Secara umum, doktor perlu memeriksa dan meneliti masalah pesakit. Jika perlu, doktor akan jadualkan ujian darah atau pemeriksaan tertentu untuk mengenal pasti masalah sebelum memberi ubat dan rawatan.
Perkara ini juga ada kaitan dengan makanan tambahan, suplemen atau herba yang banyak dijual di pasaran.
Saya dapati ramai lelaki sering memilih jalan mudah membeli ubat atau makanan tambahan secara berleluasa tanpa sijil sah. Ini sebenarnya melanggar hukum antara pesakit dan doktor.
Doktor tidak pernah memberi ubat tanpa memeriksa pesakit seperti pembaca membeli ubat atau produk tanpa mendapatkan nasihat pakar.
Tolong faham bahawa ‘ubat’ yang dijual di pasaran dengan pelbagai nama tidak dapat menyelesaikan masalah, malah boleh memburukkan lagi keadaan.
Begitu juga peralatan dan kaedah dijual kononnya dapat membantu masalah seksual, semua itu tidak boleh diamalkan tanpa nasihat dan pemeriksaan doktor.
Mereka yang menjual produk itu bukan doktor, malah tidak termasuk dalam kategori pengamal kesihatan atau perubatan. Mereka adalah penjual dan tidak bertauliah untuk mengendalikan masalah kesihatan.
Begitu juga bomoh yang menjual produk Barat kepada pelanggan. Mereka tidak bertauliah untuk mengendalikan produk itu kerana bukan bidang mereka.
Tanpa pemeriksaan doktor, bagaimana anda tahu masalah sebenar? Memakan ubat yang tidak diperiksa atau disahkan amat berbahaya. Pembaca perlu peka dan berjumpa doktor untuk masalah seksual.
Setiap masalah berkaitan seksual seperti lemah tenaga batin, tidak tahan lama dan zakar tidak menegang adalah petanda ada penyakit yang terselindung seperti tekanan darah tinggi, sakit koronari, kencing manis dan kolesterol meningkat.
Jika tidak menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan, bagaimana penyakit ini boleh dikesan? Dengan mengambil jalan mudah dan memakan ‘ubat kuat’, anda berisiko mengalami kesan negatif yang mungkin membawa maut.
No comments
Post a Comment