Selepas berjaya menunaikan puasa penuh bulan ramadan dan puasa sunat enam Syawal tahun lalu, penyanyi dan bekas ratu cantik Soo Wincci, 28 sekali lagi berazam untuk menunaikan kedua-dua puasa berkenaan tahun ini.
Malah Syawal tahun ini akan diraikannya sekali lagi dengan amalan berpuasa sunat enam bagi memenuhi niat serta janji terhadap dirinya yang telah dilaksanakannya sejak tahun lalu.
Bercakap kepada portal murai.com.my, Soo Wincci berkata tiada niat lain untuknya meneruskan amalan berpuasa selain mencabar kesabaran minda, selain banyak membantu kesihatan tubuh badannya agar kekal langsing serta bertenaga.
“Sudah dua tahun saya berpuasa di bulan ramadan dan puasa enam syawal. Bukan sahaja badan saya dapat rehat, malahan juga ianya merupakan cabaran minda buat saya.
“Tambahan pula, inilah janji yang telah saya buat kepada diri sendiri untuk berpuasa sekiranya saya berpeluang memasuki peringkat akhir MasterChef Selebriti Malaysia tahun lalu dan nampaknya impian saya itu terlaksana. Jadi saya perlu mengotakannya,” katanya.
Tidak kekok berpuasa penuh setiap hari sejak tahun pertama, jelas Soo Wincci dia cukup teruja apabila ada teman-teman berbangsa Melayu yang telah memperkenalkan kepadanya puasa sunat enam syawal yang membuatkan hatinya terbuka untuk melaksanakan puasa berkenaan.
Katanya, walaupun bakal sibuk dengan pelbagai program TV sepanjang Syawal ini, namun dia masih memilih untuk berpuasa enam syawal sebagai cabaran diri terbaik buatnya.
“Ramai kawan-kawan dan juga peminat berbangsa Melayu yang menggalakkan saya untuk berpuasa dan apabila diberitahu akan wujudnya amalan berpuasa enam syawal, saya terus berminat untuk melaksanakannya tanpa ragu-ragu.
“Lagipun saya dapati berpuasa memang bagus untuk saya sekarang kerana saya perlu mendapatkan bentuk dan berat badan ideal untuk sesi latihan tarian tiang bagi konsert saya tidak lama lagi,” katanya yang memilih untuk berbaju kurung sepanjang ramadan lalu.
Tambah penyanyi Terus Teranglah itu, keputusan untuk berpuasa pada awalnya telah ditegah oleh ibu bapanya, bagaimanapun selepas mereka melihat dia sering bagun pagi untuk bersahur dan berbuka puasa, mereka mula faham.
Keluarganya sangat teruja kerana corak pemakanan Soo Wincci yang dulunya agak kurang seimbang, kini mula menampakkan perkembangan sihat selepas dia mula berlajar berpuasa.
“Memang banyak berbeza apabila kita berpuasa dan barulah kini saya faham bagaimana nikmatnya berpuasa oleh masyarakat Islam. Memang dapat dirasai, daripada proses bersahur, berpuasa, berbuka puasa dan hari raya. Saya dapat rasainya.
“Ada juga teman-teman Cina saya yang berminat dan mengikut saya berpuasa. Begitu juga dengan pengurus saya. Tapi saya beritahu mereka untuk mencuba dua tiga hari, baru akan dapat rasai perbezannya,” katanya.
Meskipun apa yang dilaksanakan Soo Wincci itu bukanlah satu tuntutan agama dan tidak membawa sebarang ganjaran dari sudut agamanya, namun jelas Ratu Malaysia Dunia 2008 itu dia melakukan kedua-dua puasa berkenaan hanya untuk kebaikan dirinya.
Malah dia mula disukai oleh ramai peminat berbangsa Melayu apabila dapat berkongsi topik berkenaan berpuasa kepada mereka walaupun dia bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam. (murai.com.my)
No comments
Post a Comment