Nama penyanyi kelahiran Kundasang, Sabah, Siti Adira Suhaimi, 22, memang tak habis-habis dikaitkan dengan banyak lelaki dan beberapa episod percintaan yang terdahulu.
Sebelum ini empunya badan mengakui pernah bercinta dengan Hafiz Af sementara dia juga pernah digosipkan bercinta dengan pemuzik AG Coco dan Alif Aziz.
Terbaru Adira dikatakan bercinta dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia, Shahrul Nasrun Kamaruddin apabila gambar kedua-duanya sedang mencuba baju di butik pereka terkenal Ezuwan Ismail dikongsikan melalui akaun Instagram pereka tersebut.
Mengulas tuduhan sesetengah pihak mengatakan dia seorang ‘playgirl’ atau kata mudahnya seorang yang gemar memainkan perasaan orang lain, Adira menjelaskan, “mereka sekadar nampak luaran, tetapi orang tidak tahu apa sebenarnya yang saya lalui. Saya tidak makan hati dicop sebagai ‘playgirl’, yang penting saya bukanlah wanita yang suka menabur janji manis dengan ramai lelaki dalam satu masa.
“Saya masih muda, jadi saya berhak berkawan dengan ramai orang untuk memilih yang terbaik. Segala tuduhan yang dilemparkan kepada diri saya pula tidak akan sesekali membuatkan kerjaya nyanyian saya goyah. Malah saya masih kuat apatah lagi dengan sokongan keluarga yang membantu saya meneruskan langkah dalam bidang ini,” katanya yang dipetik menerusi Berita Harian.
Bercakap mengenai hubungan dengan Shahrul, Adira mendedahkan bahawa mereka masih belum memasuki fasa bercinta sebaliknya masih mengenali hati budi jejaka yang dikenalinya sejak beberapa bulan yang lalu.
Adira juga akan mempertimbangkan hasrat berhari raya ke kampung halaman jejaka tersebut di Kelantan kerana pada hari raya ketiga dia berhasrat untuk menghadiri majlis perkahwinan Ezuwan yang berlangsung di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Majlis pernikahan Ezuwan jatuh pada Hari Raya ketiga, jadi saya masih memikirkan sama ada mahu ‘lari’ sekejap ke sana. Kalau boleh saya mahu menghabiskan lebih banyak masa di samping keluarga, lagipun bukannya selalu kami dapat berkumpul beramai-ramai,” ujarnya lagi.
No comments
Post a Comment