Petaling Jaya: Polis menahan 76 pekerja termasuk pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing selepas menyerbu sebuah pusat hiburan di Damansara Uptown di sini, malam kelmarin.
Op Noda pada jam 11 malam itu dilakukan empat pegawai dan 13 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Abdul Ghaffar Ahmad berkata, 56 daripada GRO yang ditahan adalah warga Thailand manakala seorang Laos berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.
“Siasatan polis mendapati GRO terbabit didapati mempunyai pasport lawatan, namun menyalahgunakannya untuk bekerja di pusat hiburan.
“Selain GRO terbabit, 18 pekerja lelaki warga asing iaitu enam Thailand, Bangladesh (empat), Pakistan (tiga), Nepal (tiga) dan Myanmar (dua) turut ditahan,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai lesen yang sah.
“Semua pekerja warga asing yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang pengurus premis turut ditahan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah manakala dua lelaki tempatan yang masing-masing bekerja sebagai pengawal dan deejay diperiksa bagi membantu siasatan, “katanya.
Sementara itu, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.
No comments
Post a Comment