Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

PENDUDUK di Bandar Port Dickson gempar apabila melihat pusaran angin di permukaan air laut pada jam 10 pagi tadi. – Foto NSTP

PORT DICKSON: Penduduk bandar ini gempar apabila melihat pusaran angin di permukaan air laut yang bersambung ke langit, pagi ini.

Kejadian berlaku pada jam 10 pagi diikuti bunyi guruh dan hujan lebat pada jam 10.45 pagi.
Penduduk bandar ini, Zaidi Abdul Jalal, 34, berkata dia terkejut apabila melihat kejadian puting beliung kecil itu di Pantai Batu 2, pada jam 10.15 pagi.

“Saya tidak pasti dari mana datang puting beliung itu yang bergerak laju dan menuju ke arah Pantai Batu 4 sebelum dilihat pecah setengah jam kemudian,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azreen Shamsudin, 24, yang melihat kejadian itu dari arah bandar ini mengaku takut melihat puting beliung itu dikhuatiri bergerak ke tepi pantai.
“Ini adalah pertama kali saya melihat kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia ketika dihubungi berkata puting beliung kecil atau belalai air adalah fenomena biasa di negara ini.
Katanya, keadaan itu berlaku akibat tekanan rendah dan keadaan berawan di tempat kejadian.-HM


PETALING JAYA: Pelakon Izzue Islam sentiasa bersikap tenang apabila ada pihak menuduh isteri yang juga pengurusnya, Nurinafilah Waharudin (Awin) bersikap 'queen control' apabila wanita berkenaan sering dilihat bersamanya ketika berada di lokasi penggambaran.
Izzue, 25, berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana sebelum mereka bergelar suami-isteri, Awin telah menguruskan kerjaya seninya termasuk bertindak sebagai pembantu peribadi.

"Saya tidak faham mengapa ia perlu menjadi isu kerana wanita yang saya bawa ke set penggambaran adalah isteri saya malah dia juga adalah pengurus dan pembantu peribadi sejak dari awal pembabitan saya dalam bidang seni.

"Sebelum berkahwin perkara ini tidak pernah menjadi isu pun wahal ketika itu Awin sentiasa bersama saya dan sepatutnya sekarang ia lagi tidak patut dijadikan satu masalah kerana hubungan kami sah," katanya kepada mStar Online.

Izzue ditemui pada majlis pelantikannya bersama aktres Yana Samsudin sebagai duta produk Super 'The Secret To A Smile' di Cathay Cineplex E@curve di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Izzue berkata, dia tidak pernah berasa terkongkong kerjayanya diuruskan oleh isteri sendiri kerana tanpa sokongan dan kegigihan wanita berkenaan kariernya tidak akan berada pada tahap sekarang.
Kata Izzue, dia menganggap gosip yang diperkatakan tentangnya sebagai satu cabaran dalam rumah tangganya bersama Awin yang dibina sejak setahun lalu.

"Apa yang orang ingin perkatakan tentang kami ia adalah satu bentuk cabaran dalam hubungan kami malah ia sebenarnya mengeratkan lagi kasih sayang dalam perkahwinan kami.

"Awin seorang yang sangat positif dan sporting  dalam hal-hal sebegini dan dia banyak memberi semangat kepada saya untuk terus tabah menghadapi dugaan sebagai anak seni," ujarnya.

Sementara itu, Awin yang turut mengulas mengenai isu berkenaan berkata, dia tidak pernah mencampur-adukkan soal peribadi dan kerjaya seperti mana diperkatakan sesetengah pihak dan hanya menjalankan tugas sebagai seorang isteri dan pengurus kepada Izzue.

"Saya menilai perkara ini dari segi positif dan ia adalah lumrah apabila ada orang yang menyokong dan tidak suka kepada kita," katanya.



Dalam perkembangan lain, Izzue teruja dengan kepercayaan diberikan oleh Super Food Marketing Sdn Bhd (Super) yang melantiknya sebagai duta jenama berkenaan selama tiga tahun dan ia adalah antara pencapaian terbesar dalam kerjayanya.
Jelas Izzue, selain membantu mempromosikan produk kopi dibawah jenama Super dia dan Yana akan terlibat dalam pelbagai projek termasuk kempen Super Secret To A Smile untuk membantu komuniti yang memerlukan bantuan.

"Saya sendiri menggemari kopi keluaran Super dan tidak sangka pula akan mendapat tawaran sebagai duta selama tiga tahun dan ia suatu kepercayaan yang tidak akan saya sia-siakan," jelasnya.

Untuk tujuan tersebut kata Izzue, dia telah pun mengosongkan jadualnya sepanjang September dan Oktober bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada peranan baharunya sebagai duta Super.

"Selepas ini saya dan Yana akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk mempromosikan produk keluaran Super selain menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Menerusi siri jelajah ini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk bertemu peminat yang banyak memberikan sokongan kepada saya," katanya.


ALOR SETAR: Penganjur Pesta Sukan Bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang, dipercayai bekas ketua Wanita Gerakan Kedah pada 1980-an.

Timbalan Presiden parti itu, Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata, wanita berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an pernah berkhidmat satu hingga dua penggal untuk parti berkenaan.

Wanita itu dipercayai berasal dari Baling itu juga pernah berkhidmat sebagai ahli majlis di Majlis Daerah Baling.

"Beliau tidak pernah membayar yuran keahlian lebih 20 tahun. Secara automatik, selepas 10 tahun tidak berbuat demikian, beliau bukan lagi ahli parti kita.

"Kita tidak tahu parti apa yang disertainya sekarang. Kami tidak lagi mempunyai rekod beliau di pejabat," kata Dr Cheah di Ibu Pejabat Gerakan Negeri di sini pada Selasa.

Dilaporkan bahawa klip video bertajuk ‘Penang Nude Sports Games 2014’ telah dimuat naik ke video perkongsian laman web YouTube kira-kira dua bulan lalu, menunjukkan peserta berjalan dan menari dalam keadaan bogel.

Mereka juga duduk di sekeliling api dan berkhemah pada malam itu, mengambil gambar satu sama lain dalam keadaan bogel selepas tamat setiap acara.

Klip yang dimuat naik Albert Yam, telah dikeluarkan sebelum pukul 2 petang pada Selasa.

Dr Cheah berkata, parti berkenaan mengutuk perbuatan tersebut kerana ia bertentangan dengan norma budaya rakyat Malaysia.

"Ia tidak mencerminkan gaya hidup kita dan ia tiada kaitan dengan parti kerana beliau tidak lagi dengan kami. Itu sudah tentu tindakan peribadi beliau, " katanya, Dr Cheah menggambarkan wanita itu sebagai seorang yang pemalu dan pencinta alam semula jadi.

Difahamkan bekas pemimpin itu adalah seorang guru di Sekolah Menengah Chung Hwa, Kota Bharu dan telah meletakkan jawatan bulan lalu.

Hari terakhir beliau di sekolah itu dipercayai pada Selasa lalu.

Pengetua sekolah, Goh Kean Seng berkata, wanita itu meletakkan jawatan sebelum video itu tersebar.

"Dia memaklumkan saya mengenai keputusannya Selasa lalu. Saya doakan yang terbaik untuk dia," katanya ketika dihubungi.

Goh menggambarkan wanita itu sebagai seorang yang adil, tidak berat sebelah dan mengikuti peraturan.

"Saya agak terkejut apabila diberitahu dia adalah penganjur sukan bogel. Tidak dapat saya bayangkan.

"Dia seorang yang berat mulut, perahsia dan pendiam. Bagaimana dia boleh menjadi penganjur? " katanya yang menghormati pendirian wanita itu.

