Seperti yang ramai sedia maklum, pasangan sensasi Zain Saidin dan Rozita Che Wan merancang untuk melangsungkan perkahwinan mereka pada penghujung tahun ini.
“Tak banyak persiapan yang pihak saya lakukan. Kebanyakan perkara diuruskan oleh pihak Rozita. Saya cuma ikut apa yang terbaik buat kami berdua. Saya membeli hantaran dan menyediakan mas kahwin. Manakala yang lain seperti makanan, jemputan dan sebagainya, pihak Rozita yang uruskan,” jelas pelakon drama bersiri ‘Oh My English!’ ini.
Bercerita mengenai konsep perkahwinan impiannya, Zain menjelaskan yang dia inginkan sebuah perkahwinan ala taman yang dilangsungkan di luar dewan tetapi kemungkinan impiannya tidak akan terlaksana.
“Saya impikan perkahwinan dalam taman. Tetapi disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu, kemungkinan hasrat saya tidak tercapai. Apapun, konsep perkahwinan dalam taman memang merupakan hasrat saya kerana saya rasakan konsep itu amat indah sekali,” ulas Zain.
“Mengenai tajaan perkahwinan pula, memang ada pihak yang ingin menaja kami tetapi semuanya diselesaikan oleh pihak Rozita. Saya sendiri kurang pasti tajaan yang mana akan dipilih nanti. Mengenai bulan madu pula, kemungkinan besar kami akan berbulan madu di luar negara. Kalau boleh saya mahu ke negara-negara di bahagian Amerika Selatan seperti Argentina, Puerto Rico dan sebagainya kerana saya belum pernah sampai ke sana,” cerita Zain lagi.
Mengulas mengenai tarikh perkahwinannya, Zain menjelaskan sehingga kini dia dan Rozita masih belum mencapai kata putus.
“Tarikh perkahwinan masih belum diputuskan kerana kami masih mencari tempat yang benar-benar sesuai bagi melangsungkan perkahwinan kami. Selagi kami masih belum berjumpa dengan tempat yang sesuai, selagi itu tarikh sebenar perkahwinan kami tidak dapat dipastikan,” jelas Zain mengakhiri perbualan. – Gua
No comments
Post a Comment