Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi



Nibong Tebal: Dua remaja maut apabila motosikal ditunggangi mereka terjatuh dalam tali air di Jalan Paboi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu mangsa Lim Sheng Ming, 15, dan rakannya Tan Gin Wei, 14, maut akibat kecederaan di badan serta kepala.
Menurut sumber, mereka yang masih bersekolah itu dikatakan keluar sejak jam 8 malam tadi namun tidak pulang.

"Mayat mereka ditemui pengguna jalan raya pagi ini dan kedua-dua mangsa dikatakan menunggang motosikal dengan laju sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu.

"Mereka kemudian tercampak ke dalam tali air namun ia tidak disedari kerana keadaan gelap ketika itu," katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat. 

Hmetro Online


Penyakit kardiovaskular menjadi kebimbangan besar penghidap diabetes ­berikutan ia punca utama kematian dan kehilangan upaya apabila dua daripada tiga pesakit mening­gal dunia sama ada disebabkan sakit jantung atau strok.

Malah, penularan penyakit diabetes di Malaysia kini semakin membimbangkan sehingga menjejaskan seorang dalam kumpulan lima orang dewasa berumur 30 tahun ke atas dan anggaran itu menjadikan bilangan penghidap dewasa mencecah 3.6 juta orang.

Penularan diabetes lebih ketara dalam kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit arteri koronari (CAD) dan kardiomiopati diabetes iaitu dua keadaan kardiovaskular yang dikaitkan de­ngan kemaraan diabetes.

Kini diabetes dengan sendiri dianggap faktor risiko paling ting­gi bagi penyakit jantung. Malah, diabetes juga risiko ting­gi yang setara dengan penyakit jantung koronari (CHD) apabila pesakit diabetes dikatakan mempunyai risiko menghidap penyakit berkenaan sebanyak 20 peratus.

Jika tidak dikawal dengan sewajarnya, diabetes boleh menjadi permulaan lebih banyak komplikasi yang akan berlaku. Kemungkinan pesakit diabetes mendapat penyakit jantung bukan saja dua kali ganda, malah mereka juga menghidap penyakit jantung pada usia lebih muda daripada orang yang tidak menghidap diabetes.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sunway di Petaling Jaya, Dr Lim Bee Chian berkata, CAD adalah komplikasi makrovaskular diabetes yang merujuk kepada penyempitan arteri dalam jantung disebabkan enapan lemak yang turut dinamakan plak.
"Kepecahan mengejut plak kolesterol adalah punca umum, terutama dalam kalangan penghidap diabetes yang juga mengalami dislipidemia, mengakibatkan sekatan arteri dan me­ngundang serangan jantung atau strok.

"Hiperglisemia (glukosa darah tinggi) dan rintangan insulin, dua mekanisme yang menentukan diabetes Jenis II dan memacu proses aterosklerosis iaitu pengecilan saluran arteri akibat pembentukan plak di bahagian dalam dinding arteri.

"Keadaan ini boleh merosak­kan bahagian badan, termasuk saluran darah, dan apabila ini berlaku bekalan darah berkura­ngan atau terputus, mengakibat­kan serangan jantung," katanya ketika ditemui pada perbinca­ngan meja bulat sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia di pusat perubatan berkenaan, baru-baru ini.

Dr Lim berkata, walaupun teknologi dan strategi memboleh­kan diagnosis CHD pada pering­kat lebih awal dalam kalangan penghidap diabetes, hakikatnya mereka tetap mengalami kesakitan iskemik tumpul yang mening­kat dan selalunya mengakibatkan iskemia senyap atau infarksi miokardial senyap iaitu serangan jantung.

"Gejala jantung dalam kala­ngan pesakit diabetes selalu­nya terselindung, mengakibatkan terlepas atau terlewat diagnosis serangan jantung, sekali gus terlepas peluang untuk rawatan pemvaskularan semula dengan segera.
"Bagaimanapun, dalam ba­nyak kes, punca kegagalan jantung dalam kalangan penghidap diabetes mungkin tiada kaitan dengan trombosis iaitu pembentukan darah beku.

