Dalam kejadian jam 5 petang Jumaat lalu, Hassan Basri, 54, ditetak dengan parang di tangan kiri, manakala kepalanya luka akibat dipukul dengan kayu.
Berikutan kejadian itu, dia dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Hassan berkata, kejadian berlaku ketika dia melalui kawasan parkir di bawah sebuah bangunan apabila dua lelaki bersenjatakan parang dan kayu menyerangnya.
“Serangan pertama menggunakan parang hingga menyebabkan tangan kiri saya luka akibat menahan tetakan. Selepas itu, mereka menyerang dengan kayu dan kali ini dihentak di kepala,” katanya ketika di sini, semalam.
Bagaimanapun, Hassan bernasib baik kerana beberapa orang awam yang kebetulan berada di lokasi, memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan pasar berkenaan yang menyebabkan suspek melarikan diri.
Tidak tahu punca sebenar
Katanya, dia tidak tahu punca sebenar diserang kerana tiada perselisihan faham dengan sesiapa.
“Rakan sekerja memberitahu ada beberapa individu yang menjual barangan terpakai di bahagian bawah bangunan itu tidak senang dengan kehadiran individu tidak dikenali di situ.
“Mungkin kehadiran orang baharu seperti saya menimbulkan syak kepada mereka dengan menganggap saya pemberi maklumat kepada polis,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Hassan membuat laporan di Balai Polis Pekan Lama, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dilakukan.
Recent Comments