SEORANG remaja perempuan terbunuh selepas tubuhnya “terputus dua” akibat dibaham jerung ketika berenang di Lautan Hindi semalam.
Menurut media, serangan mengerikan itu berlaku hanya kira-kira lima meter dari pantai Pulau Reunion yang terletak di antara Mauritius dan Madagascar.
Pulau Reunion adalah sebahagian daripada wilayah pentadbiran Perancis.
Pengarah Keselamatan Awam Saint-Paul, Gina Hoarau berkata, ketika itu mangsa yang berusia 15 tahun berenang bersama seorang rakannya.
“Rakan mangsa berenang ke pantai dan cuba mendapatkan bantuan, tetapi sudah terlewat,” katanya.
Gina berkata, sebahagian daripada tubuh remaja terbabit dilarikan jerung berkenaan. “Keadaan serangan itu sangat mengejutkan kerana anda tidak pernah terfikir jerung akan datang begitu hampir ke pantai,” katanya. Tahun lalu ahli politik Perancis, Thierry Robert menganggap kawasan pemuliharaan marin berhampiran Saint-Paul yang dibuka sejak enam tahun lalu “pusat makanan jerung.” Mangsa tinggal di Perancis bersama ibunya dan mengunjungi pulau berkenaan untuk melawat bapanya yang bekerja di kelab kapal layar di situ.
Sumber berkata, mangsa sedang berenang sambil menyaksikan keindahan terumbu karang di kawasan larangan dan tidak diawasi sesiapa apabila dia dibaham. – Agensi
No comments
Post a Comment