Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi


Nanjing: Seorang wanita yang terjun ke dalam sungai dalam keadaan berbogel di bandar ini berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki dan dijaga dengan baik oleh orang ramai yang berkerumun di tebing.

Lelaki yang menyelamatkan wanita itu bagaimanapun tidak dihiraukan.

Wanita itu dilihat terjun ke dalam sungai berkenaan petang kelmarin.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki turut dilihat terjun ke dalam sungai itu untuk menyelamatkannya.

Gambar di laman web di China menunjukkan orang ramai mengerumuni wanita itu selepas dia berjaya ditarik naik ke atas.

Mereka bagaimanapun tidak mempedulikan lelaki yang menyelamat wanita itu hingga dia terpaksa memanjat sendiri untuk naik ke tebing.

Menurut laporan, penyelamat itu ialah pelajar sebuah universiti di Nanjing. - Agensi

SANDAKAN – Sebanyak 12 orang daripada tiga keluarga dipindahkan selepas rumah mereka dilanda banjir kilat di simpang Rancangan Sungai Manila Batu 12, di sini pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata mangsa yang berpindah ke rumah saudara masing-masing pada 8.15 pagi itu terdiri daripada lima dewasa, empat warga emas, dua kanak-kanak dan seorang bayi.
Pemantauan terus dilakukan di beberapa kawasan di daerah ini yang dinaiki banjir kilat khususnya, jika memerlukan operasi pemindahan mangsa, katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya banjir kilat turut menyebabkan beberapa jalan tidak boleh dilalui kenderaan antaranya Jalan Sim-Sim, Jalan BDC di Batu Satu, Jalan Sepilok di Batu 14 dan Jalan Gum-Gum di Batu 16.
Dalam pada itu, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo di Sepilok ditutup hari ini berikutan kawasan sekitar pusat berkenaan dilanda banjir kilat.
Ketua Pegawai Eksekutif pusat itu Wong Siew Te berkata sekiranya air banjir surut hari ini, pusat berkenaan akan dibuka semula esok. – BERNAMA


PETALING JAYA: Komposer dan penulis lirik lagu Sesal Separuh Nyawa yang dinyanyikan Alyah menyangkal tuduhan kononnya merancang kontroversi untuk mempromosikan lagu berkenaan yang bakal dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) yang bakal berlangsung Ahad ini.

Penulis liriknya, Shah Shamsiri berkata, kontroversi yang tercetus melibatkan Alyah dan suaminya Datuk Ramli MS adalah isu peribadi yang tiada kaitan dengan gimik untuk meraih simpati masyarakat dalam pertandingan itu nanti.

"Ramai yang tanya saya adakah ia satu gimik untuk AJL29 ini memandangkan terlalu ramai yang buat gimik akhir-akhir ini untuk menarik perhatian penonton.

"Tetapi, bagi saya ia adalah hal peribadi mereka dan tidak mungkin perkara itu dibuat sebagai gimik untuk tarik perhatian penonton," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Shah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persepsi segelintir masyarakat yang menganggap perkara tersebut sebagai gimik semata-mata menarik penonton menyaksikan pertandingan AJL29 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad ini.

Terdahulu, pada Ahad lalu Alyah mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar suaminya Datuk Ramli MS bersama seorang wanita di Instagram dengan kapsyen seolah-olah Ramli telah mempermainkan hatinya.

Status itu kemudiannya mendapat perhatian umum dan beberapa jam selepas itu Alyah memuat naik gambarnya bersama suami dengan menjelaskan bahawa dia terlalu beremosi sehingga membuat kesilapan tersebut.

Dalam pada itu, Shah memberitahu pada awalnya mereka agak bimbang mengenai kemerosotan persembahan Alyah dalam menyampaikan lagu berkenaan.

Bagaimanapun, penyanyi itu sudah memberi keyakinan kepadanya, komposer Aidil Zamri dan Alfie untuk mempersembahkan karya berkenaan sebaik mungkin.

"Ketika tercetuskan kontroversi ini saya agak bimbang memikirkan persembahan Alyah kerana takut fokus dia untuk malam tersebut terganggu namun dia telah meyakinkan kami untuk menyampaikan lagu tersebut sehabis baik.

"Saya beritahu dia agar luahkan segala perasaan yang terpandam itu di atas pentas dan tunjukkan kepada masyarakat tahap profesionalnya dia sebagai seorang artis berpengalaman," katanya.

