Pengacara terkenal Ellen DeGeneres bakal kembali ke pentas Oscar tahun hadapan selepas kali terakhir mengacarakannya pada tahun 2007.
Dipetik daripada laporan The Huffington Post, berita ini telah diumumkan oleh DeGeneres sendiri menerusi akaun Twitter miliknya.
"Ia rasmi! Saya akan mengacarakan Oscar 2014! Terima kasih kepada Oscar, isteri saya Portia dan juga orkestra!
"Saya sangat teruja kerana diberi peluang mengacara Oscar buat kali kedua," ujarnya.
Penerbit Anugerah Akademi, Craig Zadan dan Neil Moron yang telah dikritik dengan pemilihan Seth MacFarlane sebagai pengacara tahun ini teruja kerana dapat bekerjasama dengan pengacara berusia 55 tahun itu.
"Kami teruja kerana Ellen DeGeneres dipilih mengacarakan Oscar. Sebagai rakan lama, kami sentiasa berharap dapat mencari sebuah projek untuk dilakukan bersama dan tiada apa yang lebih mengujakan daripada bergandingan untuk Oscar.
"Ellen mempunyai bakat dalam komedi dengan cara penyampaiannya yang bersahaja dan menyenangkan. Dia disayangi ramai dan kami berharap semua penonton seluruh dunia akan gembira dengan berita ini seperti kami," ujar Zadan dan Moron seperti dipetik dari kenyataan media.
Anugerah Akademi ke-86 bakal disiarkan pada 2 Mac 2014 secara langsung di Panggung Dolby, Los Angeles.
No comments
Post a Comment