Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Komposer Sangkal Rancang Kontroversi Alyah Kerana AJL 29
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post



PETALING JAYA: Komposer dan penulis lirik lagu Sesal Separuh Nyawa yang dinyanyikan Alyah menyangkal tuduhan kononnya merancang kontroversi untuk mempromosikan lagu berkenaan yang bakal dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) yang bakal berlangsung Ahad ini.

Penulis liriknya, Shah Shamsiri berkata, kontroversi yang tercetus melibatkan Alyah dan suaminya Datuk Ramli MS adalah isu peribadi yang tiada kaitan dengan gimik untuk meraih simpati masyarakat dalam pertandingan itu nanti.

"Ramai yang tanya saya adakah ia satu gimik untuk AJL29 ini memandangkan terlalu ramai yang buat gimik akhir-akhir ini untuk menarik perhatian penonton.

"Tetapi, bagi saya ia adalah hal peribadi mereka dan tidak mungkin perkara itu dibuat sebagai gimik untuk tarik perhatian penonton," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Shah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persepsi segelintir masyarakat yang menganggap perkara tersebut sebagai gimik semata-mata menarik penonton menyaksikan pertandingan AJL29 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad ini.

Terdahulu, pada Ahad lalu Alyah mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar suaminya Datuk Ramli MS bersama seorang wanita di Instagram dengan kapsyen seolah-olah Ramli telah mempermainkan hatinya.

Status itu kemudiannya mendapat perhatian umum dan beberapa jam selepas itu Alyah memuat naik gambarnya bersama suami dengan menjelaskan bahawa dia terlalu beremosi sehingga membuat kesilapan tersebut.

Dalam pada itu, Shah memberitahu pada awalnya mereka agak bimbang mengenai kemerosotan persembahan Alyah dalam menyampaikan lagu berkenaan.

Bagaimanapun, penyanyi itu sudah memberi keyakinan kepadanya, komposer Aidil Zamri dan Alfie untuk mempersembahkan karya berkenaan sebaik mungkin.

"Ketika tercetuskan kontroversi ini saya agak bimbang memikirkan persembahan Alyah kerana takut fokus dia untuk malam tersebut terganggu namun dia telah meyakinkan kami untuk menyampaikan lagu tersebut sehabis baik.

"Saya beritahu dia agar luahkan segala perasaan yang terpandam itu di atas pentas dan tunjukkan kepada masyarakat tahap profesionalnya dia sebagai seorang artis berpengalaman," katanya.

Dalam pada itu, komposer lagu tersebut, Aidil Zamri berkata, pengalaman Alyah sebagai penyanyi selama 14 tahun dengan melalui pelbagai dugaan sebelum ini membuatkan dia yakin penyanyi itu mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Dia juga mengenali Alyah sebagai seorang wanita cekal yang mempunyai jati diri tinggi.

"Saya tidak risau kerana dia seorang yang kuat jati diri serta tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya. Bagi saya dia sudah melalui pelbagai dugaan selama 14 tahun menjadi artis.

"Bagi saya apa yang berlaku adalah ujian Allah kepada hambanya yang dirasakan kuat untuk berhadapan dengan ujian itu," katanya.- mStar Online

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments