PETALING JAYA: Pengarah teater Raja Azrey Raja Kamaruzzaman sengaja mengangkat konsep seram komedi dan mewujudkan watak-watak hantu dalam teater Hantu Rumah Mayat bagi menarik golongan muda.
Raja Azrey berkata, konsep seram komedi ini lebih ringan dan mudah difahami oleh golongan kanak-kanak dan remaja yang cuba mendekati teater.
"Kita tahu golongan seperti kanak-kanak dan remaja antara yang belum terdedah dengan teater, jadi untuk menarik minat mereka kita perlu beri teater yang ringan.
"Walaupun tajuk seperti agak seram namun kalau kita lihat tren filem-filem seram komedi mendapat tempat golongan belia dan remaja," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Teater Hantu Rumah Mayat bakal dipentaskan pada 23 hingga 25 Ogos ini di Auditorium Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah Ampang, dekat sini.
Tambahnya, sambutan menggalakkan pada pementasan Hantu Ketapang pada April lalu memberi semangat kepadanya untuk meneruskan genre tersebut.
Selain mengarah, kali ini Raja Azrey turut sama berlakon dengan memegang watak Mael di samping Shazli Cuit (Kumat), Abu Mamu (Razie Rashid) dan Opie Idayu (Rokiah).
Gandingan mereka yang turut dibantu Lanun Resdong (Arwah), Boy Raja Lawak 7 (Koroner), Azmir Cuit (Pocong) pasti membuatkan teater ini berupaya menggamit kehadiran penonton.
Tambahnya, bagi memastikan naskhah ini lebih menarik, dia turut mengguna khidmat beberapa pelawak muda tanah air yang sudah biasa beraksi di pentas teater.
“Saya harap pementasan ini mendapat sambutan menggalakkan mengulangi kejayaan Hantu Ketapang,” katanya.
Raja Azrey berkata, biarpun berskala agak kecil namun setiap pementasan yang dilakukan mempunyai pengikut tersendiri.
"Alhamdulillah, sambutan terhadap tiket berjalan lancar, kita juga terpaksa menambah pementasan bagi memenuhi pemintaan.
"Memang pada awalnya ia sekadar suka-suka, namun selepas pementasan Hantu Ketapang berjaya, ia membuatkan kami lebih serius pada pementasan kali ini," katanya.
Hantu Rumah Mayat mengisahkan empat sahabat iaitu Kumat, Mael, Razie Rashid dan Rokiah yang terperangkap dalam bilik mayat pada waktu malam selepas menziarah jenazah rakan mereka.
Mereka ingin menggunakan masa terakhir ini untuk menatap wajah arwah sebelum dikebumikan.
Semasa terperangkap, pelbagai dugaan dan kejadian aneh berlaku semasa mereka di dalam bilik mayat itu.
Di tambah pula dengan ego masing-masing yang sangat tinggi, mereka diganggu pelbagai jenis hantu. Namun mereka berjaya menepis semua usikan ini.
Pas masuk untuk menonton berharga RM10 boleh dibeli menerusi talian 010-6002123 (Ita) dan 018-3201979 (Atie). mStar
No comments
Post a Comment