TRIPOLI - Sebuah kompleks istana milik bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di sini yang dikenali sebagai Bab Al-Aziziya bakal bertukar menjadi sebuah taman hiburan.
Rancangan pengubahsuaian itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Ikram Basha Imam kelmarin.
"Kerja-kerja membersihkan runtuhan Bab Al-Aziziya yang pernah menjadi lokasi ditakuti di sini telah bermula," kata Ikram.
Menurutnya, kompleks istana tersebut dan pekarangannya akan diubah menjadi taman hiburan untuk kegunaan rakyat Libya.
Bab Al-Aziziya yang meliputi kawasan seluas beberapa hektar persegi di pusat bandar raya ini pernah menjadi kubu kuat Gaddafi selama 42 tahun pemerintahannya.
Ia dibedil semasa serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara dan serangan kumpulan pemberontak pada 20 Ogos 2011.
Kompleks istana itu kini menjadi kawasan setinggan yang dihuni oleh keluarga yang kehilangan tempat tinggal sejak konflik meletus.
Pada Oktober 2011, Gaddafi telah ditangkap dan dibunuh semasa dia cuba melarikan diri ke bandar kelahirannya di Sirte. - AFP
No comments
Post a Comment