KUALA LUMPUR – Wanita yang dituduh menyerang suami dan ibu mertuanya dengan sudip besi menafikan dakwaan dia berbuat demikian, sebalikya mengatakan dialah yang menjadi mangsa dalam kes tersebut.
Dia mendapat 17 jahitan ekoran kejadian itu.
Chin berkata dia telah dikelar dibahagian lengan, jari dan telinga oleh suaminya di kondominium mereka di Bandar Baru Klang pada 6 Ogos lalu.
“Dakwaan mereka menjadi mangsa dan saya memukul mereka dengan sudip besi tidak benar,” katanya pada sidang media di sini, Rabu.
Minggu lalu, Liew Pang@Low Pang, 37 dan Liw Kae Poh,67, memberitahu pemberita mereka diserang oleh Chin dengan sudip besi hingga cedera dan luka mereka terpaksa dijahit.
Kedua beranak itu mendakwa mereka diserang ketika bergaduh mengenai kertas judi.
Menurut Chin, drama itu bermula sebaik sahaja suaminya pulang ke rumah selepas berjudi di Genting Highlands pada pukul 10.30 pagi.
Chin yang sudah tidak tahan dengan tabiat buruk suaminya yang suka berjudi itu, bersemuka dengan suaminya, hingga menyebabkan pertengkaran itu menjadi lebih besar apabila ibu mertuanya campur tangan.
“Apabila ibu mertua saya masuk campur, saya bertanya mengenai kertas judi yang saya simpan atas meja dan ia telah mencetuskan kemarahannya,” kata Chin.
Dia berkata suaminya kemudian melibasnya dengan sebilah parang.
Chin mendakwa dia telah didera sejak mereka berkahwin dalam satu upacara tradisional Cina dua tahun lalu.
Mereka tidak berkahwin mengikut undang-undang yang sah kerana Liew tidak pernah bercerai dengan isteri pertamanya, serta mempunyai tiga anak dengan wanita tersebut.
Dia juga menyangkal dakwaan dia mendera anak suaminya, sebaliknya menegaskan mereka tinggal ibu mereka.
Chin, berkata dia sangat terkejut apabila melihat gambar Liew dan Lim di dalam surat khabar dengan kesan luka dan lebam, dia mendakwa pada hari kejadian mereka tidak mengalami sebarang pendarahan.
Sementara itu, Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Datuk Michael Chong berkata dia telah bertemu secara peribadi dengan pemangku Ketua Polis Selangor, Senior Asisten Komisioner, Datuk A. Thaiveegan untuk membincangkan mengenai perkara tersebut.
Liew ketika dihubungi menegaskan dia dan ibunya tidak bersalah.
Dia bagaimanapun, enggan mengulas, sebaliknya berkata dia telah membuat beberapa laporan polis berhubung perbalahan yang berlaku dalam keluarganya. - mStar Online
No comments
Post a Comment