DIA dilaporkan bernilai $250 juta namun penyanyi pop, Jennifer Lopez mendedahkan pernah merempat ketika remaja.
Jennifer mendedahkan pengalamannya itu dalam satu temubual dengan W Magazine.
Menurut Jennifer, dia pernah merempat di dalam studio tarian ketika berusia 18 tahun selepas bergaduh dengan ibunya berhubung karier dalam bidang seni yang dipilihnya itu.
Penerima anugerah Grammy itu berkata, kerana memilih bidang tersebut dan menolak untuk melanjutkan pelajaran di kolej seperti yang disarankan oleh ibunya itu, dia terpaksa angkat kaki dan keluar dari rumah.
“Saya tidak mempunyai rumah dan terpaksa tidur di atas sofa di dalam studio tarian. Itulah yang perlu saya lakukan.
“Beberapa bulan kemudian saya menjadi penari di Eropah dan selepas kembali ke sini, saya terlibat dalam `In Living Color’ dan kemudian berpindah ke Los Angeles. Semua itu berlaku dalam tempoh setahun,’’ katanya.
Bagaimanapun Jennifer berkata, ia mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan kehidupan di Hollywood selepas menetap di Bronx, New York.
Jennifer kini merupakan ibu kepada dua anak kembar berusia lima tahun iaitu Max dan Emme.
“Saya berharap dapat menunjukkan contoh yang baik untuk pembesaran mereka dan mengajar mereka etika kerja yang baik.
“Saya melihat bagaimana bapa saya terpaksa bekerja lewat malam dan saya menyedari bahawa dia melakukannya untuk kami sekeluarga,’’ katanya.
Jennifer juga telah membintangi lebih 30 filem dan empat siri televisyen,.
Dengan rekod jualan album hampir 75 juta, dia disifatkan sebagai antara aktres berpengaruh di Amerika Syarikat.
No comments
Post a Comment