Di saat semua orang sibuk hendak berbuka puasa, seorang lelaki pula mengambil kesempatan mahu mencuri.
Malangnya cubaan itu bukan sahaja tak berjaya malah dia dibelasah pula oleh penduduk kampung yang berang dengan tindakannya cuba berbuat onar.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai runcit di Kampung Duyung, Kuala Terengganu sekitar jam 7.30 malam kelmarin, suspek yang berusia 30-an pada mulanya berpura-pura kononnya ingin membeli barang.
Namun ketika pembantu kedai, Shaiza Ismail, 30, sedang sibuk melayan permintaan seorang pelanggan di satu sudut kedai, dia mengambil kesempatan melarikan sejumlah wang di kaunter pembayaran.
Mujurlah, tindakan itu disedari salah seorang pelanggan yang segera menjerit bagi menggertak suspek.
“Saya terpaksa meninggalkan kaunter pembayaran seketika kerana melayan pelanggan dan langsung tidak sedar kehadiran suspek yang ketika itu sudah pun berada di kaunter pembayaran.
“Tetapi, tindakan suspek yang semasa itu sedang mengambil wang di kaunter telah disedari seorang pelanggan yang baru masuk ke dalam kedai, sebelum dia menggertak bagi menakutkan suspek,” kata Shaiza yang ketika kejadian, berseorangan melayan pelanggan di kedai runcit milik keluarganya itu.
Shaiza berkata, suspek yang terkejut dengan sergahan daripada pelanggan cuba melarikan diri namun gagal apabila berjaya ditangkap orang ramai.
Hasil pemeriksaan, mereka menemui wang tunai sebanyak RM350 dalam kocek seluarnya yang dipercayai sempat dirembat suspek dari dalam laci.
Menurutnya, orang ramai yang berang kemudiannya bertindak membelasah pencuri itu sebelum menyerahkannya kepada pihak polis yang tiba tidak lama kemudian.
Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sinar Harian
No comments
Post a Comment