"Kardiomiopati diabetes adalah perubahan yang dikaitkan dengan diabetes dalam struktur dan fungsi otot jantung yang bukan berpunca secara langsung daripada sebarang penyakit kardiovaskular lain seperti CAD atau hipertensi iaitu darah tinggi," katanya.
Kehadiran komorbiditi seperti sindrom metabolik iaitu kombinasi hipertensi, dislipidemia ­dan obes luar biasa, tabiat merokok dan ketiadaan aktiviti fizikal menguatkan lagi penularan diabetes.

Dalam kes kardiomiopati diabetes, perubahan struktur dan fungsi yang berlaku, termasuk hipertrofi ventrikular kiri, meningkatkan kemungkinan berlaku kecederaan iskemia dan kemungkinan secara keseluruhan mengalami kegagalan jantung. Oleh itu, pesakit diabetes mudah mengalami kegagalan jantung walaupun pada peringkat awal penyakit.

Dr Lim berkata, ketika ini kemajuan dalam rawatan perubatan dan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pesakit diabetes membolehkan diagnosis CHD dalam kalangan penghidap diabetes dibuat pada kadar jauh lebih cepat.

Alat diagnostik yang lebih canggih dengan ketepatan lebih tinggi kini boleh didapati secara meluas untuk mengesan aterosklerosis dan gejala awal CHD pada peringkat permulaan. Ini bagi membolehkan intervensi awal, mengurangkan kadar penyakit dan kematian serta menambah baik kualiti hidup.
"Sebagai contoh, elektrokardiografi (ECG) rehat adalah alat yang biasa digunakan untuk mengesan infark miokardium iskemia (MIs) akut atau lama dan juga aritmia.

"Bagi menentukan tahap plak aterosklerosis, ujian fungsi seperti ECG, ekokardiografi dan imbasan radionuklida atau imbasan pengimejan resonans magnet (MRI) adalah alat berguna untuk mengesan sekatan besar hemodinamik yang ditakrifkan sebagai lebih 50 peratus penyempitan saluran darah yang mewajarkan pemvaskularan semula," katanya.
Dr Lim berkata, pelancaran pengimbas koronari tomografi berkomputer berbilang hirisan (MSCT) dalam beberapa tahun kebelakangan ini banyak me­ngubah landskap pengesanan dan pengurusan CHD.

"Angiografi koronari MSCT adalah satu teknik bukan invasif yang membolehkan pengesanan awal CHD seperti stenosis atau penyempitan pada koronari. De­ngan resolusi ruang dan waktu lebih tinggi, MSCT membolehkan pengesanan plak secara lebih boleh dipercayai dan lesi sekatan ketara.

"Dengan kadar ketepatan pe­ngesanan terbukti 99 peratus, teknologi ini memberi peluang untuk intervensi awal dan memberi kesan terbaik dalam jangka panjang," katanya.

Pada masa lalu, wujud kebimbangan terhadap risiko kanser yang dikaitkan dengan radiasi angiogram koronari pada ujian tomografi berkomputer (CT). Namun, kemajuan perubatan mengubah keadaan dan dengan pengimbas CT terbaru memboleh­kan angiogram koronari mengeluarkan radiasi yang sangat rendah.


Hmetro 


Kuala Krai: “Arus yang sangat deras meranapkan bumbung rumah tempat kami berlindung sekali gus menghanyutkan kami.
“Ketika itulah bayi saya terlepas dukungan,” kata Suhana Muhamad Abdul Ghani, 34, ibu malang yang kehilangan bayi berusia 20 bulan dipercayai lemas akibat banjir.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Nor Adriana Adila Asrol Afendi berada dalam dukungan Suhana ketika dia bersama lima anaknya dan ibu bapanya mahu menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Kuala Bertam, di sini, dinaiki air.

