KUALA LUMPUR – Sidang media sempena Minggu Setiausaha melibatkan penyanyi dari Indonesia, Hetty Koes Endang agak memeranjatkan apabila wanita itu enggan muncul pada majlis terbabit di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Khamis.
Tindakan Hetty, 55, itu adalah berpunca daripada salah faham selepas pihak penganjur iaitu Niqas Resources gagal menjelaskan bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus untuk beliau menjayakan acara itu.
Sidang media yang sepatutnya bermula pukul 3 petang itu tertangguh lebih dua jam sehinggalah pihak penganjur berjaya memujuk Hetty yang khabarnya bersetuju selepas rundingan mengenai soal bayaran dilakukan selain bantuan Ketua Pegawai Eksekutif, PWTC, Datuk Maxson Abdullah.
Pengarah Urusan Niqas Resources, Iman Aristone berkata, kejadian itu berpunca soal bayaran apabila pihaknya tidak memenuhi perjanjian berhubung perkara itu kepada Hetty.
“Kami menghadapi masalah berhubung pembayaran yang tidak lancar seperti yang dijanjikan pada hari ini (Khamis) kerana sebab-sebab tertentu. Saya minta maaf dan mengaku ia adalah kesilapan pada pihak saya,” katanya.
Bagaimanapun Hetty yang akhirnya muncul selepas berpuas hati dengan perjanjian dan memperoleh bayaran dengan jumlah tertentu sambil menganggap kejadian itu adalah lumrah apabila seseorang artis berurusan dengan penganjur acara.
“Ini adalah perkara biasa bagi artis, malah berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, ada yang lebih teruk pernah saya hadapi.
“Sebagai artis saya harus bersikap profesional terhadap perkara seperti ini. Alhamdulillah ramai yang berada dengan saya tadi dan membantu menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, majlis Sepetang di Kuala Lumpur Bersama Hetty Koes Endang sempena Minggu Setiausaha yang diadakan ini adalah sebagai tanda penghargaannya kepada para peminat di Malaysia.
Acara yang akan diadakan di PWTC pada 25 April depan itu bakal diserikan dengan 12 buah lagu popular Hetty yang pernah didendangkannya suatu ketika dahulu.
Dalam acara yang sama pelawak Saiful Apek akan turut membuat persembahan manakala Datuk Ramli MS bertindak sebagai pengarah muzik.
Ia akan dikendalikan oleh Daphnie Iking sebagai pengacara manakala Saiful Apek bertindak sebagai artis undangan.
Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan ini dijual dengan harga RM15,000 (satu meja – 10 orang) bagi kedudukan VVIP manakala lain-lain tiket dijual pada harga RM500, RM750 dan RM1,000 bagi setiap seorang.
Untuk tempahan tiket, orang ramai bolehlah menghubungi 016-2631303, 0111-5511055, 012-25788854 atau membuat bayaran terus di kaunter PWTC pada waktu pejabat.-mStar Online
No comments
Post a Comment