Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi



NAMPAKNYA budaya selfie di negara ini bukan setakat di bangunan-bangunan tinggi sahaja, sebaliknya hingga ke tengah jalan yang sedang sesak.

Gambar seorang gadis cantik yang melakukan perkara itu kini sedang viral di laman sosial khususnya Facebook dan Twitter.

Tindakannya itu mendapat pelbagai komen daripada para netizen.
Ada yang menganggap perbuatan gadis itu sebagai perkara biasa yang tidak perlu diperbesar-besarkan, namun ada juga yang menganggap ia sebagai berbahaya.

Bagi kami pula, biarpun kereta tidak dapat bergerak akibat kesesakan, jangan lupa risiko dilanggar motosikal tetap ada.

Berpada-padalah ya! Nanti tak pasal-pasal pula jadi tragedi selfie…



Di rumah anda pasti tidak ada sebuah bilik mandi dilengkapi dengan tilam getah dan dipasang televisyen berskrin rata LCD di bahagian atas.
Itulah keadaan sebuah bilik mandi di dalam sebuah pusat urut yang terdapat di Danau Desa di Seputeh, Kuala Lumpur.

Rekaan bilik mandi itu memang mencurigakan dengan alat kelengkapan mandi yang boleh menghasilkan buih yang banyak berada di atas lantai ruang kecil berkenaan.
Bilik mandi itu ditemui pihak berkuasa dalam satu Operasi Bersepadu Membanteras Aktiviti Haram di sekitar Kuala Lumpur melibatkan enam kawasan Parlimen.

Ketika diserbu, pusat urut yang menempatkan bilik mandi berkenaan didapati berkunci dan gelap di bahagian luar bagaimanapun di bahagian dalam premis terasa penghawa dingin berfungsi dan lampu dinyalakan.

Pihak berkuasa dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudiannya terpaksa memecahkan pintu kaca ke premis itu menggunakan besi dan premis itu didapati sudah pun dikosongkan.

Selain DBKL, operasi berkenaan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Daripada pemeriksaan, dipercayai penjaga premis dan tukang urut telah berjaya melarikan diri sebelum premis mereka diserbu.



Menurut pihak berkuasa, bilik mandi berkenaan digunakan pemilik premis berkenaan menyediakan perkhidmatan seks berserta mandi buih di atas tilam secara bogel di antara tukang urut dan pelanggan.

Tidak diketahui, kegunaan televisyen LCD berkenaan tetapi menurut pihak berkuasa, ia digunakan untuk menonton DVD dan mungkin juga menonton filem lucah.

Dalam operasi berkenaan, premis itu telah dikenalpasti tidak hanya menyediakan perkhidmatan urut tetapi merupakan sebuah pusat pelacuran.
Para pelanggan boleh pula melihat aksi mereka bersama tukang urut melalui dua cermin yang dipasang saling bertentangan betul-betul tinggi sedikit dari paras lantai.



Pemeriksaan lanjut juga mendapati bilik-bilik kecil yang ada di dalam pusat urut itu kelihatan berselerak seperti baru sahaja ditinggalkan secara tergesa-gesa.
Pakaian dalam yang dilengkapi manik berkelipan turut kelihatan di dalam satu bilik di dalam pusat urut itu dipercayai untuk menambah keghairahan kepada pelanggan.

Pusat urut merupakan satu antara 127 buah pusat yang diserbu dalam operasi berkenaan yang melibatkan hampir 1,000 anggota bermula pukul 9 malam tadi hingga pukul 7 pagi ini.
Selain pusat urut, pihak berkuasa turut menjalankan pemeriksaan kepada 177 buah kafe siber bagi membanteras aktiviti perjudian haram.

 


SAH nikah! Itulah status komposer terkenal Datuk Ramli MS dan penyanyi Alyah sejak lebih setahun yang lalu.