Katanya, ketika menyedari air naik hampir tiga meter, mereka sekeluarga mengambil keputusan memanjat bumbung rumah dan berlindung di situ sehingga menunggu bantuan tiba.
Bagaimanapun, kejadian malang berlaku apabila arus deras meranapkan rumah keluarga berkenaan dan turut menghanyutkan mereka.

“Suami tiada di rumah ketika itu kerana bekerja, malah kami pun tidak sempat ke tempat lain dan hanya memikirkan bumbung rumah kerana air naik dengan cepat.
“Dalam keadaan hanyut dibawa arus deras itu, anak bongsu dalam dukungan terlepas. Saya diselamatkan ibu yang menarik tangan saya untuk berpaut pada dahan pokok rambutan.

“Lima anak yang lain juga berpaut pada dahan sama sebelum kami diselamatkan penduduk kampung lapan jam kemudian,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Batu Jong, di sini, semalam.

Menurut Suhana, akibat kejadian itu, anak ketiganya Nor Erini Nazirah, 9, patah tangan kanan akibat tersepit pada dahan pokok.
Katanya, anak sulungnya Ayuni Natasha, 16, menghubungi suaminya, Asrol Afendi Yusof, 40, bagi memaklumkan kejadian itu.

“Mujur telefon bimbitnya masih boleh digunakan. Suami menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang masih sedih mengenang nasib anak bongsunya.
Sementara itu, Asrol Afendi berkata, usaha mencari dan menyelamatkan Nor Adriana Adila diteruskan pihak berkuasa.


Hmetro 


BINTANG Twilight, Robert Pattinson dikhabarkan kini tinggal sebumbung dengan teman wanita baharunya iaitu penyanyi dan komposer FKA Twigs. Seperti dilapor Contact Music, Twigs telah berpindah ke rumah baharu milik Robert di Los Angeles.


Pasangan ini dilihat ke pusat perabut bagi membeli beberapa keperluan untuk rumah baharu mereka.

Sumber memberitahu bahawa Twigs akan tinggal di rumah Pattinson sehingga 22 Januari depan sebelum meneruskan jelajah konsertnya di Tokyo, Jepun.

Hingga kini belum ada kenyataan tentang perkara tersebut daripada kedua-dua belah pihak.


Hangzhou: Kerana keadaan berkuap di dalam pesawat, seorang penumpang yang pertama kali menaiki pesawat membuka pintu kecemasan untuk mendapatkan udara segar ketika kapal tebang itu bersiap sedia untuk berlepas.
Tindakan lelaki itu memeranjatkan petugas Xiamen Airlines dan juga penumpang lain yang dalam penerbangan dari Hangzhou ke Chengdu kerana mereka belum pernah melihat keadaan itu berlaku.

Ditanya mengenai tindakannya itu oleh kakitangan pesawat, lelaki itu berkata, dia berasa panas dan rimas sementara menunggu pesawat itu berlepas.
Akhbar South China Morning Post berkata, petugas kemudian memindahkan lelaki itu ke tempat duduk lain, jauh dari pintu itu.

Kejadian berlaku selepas satu kejadian lain menyaksikan seorang penumpang membuka pintu kecemasan sebaik pesawat yang dinaiknya mendarat kerana hendak cepat keluar. Ia menyebabkan syarikat penerbangan itu menanggung kerugian sebanyak 100,000 yuan (RM56,000). - Agensi



Beijing: Nasib seorang kanak-kanak yang dijangkiti virus HIV yang dilapor mahu diusir oleh 200 penduduk kampung mencetuskan perdebatan hangat di China semalam.
Kes itu membuktikan penderitaan yang dihadapi pesakit HIV di negara itu yang berdepan dengan diskriminasi secara berleluasa.

Penjaga kanak-kanak itu yang juga datuknya, antara penduduk kampung di Sichuan, wilayah di barat laut China yang menandatangani petisyen untuk mengusir budak berusia lapan tahun itu, dengan alasan untuk melindungi kesihatan penduduk kampung.
Akhbar Global Times melaporkan, kanak-kanak itu dijangkiti virus berkenaan dari ibunya dan disahkan menghidap HIV ketika menjalani rawatan kecil pada 2011.