Dalam pada itu, komposer lagu tersebut, Aidil Zamri berkata, pengalaman Alyah sebagai penyanyi selama 14 tahun dengan melalui pelbagai dugaan sebelum ini membuatkan dia yakin penyanyi itu mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Dia juga mengenali Alyah sebagai seorang wanita cekal yang mempunyai jati diri tinggi.

"Saya tidak risau kerana dia seorang yang kuat jati diri serta tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya. Bagi saya dia sudah melalui pelbagai dugaan selama 14 tahun menjadi artis.

"Bagi saya apa yang berlaku adalah ujian Allah kepada hambanya yang dirasakan kuat untuk berhadapan dengan ujian itu," katanya.- mStar Online

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah tampil menjawab kenapa pihak Polis Di Raja Malaysia(PDRM) tidak menahan Ibrahim Ali Dan Mashitah Ibrahim selepas dibangkitkan DAP sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam telah mencabar Khalid supaya menangkap Ibrahim dan Mashitah kerana didakwa telah menyentuh hal keharmonian kaum sebelum ini dan memberitahu Khalid supaya tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam  menjaga keharmonian kaum di Malaysia

Cabaran ini dibuat susulan penahanan peguam Eric Paulsen semalam selepas peguam tersebut dipercayai telah mengeluarkan kenyataan beransur hinaan dan hasutan selepas menuduh pihak JAKIM menyediakan teks khutbah yang menggalakan aktiviti extrimis.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali sebelum ini telah menyeru ummat islam untuk membakar Bible telah dialih bahasa kepada bahasa Melayu dan terdapat perkataan ALLAH.

Menurut Khalid, mengenai kes Presiden PERKASA ini adalah sesuatu yang sudah tidak perlu disentuh kerana teah dijelaskan oleh peguam negara sebelum ini.

Manakala kes berkaitan bekas menteri iaitu Mashitah Ibrahim yang telah mendakwa terdapat aktiviti membakar al-Quran telah berlaku di Kedah.

Dalam kes Mashitah pula Khalid menerangkan pihak PDRM  tidak dapat menangkap beliau kerana kes tersebut disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang tidak memperuntukkan tindakan itu.

"Oleh itu tuduhan Lim Guan Eng berhubung PDRM mengamalkan sikap pilih kasih adalah tidak benar," Katanya.

Holly Aston, 20, tidak pernah menyangka parti tatu yang dihadirinya tiga tahun lalu mengubah hidupnya dalam sekelip mata.
Alkisahnya, dia telah memberi keizinan kepada beberapa rakan untuk mencacah tatu di bahunya dengan menggunakan pencacah yang dibelinya di internet.
Dek kerana kesemua mereka dalam keadaan mabuk, Holly tidak menyedari yang salah seorang daripada rakannya itu mencacah tatu bercorak kemaluan lelaki di bahunya itu.
“Sebaik sahaja terjaga daripada tidur pada keesokan harinya, saya melihat tatu tersebut dan berfikir, apa yang telah saya lakukan?” katanya, memetik Mail Online.
Bimbang diketahui ibu bapanya, Holly terpaksa membatalkan beberapa percutian bersama keluarga dan juga menutup tatu tersebut dengan pelekat kerana tidak mahu dilihat oleh kanak-kanak.
Dia juga tidak mampu untuk membuang tatu tersebut kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
Bagaimanapun, kemunculannya untuk program televisyen Bodyshockers: Nips, Tucks and Tattoos baru-baru ini umpama memberi kehidupan baru kepadanya apabila pihak produksi sanggup membiayai kos membuang tatu tersebut.
Pada masa yang sama juga, Holly turut memberanikan diri membuka rahsia tatu kemaluan itu kepada keluarganya.
Mujurlah mereka dapat menerima penjelasannya itu dan dia kini sedang menjalani sesi kelima pembuangan tatu tersebut. 