Perkara itu didedahkan menerusi laporan Berita Harian selepas sembilan pegawai JAIS mengunjungi kediaman mewah komposer itu di Bandar Kinrara, pagi tadi.
Ketika itu, kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi milik Alyah berada di kediaman itu dan penyanyi itu sendiri berada di dalam banglo tersebut.

Laporan itu turut menyebut Ramli dan Alyah sudah bernikah di Batam, Indonesia, namun belum mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

Menurut sumber, pasangan itu akan ke pejabat JAIS untuk memberikan kenyataan serta bukti pernikahan bagi tujuan pendaftaran.

Pada masa yang sama, Ramli dikhabarkan tenang dan ketawa ketika mengiringi para pegawai tersebut keluar dari kediamannya.

Apapun, pendedahan ini secara tidak langsung sudah menjawab persoalan mengenai status Ramli dan Alyah selama ini.
Cuma peliknya, mengapa susah sangat hendak mengaku bernikah ya? Hmm…



BEIJING - Seorang lelaki masih hidup walaupun kepalanya ditembusi pancang besi yang terjatuh ketika dia mengubah suai rumahnya di wilayah Guangxi baru-baru ini, lapor MailOnline kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ho, 50, tertusuk besi sepanjang lebih setengah meter di bahagian kanan dahi dan menembusi rahang kirinya baru-baru ini.
Ketika kejadian, Ho sedang mengubah suai rumahnya apabila tertusuk pancang besi tersebut.

Beberapa doktor yang merawat lelaki itu berkata, mereka terkejut melihat mangsa bukan sahaja masih hidup tetapi berada dalam keadaan sedar ketika di bawa ke sebuah hospital di wilayah ini.

Doktor-doktor terpaksa memanggil pasukan bomba untuk memotong sebahagian besi itu sebelum membuat satu pembedahan rumit bagi mengeluarkan objek daripada kepala mangsa.

Seorang doktor berkata, Ho bernasib baik kerana besi itu tidak mengenai otak atau organ penting lain yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mati.
"Keadaan pesakit kini semakin baik dan dia mungkin dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi," katanya. - Agensi




Jakarta: Kebiasaan seorang budak lelaki yang hanya mahu ditemani ular ketika tidur mengejutkan ramai orang dan menjadikan rumah mereka di Malimongan, Makassar tumpuan ramai.

Bagi Dhiaz Ahmad Zidan, 2, teman paling disenangi untuk melelapkan mata ialah ular sawa seberat 40 kilogram yang dilayannya seperti patung mainan. 
Selain itu, ada 28 ular lain yang menjadi haiwan peliharaan ibu bapanya, Fatimah, 36, dan Yudhi Pramono, 38.
Pada ketika lain Dhiaz menjadikan ular berkenaan sebagai peneman untuk bermain-main.  
Kata Yudhi, setiap kali Dhiaz mahu tidur budak itu akan gelisah jika tiada ular menjadi peneman.

“Hanya selepas dia puas bermain dengan ular, barulah haiwan itu saya simpan di dalam sangkar,” katanya.

Jika tidak dilayan begitu, kata Yudhi, Dhiaz akan menangis.

Katanya, kebiasaan tidur ditemani ular mula terjadi sejak Dhiaz berusia 2 bulan.
“Kebiasaan itu menyebabkan jiran tetangga takut atau geli,” katanya.

Selain ular sawa Yudhi dan Fatimah turut membela beberapa ular jenis lain termasuk yang berbisa.

‘Teman’ paling akrab Dhiaz ialah ular sawa sepanjang 4.25 meter yang berusia 14 tahun.

Yudhi menjadikan ular ditemuinya di beberapa daerah di Indonesia sebagai koleksi.

Kata Yudhi hobi membela ular itu diwarisi daripada neneknya.

