Aktres Izara Aishah yang popular dengan drama "Vanila Coklat" sebelum ini memilih untuk bersikap tegas setelah membiarkan pelbagai gosip melandanya sejak tiga tahun kebelakangan ini.
"Saya mahu masyarakat tahu kerjaya dan peribadi saya adalah dua perkara berasingan yang tidak boleh dicampur-adukkan. Sebelum ini mungkin saya bersikap terbuka dan banyak berkongsi cerita dengan orang ramai sehingga akhirnya memakan diri sendiri.
"Cukup-cukuplah dengan apa yang sudah berlaku. Bagi saya, hubungan baik artis dengan media dan peminat perlu ada batasnya," jelas aktres berusia 22 tahun ini seperti dipetik dari Harian Metro.
Izara membuat keputusan mengambil langkah tersebut kerana enggan nama dan kerjayanya terjejas gara-gara kontroversi yang tidak sedap didengar.
Baginya ia bukanlah satu tindakan bersikap sombong atau keras kepala, tetapi tidak mahu spekulasi buruk yang menjadi bualan ramai.
"Sebenarnya dari dulu lagi ramai orang yang rapat dengan saya memberikan nasihat agar tidak terlalu rapat dengan mana-mana pihak yang berurusan dengan kita. Memadailah jika saya berhubung dengan media, penggiat industri atau peminat atas dasar kerja. Apabila sudah terkena macam-macam, baru saya sedar kebenaran nasihat itu," kata Izara lagi.
Izara yang bakal muncul menerusi filem "KL Zombie" pada 29 Ogos ini berkata dia lebih memilih untuk bercerita tentang kerjaya, tetapi ia tidak bermakna dia tidak mahu menyentuh langsung mengenai kehidupan peribadinya.
No comments
Post a Comment