Bagaimanapun, katanya, sebagai ketua sekolah, saya tidak boleh terima seorang guru yang mempunyai latar belakang seperti itu. mstar

Wagoner, Oklahoma: Hari pertama seorang guru wanita bertugas di sebuah sekolah menengah pasti akan dikenang ramai, termasuk anak muridnya, apabila dia menanggalkan seluar di dalam kelas. 

Media semalam melaporkan Lorie Hill, datang bertugas dalam keadaan mabuk.
Tanpa mendaftar kehadirannya lebih awal, Lorie, 49, meluru ke sebuah kelas kosong.

Menyangka ia adalah biliknya, Lorie kemudian menanggalkan seluarnya dan tindakan itu mengejutkan pelajar di luar kelas.
Dia kemudian ditahan.
Sherif di Oklahoma berkata kejadian berlaku Isnin lalu di Sekolah Menengah Wagoner.
Polis yang dipanggil ke sekolah berkenaan turut menemui botol minuman keras di dalam kenderaan yang dipandu Lorie.

Ketua Polis Wagoner, Bob Haley berkata, Lorie menanggalkan seluarnya menyebabkan petugas di sekolah berkenaan terkejut.

Mereka juga mendakwa tidak pernah melihat Lorie sebelum itu.

Mereka sebenarnya tidak tahu Lorie adalah rakan sekerja baru kerana dia gagal mendaftar dirinya pada hari pertama bertugas.

- Agensi

Annapolis, Maryland: Seorang lelaki terputus tangan selepas dia dan rakannya cuba membuang tatu memaparkan kumpulan hip hop Insane Clown Posse.

Dalam usaha mereka membuang tatu Zachary Swanson, rakan serumahnya - Paul Martin Hurst dan Cary Lee Edwards - menyiat kulit pada tangannya sebelum membakarnya.

Namun mereka bertindak keterlaluan apabila memotong tangan Swanson sehingga putus.
Tindakan itu dibuat kerana Hurst dan Edwards menganggap Swanson tidak layak membawa tatu Insane Clown Posse.

Mangsa juga didakwa menghina kumpulan berkenaan.
Akibat tindakan itu, Hurst dan Edwards kini berdepan tuduhan melakukan cubaan bunuh ke atas Swanson.
Polis percaya ketiga-tiga lelaki itu adalah peminat fanatik kumpulan terbabit.
Kuala Terengganu: Menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut dalam keadaan tergantung selepas lehernya tersangkut pada besi tingkap cermin nako rumahnya di Kampung Losong Feri di sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa Nurliana Nabila Mazlan yang berada dalam bilik tidurnya berusaha keluar menerusi tingkap berkenaan selepas mendapati pintu bilik terkunci dari luar dan dalam, jam 3.30 petang.

Ketika kejadian, mangsa yang juga anak bongsu daripada lima beradik dikatakan bersendirian dalam bilik berkenaan manakala seorang daripada empat abangnya, Mohd Faiz, 18, tidur dalam bilik berasingan dan ibunya, Rohaizan Zain, 42, tiada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Muzium Negeri, 300 meter dari rumah.



Menurut Mohd Faiz, dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu jiran sebelum menendang pintu bilik bagi melihat keadaan yang berlaku.

Katanya, selepas memecahkan pintu bilik berkenaan, dia terkejut melihat adiknya dalam keadaan longlai tergantung pada besi tingkap cermin nako yang tersangkut pada lehernya.
“Ketika itu keadaan adik seperti longlai, langsung tidak bermaya dengan leher tersangkut pada besi tingkap manakala badannya tergantung di luar dinding bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, pintu bilik tidur arwah sudah lama rosak dan akan terkunci dengan sendiri apabila ditutup rapat.
“Saya percaya adik masuk serta menutup rapat pintu berkenaan dan ketika mahu keluar dia tidak dapat membuka pintu lalu mengambil jalan mudah dengan keluar menerusi tingkap cermin.
“Bagaimanapun, sebaik sebahagian badannya sudah berada di luar rumah, arwah dipercayai kepenatan menyebabkan bahagian lehernya tersangkut pada besi tingkap mengakibatkan dia sukar bernafas.