BEIJING – Seorang lelaki China di Shenzen, wilayah Guangdong yang berjiran dengan Hong Kong tiba-tiba berjaya sedar daripada koma lebih setahun hanya setelah doktor mengipaskan beberapa keping wang kertas di bawah hidung pesakit tersebut.
Xiao Li yang kini berusia 30 tahun dilaporkan jatuh pengsan selepas menghabiskan waktu hampir seminggu tanpa tidur di sebuah kafe siber untuk mencari idea perniagaannya dan kemudian dia berada dalam keadaan koma sejak Ogos 2013.
Lelaki itu dirawat di sebuah hospital di Shenzen hampir setahun sehinggalah pada suatu hari, doktor memutuskan untuk mengibaskan beberapa helaian wang kertas tempatan dekat lubang hidungnya sebagai ikhtiar menyedarkan Xiao Li daripada koma.
Keputusan pelik itu diambil setelah keluarga lelaki tersebut mengatakan Xiao Li sangat ‘mencintai’ wang dan ternyata memang benar berlaku keajaiban, apabila bau daripada wang kertas China itu berjaya memulihkan pesakit berkenaan.
“Kami bertanya kepada keluarganya apakah perkara yang paling dicintai Xiao Li dan mereka secara berjenaka mendakwa lelaki ini sangat ‘mencintai’ wang, maka kami pun terus mencuba kaedah unik itu,” kata salah seorang staf perubatan, Dr. Liu Tang.
Doktor pada mulanya menggunakan duit syiling yuan nilai paling rendah tetapi tidak berjaya sebelum nilai denominasi dinaikkan kepada wang kertas sehingga mencapai mata wang baharu 100 yuan yang memang diketahui ada bau tekstur kuat tersendiri.
Dr. Liu berkata, mereka menyaksikan Xiao Li tiba-tiba menggerakkan jari tangannya ketika dia cuba ‘menangkap’ wang kertas 100 yuan itu dengan kelopak matanya seperti berkedip-kedip sebelum disahkan sedar sepenuhnya daripada koma.
“Hal ini sangat luar biasa dan saya belum pernah melihat keadaan semacam ini selama 20 tahun menjadi doktor, malah ingatan Xiao Li terhadap bau serta suara wang kertas merupakan perangsang yang cukup luar biasa,” ujar beliau lagi.
Xiao Li kini masih lagi meneruskan terapi di atas katil di hospital berkenaan, namun perlahan-lahan keadaan kesihatannya terus baik dan dia hanya perlu dirawat beberapa waktu lagi sebelum diizinkan pulang ke rumahnya. – Agensi

Guandong : Seorang lelaki dari Hong Kong telah ditahan oleh pegawai kastam di pelabuhan Futian di Shenzhen di sini kerana menyeludup 94 buah iPhone yang diikat pada badannya pada 11 Januari lalu.

Lelaki tersebut yang memakai jaket sukan berwarna merah dan 'sweatpants', menyerah diri kepada pegawai tersebut sambil berjalan dalam keadaan yang pelik.

Menurut laporan, alat pengesan besi di pintu tidak berfungsi ketika dia sedang melepasi kawalan di pelabuhan tersebut.

Lelaki tersebut sebelum ini pernah ditahan kerana menyeludup beberapa barang elektronik yang mahal ke Hong Kong.






Ingat lagi ketua kumpulan penceroboh Lahad Datu Sabah Febuari 2013,Agbimuddin Kiram lelaki tua yang mengaku dia Raja Muda Kesultanan Sulu?

Khabarnya Agbimuddin meninggal dunia akibat serangan jantung di kampung halamannya Pulau Tawi-Tawi Selasa.

Media Filipina melaporkan Agbimuddin yang berjaya menyusup keluar dari kampung Tandou ketika serangn besar-besaran pasukan keselamatan Malaysia pada 5 Mac 2013 sebelum ini ‘menghilang’ dari pandangan orang ramai.

Beliau dipercayai bersembunyi selepas kegagalannya dalam pencerobohan Lahad Datu.

Abangnya, ‘Sultan Jamalul Kiram’ meninggal dunia enam bulan selepas pencerobohan Lahad Datu di Manila juga kerana sakit jantung.

Menurut laporan Rappler.com, selain polis, tiga sumber yang berbeza mengesahkan Agbimuddin atau nama lainnya Datu Puing meninggal dunia di rumahnya di bandar Simunal Tawi-Tawi.

Agbimuddin adalah individu yang bertanggungjawab melatih ratusan ‘tentera diraja Sulu, di Tubig Simunul, sebelum kira-kira 200 dari mereka menyerang Sabah atas alasan itu tanah warisan Kesultanan Sulu.

Pencerobohan diketuai Agbimuddin, manakala timbalannya adalah bekas pegawai kanan dalam pasukan tentera Filipina Jeneral Haji Musa Abdulla yang kemudiannya terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Malaysia.

