Sungai Siput: Dua ahli sindiket pengedaran dadah disifatkan `berani
mati’ apabila bersiar-siar di sekitar pekan ini sambil membawa tiga
ketulan ganja mampat seberat tiga kilogram dalam raga motosikal.
Suspek yang masing-masing berusia 25 tahun itu dikesan berkeliaran
di depan sebuah pusat beli-belah sebelum ditahan sepasukan anggota
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Perak dan anggota BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.
Dalam kejadian jam 7.20 malam kelmarin, suspek yang bekerja sebagai pemandu jentolak dipercayai cuba menyerahkan dadah berkenaan kepada pelanggan sebelum diberkas.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Kasuahdi Ali berkata,
hasil penahanan itu polis berjaya merampas tiga balutan pita plastik
berisi ketulan mampat daun ganja dianggarkan seberat hampir tiga
kilogram.
Menurutnya, dadah itu dianggarkan bernilai RM2,350 mengikut nilai pasaran dan diperoleh suspek dari daerah berdekatan.
“Siasatan awal polis percaya dadah itu mahu dijual suspek kepada penagih sekitar Sungai Siput, Kantan dan Chemor. “Dadah dirampas itu mampu menampung bekalan selama sebulan bagi penagih di tiga kawasan itu. Ini rampasan terbesar IPD Sungai Siput sejak awal tahun lalu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, polis yakin penahanan kedua-dua suspek itu sekali gus
menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di Sungai
Siput Utara.
“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
“Polis kini masih memburu saki baki kumpulan ini yang dipercayai masih bebas,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah termasuk kes curi motosikal yang sering dilaporkan di daerah itu.
No comments
Post a Comment