Kuala Terengganu: Seorang pemuda patah paha dan cedera anggota badan selepas disondol serta diseret babi hutan di Kampung Berangan Pak Ayu, Marang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Hibatul Hakimi Abd Rahman, 20, sedang menunggang motosikal dalam perjalanan ke membeli kad tambah nilai telefon di kedai berhampiran rumahnya.
Seekor babi hutan setinggi paras pinggang tiba-tiba keluar dari kawasan semak di bahu jalan dan terus melanggar motosikal remaja itu menyebabkan motosikalnya terbalik.
Haiwan liar itu kemudiannya dikatakan menyondol paha dan mengheret mangsa menyebabkannya mengalami kecederaan.
Pelajar Kolej Komuniti itu berkata, kejadian itu terlalu pantas dan dia tidak sempat mengelak ketika babi hutan terbabit berlari menuju ke arahnya.
Menurutnya, haiwan terlalu besar dan dia tidak sempat berbuat apa-apa sebelum pahanya terus terkulai sebaik disondol dan diseret.
Katanya, dalam kekalutan itu dia sempat memegang kepala babi bagi mengelakkan dirinya digigit haiwan liar berkenaan.
“Saiz badan saya agak besar, tetapi kudrat babi itu terlalu kuat dan mampu mematahkan paha saya jika dibiarkan tanpa melawan.
“Saya bernasib baik kerana ada penduduk kampung yang melihat kejadian itu dan terus memberikan bantuan serta dapat menghalau haiwan itu.
“Haiwan itu kemudian meloloskan diri di tepi rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Hibatul Hakimi berkata, dia kemudian dikejarkan ke HSNZ dan doktor memberitahu paha patah dan perlu melakukan pembedahan memasukkan besi untuk menyambung semula tulang.
Menurutnya, kejadian seperti itu sudah banyak kali menimpa penduduk kampung dan berharap pihak berkuasa melakukan rondaan di kawasan kampungnya supaya ia tidak berulang.
“Selain boleh merisikokan nyawa penduduk, haiwan itu turut merosakkan tanaman orang kampung sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak pasti saiz haiwan, tetapi yang pastinya ia mampu mengancam nyawa penduduk terutama kanak-kanak,” katanya.
Hmetro Online
No comments
Post a Comment