“Bagi kami, ular ini seperti sebahagian daripada keluarga,” katanya.- Agensi


Rudraprayag (India): Seorang wanita berusia 54 tahun membunuh seekor harimau bintang dengan hanya mengguna peralatan kebun selepas haiwan itu menyerangnya ketika dia dalam perjalanan pulang dari ladang.

Kamla Devi yang cedera selepas bertarung selama kira-kira sejam dengan haiwan itu berhampiran kampungnya di daerah Rudraprayag, Uttarakhand Ahad lalu, kini dirawat di hospital. 

Ibu satu anak itu hanya mengguna sabit dan penyodok kecil untuk melawan harimau bintang berkenaan sebelum berjalan kira-kira setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.
Dia mengalami luka yang dalam dan patah di tiga bahagian tubuhnya serta kehilangan banyak darah sebelum tiba di hospital.  
Haiwan itu kemudiannya ditemui mati berhampiran kampungnya, Koti Bodna.

Pakar hidupan liar, Lakhpat Rawal berkata, dia terkejut dengan masa bertarung yang begitu lama.

“Harimau bintang biasanya akan berundur jika mendapati mangsanya kuat. Biasanya, serangan itu hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit.

“Mungkin harimau bintang itu terlalu tua atau terlalu muda dan tidak berpengalaman.

“Mungkin juga haiwan itu terdorong untuk terus menyerang dengan harapan untuk membunuh wanita itu selepas melihat terlalu banyak kecederaan pada tubuh mangsa,” katanya.

Kamla yang kematian suami 30 tahun lalu bagaimanapun memberitahu media tempatan, dia masih ingat keseluruhan kejadian dan tempoh masa ia berlaku.

Kakitangan perubatan berkata, walaupun keadaan wanita itu stabil, dia terpaksa menjalani lebih 100 jahitan memandangkan luka yang dalam pada kepala dan kakinya.

Dia juga dirawat kerana patah tulang tangan kanan dan kiri.- Agensi


Selepas berkahwin dan memiliki anak, pelakon dan peng­acara Faezah Elai mengakui dia le­bih selektif dengan watak ditawarkan dalam drama dan filem ketika ini.

Menurut isteri kepada pengarah drama, Heykal Hanifah, 41, ini, dia juga terpaksa menolak babak panas dan ranjang untuk menjaga statusnya sebagai isteri sekali gus nama baik keluarga kedua-dua belah pihak.

“Sebelum ini, saya pernah berlakon watak suami isteri bergandingan dengan Rusdi Ramli yang juga arahan Heykal tetapi tiada babak panas pun. Saya percaya, tidak semestinya ada babak peluk dan pegang-pegang untuk menggambarkan kemesraan suami isteri dalam drama mahupun filem.

“Ada banyak cara atau simbolik untuk kita menunjukkan kemesraan dalam hubungan suami isteri dalam drama atau filem dan ia bergantung pada kreativiti seseorang pengarah itu,” katanya.

Terus terang, kata pemilik nama sebenar Noor Faezah Elai, 32, ini, dia juga lebih selesa berlakon dalam produksi suaminya sendiri selepas berkahwin.

“Apabila berlakon dalam produksi sendiri kita juga boleh memilih watak yang sesuai untuk dilakonkan. Pada masa sama, saya juga boleh mengatur masa dengan baik dan berlakon mengikut kelapangan. Terbaru, saya bakal beraksi dalam drama arahan suami tidak lama lagi,” katanya.


Kuala Pilah: Lapan lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas lapan pertuduhan membabitkan samun berkumpulan, bersenjata dan mencuri pelbagai jenis kenderaan, sejak Mei lalu.

Semua tertuduh yang berasal dari Lombok, Indonesia itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Lapan tertuduh itu, Okfi Dian Narta, Andika Jefri Adi, Satriawan, Suherman Mahsan, Sarinah, Muhsin, Fathur Sikir dan Muhiban tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan membabitkan samun berkumpulan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap tiga individu berbeza membabitkan kerugian RM84,500.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Londah, FELDA Jelai dan FELDA Bukit Rokan Utara, Tampin, dekat sini, antara jam 3.30 pagi hingga 4.15 pagi pada 13 Jun dan 2 Julai lalu.