“Saya bersama jiran mengeluarkan adik dari celah tingkap dan keadaannya ketika itu cukup lemah,” katanya.
Mohd Faiz berkata, dia tidak menyangka adiknya pergi sekelip mata ketika suasana Aidilfitri masih terasa.

Katanya, adiknya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sangat ceria ketika menyambut Aidilfitri.
“Tak sangka tahun ini Aidilfitri terakhir baginya selepas kehilangan ayah, Mazlan Mamat yang meninggal dunia setahun lalu,” katanya.

Jiran, Sukri Yusof, 40, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar suara meminta pertolongan dari rumah mangsa dan terkejut apabila melihat Mohd Faiz dan beberapa penduduk sedang memangku arwah yang tergantung di luar dinding bilik berkenaan.

“Leher arwah tersangkut pada besi tingkap cermin dan kami berusaha secara perlahan mengeluarkan kepalanya,” katanya.

Katanya, ketika kejadian dia baru pulang dari bekerja pada jam 3.30 petang dan arwah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, menggunakan ambulans bomba sebelum disahkan meninggal dunia ketika rawatan kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Ismail Mat Hassan mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.14 petang sebelum segera ke tempat kejadian bersama sembilan anggota.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikeluarkan orang awam dan pihaknya memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan ambulans bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital jam 5.30 petang," katanya.



Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 28 tahun menahan kesakitan apabila cincin dipakainya gagal dikeluarkan, semalam.

Usaha mangsa untuk mengeluarkan cincin berkenaan di rumahnya di Selayang, di sini, gagal menyebabkan jari manis tangan kirinya membengkak dan berdarah sebelum dia bergegas ke Hospital Selayang (HS) untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

Harian Metro difahamkan, pihak pengurusan HS kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mendapatkan bantuan untuk menanggalkan cincin berkenaan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Selayang Azman Mahat ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.40 pagi bergegas ke HS.
“Kami tiba di HS enam minit kemudian sebelum usaha menanggalkan cincin berkenaan mengambil masa sejam.

“Enam anggota terbabit dalam usaha menanggalkan cincin berkenaan kerana cincin dipakai mangsa terlalu tebal selain pihaknya perlu berhati-hati untuk memotong cincin itu bagi mengelakkan kecederaan,” katanya.

Menurut Azman, mangsa kemudian diberikan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang.


Alor Gajah: Malang buat seorang nenek apabila dia cedera dihentak cucunya yang tiba-tiba mengamuk dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru, dekat sini, Selasa lalu.

Malah, lelaki lembam berusia 20 tahun yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) itu turut merosakkan peralatan dalam rumah sebelum membakar bilik neneknya.
Difahamkan, lelaki itu yang hilang sejak Mei lalu ditemui merayau di Kemaman, Terengganu sebelum dihantar pulang ke rumah neneknya pada jam 10 malam, Isnin lalu.

Mangsa, Salmah Mohamad, 64, berkata, dia gembira selepas cucunya yang hilang tanpa dapat dikesan itu dihantar pulang ke rumahnya.

“Saya sungguh gembira apabila cucu dihantar pulang menggunakan van Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman dalam keadaan sihat sebelum dia tertidur di ruang tamu.

“Selepas melihatnya tertidur, saya masuk tidur di dalam bilik, namun pada jam 2 pagi, saya menyedari cucu berdiri berhampiran sebelum dia menghayunkan topi keledar ke arah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
KETIKA darah hangat sedang mengalir dalam konflik di Gaza, beberapa selebriti luar negara turut menyuarakan pendapat mereka dalam menyokong rakyat Palestin mempertahankan tanahair mereka.

Meskipun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk peminat mereka sendiri, kebanyakannya berpegang teguh prinsip mereka mengutuk serangan kejam rejim Zionis.


