Jika kita di Malaysia ada superhero seperti KluangMan mahupun CicakMan, tetapi lain pula di Pakistan.
Sebuah rancangan kartun superhero menampilkan watak utama, Burka Avenger yang memakai burka hitam bakal bersiaran di kaca televisyen negara itu bermula bulan hadapan.
Siri animasi itu menampilkan watak seorang guru wanita yang bertarung untuk memperjuangkan sistem pendidikan di Pakistan.
Siri animasi tersebut menunjukkan bagaimana seorang guru wanita yang mempunyai kuasa luar biasa menentang penjenayah yang cuba menutup sekolah di mana dia bekerja.
Dalam sebuah set fiksyen berlatarkan bandar Halwapur, rancangan tersebut dilihat akan menggemparkan Pakistan apabila puak militan Taliban yang menghalang ribuan kanak-kanak wanita untuk ke sekolah di barat laut negara itu turut menyerang aktivis yang berkempen memperjuangkan pendidikan golongan wanita.
Bertemakan aksi-komedi, Burkan Avenger dibantu oleh tiga orang kanak-kanak sekolah yang menggunakan pen dan buku sebagai senjata dan peluru untuk menangkis kejahatan Baba Bandook dan kuncu-kuncunya.
Bintang terkemuka Pakistan, Aaron Haroon Rashid menyifatkan siri animasi itu sebagai sebuah medium penekanan tentang kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak terutama wanita.
Menurut laporan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan statistik kerajaan Pakistan yang dikeluarkan pada tahun lepas, hampir tiga suku kanak-kanak perempuan daripada keseluruhan kanak-kanak di negara itu tidak mendaftar di sekolah rendah.
Pada Oktober tahun lalu, penembak Taliban telah menembak seorang remaja perempuan Pakistan, Malala Yousafzai di kepala apabila Malala berkempen untuk memperjuangkan hak pendidikan golongan wanita untuk ke sekolah.
Yousafzai yang terselamat dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Lembah Swat, barat laut Pakistan itu telah mendapat perhatian dunia.
Pada awal Julai lalu, dia telah menyampaikan ucapan yang cukup hebat dalam persidangan PBB di New York di mana dia berikrar untuk tidak disenyapkan oleh pengganas.
No comments
Post a Comment