Bagan Serai: Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan maut selepas tersepit apabila kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 177, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi, mangsa, Ariq Syahmi Abdul Karim maut di tempat kejadian selepas kenderaan Nissan Sentra yang dipandu bapanya, Abdul Karim Abu Bakar, 38, hilang kawalan selepas gagal memotong sebuah lori simen sebelum terbabas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbalik ke sebelah kanan jalan sebelum sebuah kenderaan Toyota Hiace milik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Batu Kurau yang dalam perjalanan menghadiri satu sesi perbicaraan di Kangar, Perlis dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan terbabit.

Kemalangan itu menyebabkan bayi berkenaan yang dipercayai berada di pangkuan ibunya, Mimi Suhaila Wahab, 36, maut akibat tersepit di tempat kejadian manakala seorang kakak mangsa, Amirah Sofea, 9, mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar sebelum dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

“Bapa mangsa, Abdul Karim serta seorang lagi kakak mangsa, Nur Faqihah Farahiyah, 10, hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar,” katanya.


DARIPADA sebesar-besar tugas memadamkan kebakaran, hinggalah sekecil-kecilnya seperti menyelamatkan kucing.

Itulah keistimewaan mereka yang bertugas dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.'

Terbaru menerusi Facebook rasmi jabatan tersebut, anggota bomba di Sabah sempat membantu seorang wanita yang bersalin dalam kereta di tepi jalan.'

Kebetulan sebuah ambulans yang datang dari Kota Belud lalu di tempat kejadian dan mereka terus menahannya.
Berikut antara gambar yang telah dikongsikan:





Walaupun tidak menyediakan perkhidmatan pandu lalu (drive thru) medan selera pasar raya Mydin Jasin, Melaka semalam diterjah sebuah kereta jenis Honda City.



Akibatnya kerusi meja bertaburan dilanggar kereta jenis Honda City berwarna putih tersebut.








Selepas diperiksa insiden tersebut berlaku gara-gara pemandu tersilap masuk gear hingga kereta meluru ke depan tanpa dapat dikawal.

Sesungguhnya kejadian ini amat memalukan bagi seorang pemandu yang mempunyai lesen sah bukan lesen terbang.

Justeru nasihat kami, hati-hatilah memandu dan amalkan sikap tenang sejak awal pemanduan untuk elak perkara seperti ini menimpa anda. - MYNEWSHUB.MY



Tak dapat dinafikan ramai kurang setuju dengan tindakan ibu bapa pada hari ini yang gemar menyalahkan guru apabila anak mereka dimarahi di sekolah.

Kebanyakannya memberi dalil zaman dahulu guru pukul anak murid juga tapi sudahnya baru mereka jadi manusia.

Kami pun setuju bahawa guru harus diberi kebebasan mengajar murid termasuk mengajar dengan memukul dan memberi denda jika terlalu nakal tapi agak-agak jugalah kan.

Kalau dah bagi penampar sampai berbekas kesan jari ini rasanya bukan memukul dengan niat mahu mengajar tapi lebih kepada mengikut perasaan marah.

Kini gambar kanak-kanak yang baru berusia 7 tahun didakwa murid sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang dengan kesan tamparan di pipi ini telah tersebar di laman-laman sosial.



Difahamkan susulan kejadian ini, pemeriksaan di Hospital Besar Pulau Pinang serta laporan polis telah dibuat sebelum dibawa ke pengetahuan JPN dan kementerian pendidikan.
Kami harap selepas ini guru akan lebih sabar dalam mendidik anak-anak apatah lagi yang masih kecil seperti ini manakala ibu bapa pula, jalinkanlah hubungan baik dengan pihak sekolah dan guru anak anda demi kebaikan bersama.