Hong Kong – Taufan Utor membadai Hong Kong dengan angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan urusan harian pusat kewangan Asia itu lumpuh semalam, sebelum ia mengubah haluan ke Tanah Besar China.
Pejabat, sekolah dan mahkamah ditutup dan urus niaga pasaran saham digantung apabila Utor mendekati kepulauan itu.
Berpuluh-puluh penerbangan juga dibatalkan manakala khidmat bas serta feri digantung selepas taufan itu membawa angin dengan kelajuan 138 kilometer (km) sejam.
Ribut itu menyebabkan laut bergelora dan hujan lebat, berpusat 250 km ke barat barat daya Hong Kong sekitar jam 1.00 petang waktu tempatan.
Bagaimanapun, Utor semakin lemah dan dijangka bergerak ke barat laut pada kelajuan 16 kilometer sejam ke arah wilayah Guangdong, China.
Seorang dilaporkan cedera di Hong Kong, dengan angin kencang menumbangkan 15 pokok dan dua piring satelit meskipun bandar raya itu tidak terjejas, lapor akhbar South China Morning Post.
Batal penerbangan
Kira-kira 110 penerbangan yang tiba atau mahu meninggalkan bandar raya itu dibatalkan manakala 241 lagi ditunda.
Di sepanjang pantai Guangdong, pihak berkuasa meminta nelayan supaya kembali ke pelabuhan dan mengambil langkah keselamatan bagi melindungi bangunan serta peralatan di ladang akuakultur.
Ribut itu dijangka tiba di bandar raya Maoming tengah hari, sebelum terus ke wilayah Guangxi.
Beberapa penerbangan dan perkhidmatan kereta api turut digantung di Hainan. Hampir 2,000 penumpang terperangkap di lapangan terbang Sanya, kelmarin.
Utor adalah taufan terkuat tahun ini sebelum menyerang Filipina awal minggu ini, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan empat lagi hilang.
Seorang wanita di wilayah Isabela dilihat menerusi kamera dihanyutkan arus deras sungai. Mayatnya ditemui kemudian.
Berpuluh-puluh nelayan hilang selepas ribut melanda negara terbabit tetapi kebanyakan sudah ditemui, kata pegawai.
Penyelamat masih bergelut untuk tiba di sekurang-kurang tiga bandar terpencil di wilayah Aurora yang paling teruk terjejas.
Tiada komunikasi
Tiada komunikasi
“Sehingga kini, kami tidak ada komunikasi dengan tiga bandar itu dan jalan tidak boleh dilalui motosikal disebabkan runtuhan tanah batu serta pokok tumbang,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Rey Balido.
Beliau berkata, pihak berkuasa mengambil jalan lain dan tentera udara Filipina akan menyampaikan bekalan bantuan. – AP
No comments
Post a Comment