan punya badan belum bersedia atau mahu membuat sebarang kenyataan rasmi. Kita juga tidak boleh memaksa.
Pun begitu, bercakap sebagai seorang lelaki normal, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 29, akui gadis secantik Emma pastinya ingin dimiliki mana-mana lelaki sebagai kekasih atau isteri.
“Saya perlulah realistik dalam hal ini. Kalau bukan saya sekalipun, mana-mana lelaki pasti akan jatuh hati melihat Emma kerana dia cantik. Sifatnya juga sangat feminin.
“Mengenali Emma sepanjang dia menjadi artis naungan Wire Fame Entertainment (WFE), saya juga sifatkan dia seorang yang senang untuk berurusan, mendengar kata dan tidak mendatangkan masalah.
“Sikap Emma itu menambah lagi tarikan yang pada dirinya selain paras rupa menawan. Alhamdulillah, artis WFE yang lain seperti Johan As’ari, Cha Cha Maembong dan Kaka Azraff, semuanya menyenangkan hati saya. Saya bertuah kerana mempunyai artis baik dan berbakat seperti mereka.
“Berbalik pada isu antara saya dan Emma, sesiapapun wanita yang tertulis untuk saya termasuklah dia (Emma), saya akan terima dengan hati terbuka kalau itu sudah jodoh. Kita faham jodoh itu urusan Allah SWT.
“Cuma, saya punya pendirian, kalau sesuatu perkara itu benar-benar sudah pasti, barulah lebih elok diceritakan kepada umum. Jika tidak, lebih baik ‘zip’ saja mulut kerana kalau tak jadi nanti, diri sendiri juga yang malu!” kata Zizan yang semakin pandai menyusun kata.
Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 21, sebagaimana nama yang tercatat dalam kad pengenalannya, bersetuju dengan pendapat Zizan, untuk tidak membicarakan soal hati jika perancangan ke satu fasa yang serius belum pernah dibincangkan.
“Emma masih lagi muda, baru 21 tahun dan masih bersemangat untuk mengejar cita-cita selain mahu menimba sebanyak mana pengalaman yang boleh.
“Tidak dinafikan jodoh tidak mengenal usia tetapi selagi kita hanya bersahabat dan tidak punya perancangan ke arah yang lebih serius, baiklah kita elak bercerita.
“Namun begitu, Emma akui Zizan antara kawan lelaki yang Emma rapat ketika ini. Apatah lagi, sebagai majikan Zizan sangat mengambil berat kebajikan artis naungannya. Zizan dan pengurusnya, Kak Marina Juki serta Abang Faliq melayani kami seperti keluarga mereka.
“Kalau hendak cakap soal tarikan, siapa yang tidak suka Zizan? Dia suka sangat buat lawak dan menghiburkan orang, semestinya gadis dan wanita suka akan lelaki yang boleh menceriakan hari-hari mereka.
“Bukan itu saja, saya lihat satu kualiti yang amat bernilai dalam diri seorang lelaki seperti Zizan apabila tahu menghormati orang tua.
“Zizan sangat menghormati dan menyayangi ibunya. Saya percaya, kalau dia berkahwin nanti, dia akan berbuat hal yang sama kepada isterinya juga anak-anak kerana ibu dan ayahnya berjaya mendidiknya sebagai seorang yang berbudi bahasa,” katanya.
Zizan dan Emma yang meraikan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing di Terengganu, ditemui sempena rakaman program Diva@1, Diva Raya Bersama Wire Fame Entertainment.
Program itu bakal ke udara pada 18 Ogos ini jam 12.05 tengah hari di TV1. Ia menjalani rakamannya di suite mewah terletak di tingkat 38, PNB Darby Park Executive Suites.
Menghala perbualan pada topik kerjaya, sepanjang Aidilfitri, Zizan kini muncul dalam program raya seperti animasi, Smurfs 2, pada hari raya pertama, Karlos Raya TV3 dengan menjadi bintang undangan, Melodi Raya, Fuyoo Raya dan Kecoh Pengacara Beraya.
Emma pula, bakal mencuit perasaan penonton menerusi dua telemovie dan salah satu daripadanya Menantu Raya yang akan disiarkan TV3 pada raya kedua, jam 10.30 pagi diikuti Satu Hari Di Hari Raya, pada raya keempat, jam 4 petang.
hMetro
No comments
Post a Comment