Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi


DENVER, Colorado – Seorang kanak-kanak di Amerika Syarikat dilaporkan menghidap sejenis penyakit pelik yang menyebabkan kulitnya menjadi sekeras batu.
Penyakit Jaiden Rogers itu sangat jarang berlaku dengan kesnya merupakan yang ke-41 pernah direkodkan setakat ini di seluruh dunia.
Tiga tahun lalu, ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 10 tahun itu mengesan beberapa tompok pada kulitnya yang semakin mengeras dan kini telah merebak ke beberapa bahagian badannya.
Bapanya, Tim Rogers memberitahu stesen televisyen FOX 31 bahawa kulit kaki anaknya kini ‘keras seperti permukaan meja’ bila diketuk.
Tompok-tompok keras tersebut telah merebak pada kulit kaki, belakang dan punggungnya, sehinggakan pada suatu hari kanak-kanak itu sendiri memberitahu ibu bapanya bahawa kakinya sudah tidak boleh digunakan dan dia memerlukan kerusi roda.
Doktor Hospital Kanak-kanak, Dr. Elizabeth Swanson mengesahkan penyakit itu dikenali sebagai Sindrom Kulit Keras yang tiada penawar mahupun ubat untuk merawatnya buat masa ini. - AGENSI





LONDON – Sebuah kereta sport terkemuka jenama Aston Martin DB10 yang direka khas untuk filem terbaharu James Bond yang berjudul Spectre dijual pada harga AS$3.5 juta (RM14.71 juta) dalam satu majlis lelongan di sini baru-baru ini.
Pemilik baharu kereta itu yang tidak mahu identitinya didedahkan turut menerima nombor plat yang ditandatangani sendiri oleh aktor Daniel Craig. Craig melakonkan watak ejen perisik legenda itu dalam filem Spectre.
“Kereta ini berjaya dijual tidak sampai lima minit dalam acara lelongan yang dikenali sebagai James Bond Spectre: The Auction.
“Hasil jualan ini akan disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan,” kata jurucakap firma lelongan, Christie’s.
Kereta itu yang menggunakan enjin konfigurasi V8 dan mampu mencecah kelajuan 305 kilometer sejam tidak boleh dipandu di jalan raya, demikian lapor laman berita Sky News.
Kereta itu dibina di ibu pejabat Aston Martin yang terletak di London. - AGENSI


Kosmo Online

SUVA – Ramai pelancong asing mula meninggalkan Fiji semalam selepas angka kematian akibat Siklon Winston meningkat kepada 20 orang.
Mereka membanjiri Lapangan Terbang Nadi di Suva yang dibuka semula selepas ditutup selama dua hari.
Sebelum ini, pelancong luar di kepulauan itu terkandas akibat bencana berkenaan.
Ekonomi Fiji bergantung kepada pelancongan terutamanya warga Australia dan New Zealand. Menteri Pelancongan, Faiyaz Siddiq Koya berkata, semua pelawat di Fiji berada dalam keadaan selamat dan selesa
Seorang pelancong dari Melbourne memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia bahawa dia mendengar pokok-pokok tercabut dari tanah ketika berlindung daripada Siklon Winston di dalam sebuah hotel di pulau utama Fiji, Viti Levu.
“Saya tidak pernah mendengar desiran angin sekuat ini. Ia amat menggerunkan,” katanya.
Di Suva, pembukaan lapangan terbangnya turut membolehkan usaha bantuan digiatkan dengan Australia mengumumkan pakej bernilai AS$3.6 juta (RM15.18 juta) termasuk barangan asas seperti makanan dan air minuman.
Kosmo Online


Kuala Terengganu: Seorang pemuda patah paha dan cedera anggota badan selepas disondol serta diseret babi hutan di Kampung Berangan Pak Ayu, Marang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Hibatul Hakimi Abd Rahman, 20, sedang menunggang motosikal dalam perjalanan ke membeli kad tambah nilai telefon di kedai berhampiran rumahnya.

Seekor babi hutan setinggi paras pinggang tiba-tiba keluar dari kawasan semak di bahu jalan dan terus melanggar motosikal remaja itu menyebabkan motosikalnya terbalik.
Haiwan liar itu kemudiannya dikatakan menyondol paha dan mengheret mangsa menyebabkannya mengalami kecederaan.

Pelajar Kolej Komuniti itu berkata, kejadian itu terlalu pantas dan dia tidak sempat mengelak ketika babi hutan terbabit berlari menuju ke arahnya.
Menurutnya, haiwan terlalu besar dan dia tidak sempat berbuat apa-apa sebelum pahanya terus terkulai sebaik disondol dan diseret.

Katanya, dalam kekalutan itu dia sempat memegang kepala babi bagi mengelakkan dirinya digigit haiwan liar berkenaan.
“Saiz badan saya agak besar, tetapi kudrat babi itu terlalu kuat dan mampu mematahkan paha saya jika dibiarkan tanpa melawan.

“Saya bernasib baik kerana ada penduduk kampung yang melihat kejadian itu dan terus memberikan bantuan serta dapat menghalau haiwan itu.
“Haiwan itu kemudian meloloskan diri di tepi rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Hibatul Hakimi berkata, dia kemudian dikejarkan ke HSNZ dan doktor memberitahu paha patah dan perlu melakukan pembedahan memasukkan besi untuk menyambung semula tulang.
Menurutnya, kejadian seperti itu sudah banyak kali menimpa penduduk kampung dan berharap pihak berkuasa melakukan rondaan di kawasan kampungnya supaya ia tidak berulang.
“Selain boleh merisikokan nyawa penduduk, haiwan itu turut merosakkan tanaman orang kampung sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak pasti saiz haiwan, tetapi yang pastinya ia mampu mengancam nyawa penduduk terutama kanak-kanak,” katanya.


Hmetro Online


Cheras: Pelajar tingkatan dua sekolah menengah berasrama penuh, di sini, menerima sembilan jahitan selepas mulutnya koyak dipijak dengan but bola sepak oleh pelajar ‘senior’ tingkatan empat, kelmarin.

Dalam kejadian 12 tengah malam, remaja itu didatangi empat pelajar tingkatan empat sebelum dibelasah di bahagian muka.

Menurut sumber, remaja itu dibelasah kerana meminta rakannya supaya tidak mengikut arahan pelajar 'senior' di asrama sekolah berkenaan.
"Ada pelajar ‘junior’ dibuli dengan dipaksa mencuci pakaian dan membeli makanan menyebabkan mangsa menasihati rakannya yang dibuli itu supaya tidak tunduk dengan arahan pelajar tingkatan empat berkenaan.

"Bagaimanapun, pelajar ‘senior’ itu mengetahui perkara berkenaan dan mereka membelasah remaja tingkatan 2 itu. Seorang daripada mereka memijak mulut mangsa dengan but bola sepak, manakala yang lain memukul dengan tangan di muka," katanya.
Menurutnya, remaja itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan menerima jahitan di mulut.

Susulan itu, ibu bapa mangsa membuat laporan di balai polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
Katanya, polis sedang jalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dengan sengaja.

Hmetro Online