Pasangan suami isteri selebriti Penelope Cruz dan Javier Bardem, menandatangani surat terbuka bersama beberapa selebriti dari Sepanyol termasuk pengarah, penulis, dan pemuzik mengecam Operasi ‘Protective Edge’ oleh Israel di Gaza sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

Vokalis Pink Floyd, George Roger Waters, sangat lantang menyokong gerakan Boikot, Henti Pelaburan dan Sekat (Boycott, Divestment and Sanctions - BDS).  
Selain enggan membuat persembahan di Israel, Waters juga menyeru pemuzik lain membatalkan konsert yang dirancang di sana,

Dalam konsertnya pada 2013, Waters memaparkan babi dalam bentuk belon gergasi dengan terpampang logo Star of David dan menyebabkannya dituduh sebagai anti-Semitisme.

Di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas di Gaza, pelawak British, Russell Brand memuat naik video di YouTube mengkritik laporan Fox News, Sean Hannity, ketika temu bual bersama lelaki bangsa Palestin warga Amerika Yousef Munayyer.

Dalam video itu, Brand berkata, cara Hannity bertanyakan soalan kepada Yousef sudah cukup agresif dan provokatif.

“Palestin sudah tidak ada lagi dan yang tinggal hanyalah Gaza.

“Bagaimana pula sebuah negara yang tiada kelengkapan peperangan diserang oleh negara yang lengkap bantuan senjata? Ini tidak adil,” katanya dalam video itu.

Penyanyi Zayn Malik dari kumpulan One Direction pula menggunakan hashtag #FreePalestine di akaun Twitternya sebagai tanda sokongannya terhadap raykat Palestin yang ditindas.

Malik bertindak menyimpan tweet tersebut dan meraih retweet lebih 300,000 kali.

Tidak seperti penyanyi dan pelakon Rihanna, dia juga menggunakan hashtag yang sama, namun segera dipadamkan kerana tidak tahan dengan kecaman dan kritikan dari penyokong Zionis.

Pelakon Danny Glover yang memegang watak Presiden Amerika Syarikat menerusi filem ‘2012’ turut menyokong gerakan BDS.

Pada 2009, dia yang juga merupakan aktivis politik menandatangani pengisytiharan mengutuk Israel sebagai ‘rejim apartheid’ dan menolak hasil kerja pembikin filem dari Tel Aviv yang dipaparkan dalam Toronto Festival Filem Antarabangsa sebagai ‘propaganda Israel’.

"Kita berdiri dalam perpaduan bersama rakyat Palestin dan menyokong panggilan mereka untuk boikot budaya dan akademik dari Israel," tegas Glover kepada penandatangan yang lain.

Bintang filem Nanny McPhee, Emma Thompson, turut menyeru pelakon lain bagi memboikot persembahan Teater Habima Israel di Teater Globe di London.

Dalam surat yang disiarkan The Guardian, Thompson bersama penandatangan yang lain mengutuk Habima kerana rekod Israel yang memalukan atas penglibatan penempatan haram di wilayah yang diduduki Palestin.

Selebriti Hollywood berbangsa Yahudi, Dustin Hoffman pula membatalkan kunjungannya ke Festival Filem Jerusalem berikutan serbuan IDF terhadap flotila ketika berlayar cuba masuk ke Gaza pada 2010.

Hoffman turut menghadiri Majlis Hal Ehwal Muslim (MPAC) Anugerah Media Tahunan ke-22 bagi menyampaikan anugerah kepada filem anti-Israel.

Penyanyi lagenda Stevie Wonder turut menunjukkan sokongan apabila menarik diri daripada membuat persembahan di sebuah majlis Sahabat Israel Defense Forces (FIDF) di Los Angeles pada 2012.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menasihati saya supaya menarik diri dari majlis tersebut,” katanya.

Sebelum Wonder membatalkan persembahannya, terdapat beberapa aktivis BDS memasukkan petisyen di laman change.org bagi mendesak penyanyi itu untuk menarik diri daripada membuat persembahan di FIDF.

Petisyen yang dimasukkan itu mendapat sambutan lebih 4,600 tandatangan.