Laporan sebelum ini menyatakan, budak itu yang diberi nama Kunkun oleh media China, tidak dibenarkan memasuki sekolah tempatan sementara penduduk kampung berusaha mengelak daripada bertembung dengannya.



Sandakan: "Beberapa minit sebelum itu saya bersama mereka yang mengadu suhu mesin pendandang terlalu tinggi. Selepas suhu mesin kembali normal, saya ke bahagian bersebelahan yang dipisahkan dinding batu sebelum berlaku letupan amat kuat."

Demikian penyelia kilang memproses mi, Murni Abdullah, 30, menceritakan mengenai kejadian letupan mesin pendandang di kilang terletak di Jalan Chong Hua Batu 8 1/2, di sini, semalam, menyebabkan tiga pekerja terbunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang terkorban ialah Haydi Baid, 30, Sharil Muhd Amin, 30, dan Herman Kaco, 30, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan,

Letupan mesin pendandang sebesar kereta itu turut menyebabkan banyak struktur kilang berkenaan runtuh manakala premis berhampiran termasuk beberapa kenderaan juga mengalami kerosakan.

Semua mangsa ditemui tertimbus dalam runtuhan bangunan sebelum dikeluarkan sepasukan anggota bomba sebaik dimaklumkan kejadian itu.



Kuala Lumpur: Bekas tenaga pengajar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditahan polis kerana terbabit dalam kumpulan militan Negara Islam (IS) pagi kelmarin dikatakan tidak sempat untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang guru.

Suspek berusia 30 tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke Brunei untuk berkahwin sebelum merancang menyertai IS di Syria.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek lelaki yang berasal dari Terengganu itu akan berlepas ke Syria selepas berkahwin dengan wanita pilihannya itu.
Bagaimanapun hasratnya itu gagal selepas suspek berjaya ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada jam 5.30 pagi kelmarin.

Menurut Khalid, siasatan mendapati suspek terpengaruh untuk menyertai kumpulan IS di Syria selepas berkomunikasi dengan beberapa rakyat Malaysia di sana melalui laman sosial Facebook.



Petaling Jaya: Sebuah pusat hiburan di PJS 8 di sini, menyajikan hiburan pelik apabila menawarkan persembahan tarian tiang dilakukan sekumpulan pondan ‘diimport’ khas dari Thailand.

Kumpulan lelaki digelar ‘ladyboy Siam’ itu berpakaian seksi dan mempersembahkan tarian berahi pada setiap malam Rabu setiap minggu.
Malah kumpulan pondan itu menawarkan khidmat seks kepada pelanggan lelaki yang berminat sebaik persembahan berakhir.

Kegiatan maksiat itu bagaimanapun ditumpaskan selepas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman menyerbu premis itu jam 2.30 pagi semalam.

Hasil operasi itu, 36 penari tiang warga asing termasuk empat pondan ditahan polis.
Ketua operasi Asisten Superintendan Muhammad Mohd Jais berkata, kumpulan wanita dan pondan itu melakukan tarian tiang bagi menarik kehadiran pengunjung ke pusat hiburan itu.
“Risikan mendapati persembahan itu bermula sekitar jam 11 malam sehingga awal pagi,” katanya.

”Mereka dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan bayaran RM150 sehingga RM300 untuk setiap perkhidmatan,” katanya.
Dia berkata, pelanggan dibawa ke hotel berdekatan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, pusat hiburan itu menyediakan kalungan bunga untuk dijual wanita dan pondan terbabit kepada pelanggan.
“Lagi tinggi nilai bunga yang diberikan, lagi ‘baik’ layanan diberikan kepada pelanggan.
“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di sini, untuk siasatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, pusat hiburan itu beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan pernah diserbu pihak berkuasa sebelum ini.

Hmetro Online