Batam: Polis Indonesia semalam melancarkan gerakan memburu besar-besaran untuk menangkap semula 12 banduan yang melarikan diri dari penjara di pulau ini, kejadian kedua seumpamanya di Indonesia dalam masa kurang seminggu.
Kejadian semalam berlaku awal pagi apabila 12 tahanan, semuanya menanti perbicaraan berkait dengan kes dadah, memukul dua pengawal dan seorang tukang cuci sebelum melarikan diri dari penjara, kata Ketua Polis Batam Brigadier Jeneral Endjang Sudrajat.
Menurutnya, kumpulan itu memukul tukang cuci terbabit dan seorang warden dengan besi katil. Mereka kemudian menyerang seorang lagi warden sebelum memecahkan tingkap bilik pengawal untuk melarikan diri.
Gerakan besar-besaran yang dilancarkan di seluruh pulau berkenaan membolehkan polis menawan seorang tahanan. Penjara itu yang mempunyai kapasiti untuk 250 orang tetapi memuatkan lebih 400 banduan.
Khamis lalu 212 banduan, termasuk sembilan pengganas, melarikan diri dari sebuah penjara di Medan, Sumatera selepas merusuh. Sehingga semalam 103 daripada mereka sudah ditangkap semula atau menyerah diri.
Rusuhan itu itu turut menyebabkan lima orang mati.
“Kami akan menyiasat sama ada kejadian di Medan mendorong tahanan di sini untuk melarikan diri,” kata Endjang.
Rusuhan di Medan dipercayai berpunca daripada ketiadaan bekalan air sepanjang hari di penjara yang menempatkan lebih 2,600 tahanan, hampir tiga kali ganda daripada kapasiti asalnya, 1054 orang.
Polis masih menjejaki baki 109 tahanan, termasuk empat orang yang didapati bersalah atas tuduhan keganasan. - AFP
No comments
Post a Comment