Sepanjang pencerobohan pengganas Sulu yang berlarutan hampir dua bulan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban dalam mempertahankan bumi Malaysia.

Mereka ialah Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabaruddin Daud, 46 (komando VAT 69) Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52, (Cawangan Khas Bukit Aman), Asisten Supritendan Michael Padel, 36, (Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna), Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48, dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27, dari Pasukan Gerakan Am Tawau, Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49, (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah), dan Koperal Salam Tugiran, 42, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Selain itu, dua lagi askar turut gugur melibatkan Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja Tawau dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat.

Kini, tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menganggotai kumpulan pengganas, merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas, yang didakwa dilakukan antara 12 Februari hingga 10 April 2013.

Semua mereka kini masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, selama 76 hari dengan 43 saksi sudah pun memberi keterangan sehingga Oktober 2014.

Ia dijangka berterusan sehingga Jun 2015 dengan 10 hari ditetapkan untuk perbicaraan setiap bulan, melainkan pada Disember apabila perbicaraan diadakan selama lapan hari.-Agenda Daily

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga Myanmar dijumpai dalam keadaan terbaring di tepi jalan oleh orang ramai berhampiran Stesen Minyak Taman Nilam di sini, Semalam.

Lelaki itu dijumpai dalam keadaan tidak bermaya dan kurus kering dipercayai sudah beberapa hari tidak makan dan minum.

Menurut saksi yang menjumpai mangsa, Puan Nooratikah, dalam pukul 9.15 malam dia dan suami melalui kawasan tersebut dan telah singgah di stesen minyak berjampiran tempat kejadian.

"Semasa di stesen minyak mata saya terpandang sesuatu yang sedang bergerak dibawah divider jalan dalam keadaan samar-samar kerana gelap dan mengajak suami saya pergi ke arah objek itu dengan berjalan kaki."

" Apabila sampai ke situ, tiba-tiba kaki suami saya telah dipegang oleh lelaki itu dan baru kami sedar adanya lelaki tersebut. Rasa sungguh sebak apabila melihat mangsa yang tidak bermaya dan kurus kering sebab tidak makan," katanya.

Selepas menyedari keadaan itu beliau telah menghubungi talian 999 dan cuba menahan kenderaan orang ramai yang lalu-lalang disitu untuk meminta bantuan.

" Saya cuba bertanya kenapa dengan keadaannya dan lelaki itu hanya bercakap perkataan 'Burma' beberapa kali mungkin sebab tidak tahu berbahasa Melayu," tambahnya lagi.




Dalam 15 minit kemudian pihak polis telah sampai ke tempat kejadian dan tidak menolak kemungkinan lelaki warga Myanmar ini telah ditinggalkan oleh agen pekerja haram disebabkan dia sakit sama seperti kes-kes yang berlaku sebelum ini.

Menurut anggota polis, kejadian sebelum ini di daerah itu ada terjadi dimana beberapa lelaki yang juga warga negara Myanmar telah diseksa oleh agen dengan tidak diberi makan selama tiga bulan dan hanya minum air semasa di atas kapal semasa datang ke Malaysia. Bila mereka ini sakit pihak agen akan meninggalkan mereka seperti itu saja kerana tidak mahu menanggung kos perubatan yang menyebabkan ada yang meninggal.

Lelaki itu telah dihantar  oleh ambulan Persatuan Bulan Sabit Merah ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.-


Shandong: Sepasang suami isteri yang menyambut kelahiran anak kembar lima - empat perempuan dan seorang lelaki - kini cemas menanti keadaan empat bayi mereka yang bertarung nyawa di unit rawatan rapi sebuah hospital di sini.

Keadaan bayi yang dilahirkan Jumaat lalu itu dilaporkan tenat selepas semuanya dilahirkan kurang berat, dari 0.5 hingga 1.13 kilogram.

Malangnya sorang bayi perempuan yang paling kecil di antara semua bayi itu, meninggal dunia .

Bagaimanapun, keluarga itu masih berharap empat yang lain akan selamat.
Bapa bayi yang hanya sempat melihat sepintas lalu bayinya memberitahu media: “Sebaik dilahirkan mereka dibawa ke unit rawatan rapi.”

Pengarah wad bersalin di hospital itu, Jiang Wen berkata, ini kali pertama dia menyambut kelahiran bayi kembar lima sepanjang 23 tahun menjadi doktor. - Agensi