Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi


Kuala Lumpur: Dua lelaki cedera ditembak dalam kejadian berasingan di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama dan di Taman Makmur, Lunas, Kulim, malam tadi.
Dalam kejadian di Taman Sri Sentosa, seorang pemandu van pelancong cedera akibat ditembak berdekatan sebuah kedai serbaneka 9.30 malam tadi. 
Mangsa yang berusia 27 tahun dipercayai terkena dua das tembakan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan kecemasan. Sementara itu di Kulim, seorang lelaki cedera parah selepas terkena dua das tembakan pada perut dan kaki kanan di sebuah kedai kopi di Taman Makmur, Lunas, kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Mangsa berusia 39 tahun dipercayai tembak ketika sedang berbual bersama seorang rakannya sebelum didatangi seorang daripada dua suspek.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, sebelum kejadian beberapa pelanggan lain turut berada di dalam kedai kopi berkenaan tetapi di meja berasingan. 
"Secara tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi keledar meluru masuk lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa. 

"Rakan mangsa serta beberapa pelanggan lain sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan. 

"Mangsa yang mengalami kecederaan di badan serta kaki kanan dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal," katanya. 

Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


IPOH - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terbabas melanggar motosikal sebelum terjunam ke dalam parit dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Ipoh – Lumut berhadapan Taman Arked, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, kemalangan yang berlaku jam 6.30 petang itu berlaku apabila pemandu kereta berusia 55 tahun dipercayai diserang sakit belakang dan leher menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan dipandunya.

Menurutnya, mangsa bersama isterinya yang berusia 36 tahun dari Menglembu dalam perjalanan ke Batu Gajah sebelum terbabit dalam insiden tersebut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak dapat mengawal kenderaannya lalu melanggar seorang lelaki berusia 51 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami luka di kepala, patah bahu kanan dan kecederaan di kaki kanan.

“Manakala, mangsa mengalami sakit leher serta pinggang dan isterinya cedera dan luka di tangan kanan,” katanya yang memberitahu ketika kejadian cuaca baik dan keadaan jalan kering serta lurus.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta bantuan trak penunda untuk menarik kereta ke atas jalan raya.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 kerana gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan,” katanya.
 

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.
“Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Khair berkata, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, KPM mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya supaya dapat mengurangkan bebanan tugas guru.
“Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan eviden dan pencapaian murid, termasuk juga pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.
Dr Khair berkata, di samping memastikan kajian dan penelitiannya dilaksana secara berkesan, KPM juga mengambil beberapa langkah segera bagi menanganinya termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari ini bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
Beliau berkata, KPM juga akan mengadakan bengkel membabitkan guru termasuk kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS.
“Bengkel berkenaan akan dilaksanakan pada awal dan pertengahan Februari ini dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, pihak KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS,” katanya.
Sementara itu, bagi menangani isu berbangkit berkaitan PBS dengan segera dan berkesan, KPM akan mewujudkan ‘war room’ PBS di peringkat KPM.
“Usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem berkenaan secara lebih mudah dan berkesan.
“Semua tindakan berkenaan diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama, mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya,” katanya. – Berita Harian


GEORGETOWN - Polis mengesahkan seketul daging yang ditemui di pekarangan Masjid Cherok Tokun, Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah, adalah daging babi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pengesahan itu adalah berdasarkan laporan yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Beliau berkata, polis juga sudah merekodkan enam keterangan daripada orang kampung dan ahli jawatankuasa masjid.

“Dalam kes ini, polis tidak akan bertolak ansur dengan tindakan mana-mana individu cuba mencetus provokasi yang boleh menggugat perpaduan kaum.

“Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menimbulkan suasana menggugat ketenteraman awam dan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Polis Pulau Pinang.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Ahad lalu, daging babi itu ditemui oleh seorang pembantu imam  yang ingin menunaikan solat Subuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, daging berukuran sebesar dua tapak tangan dewasa itu ditemui lelaki berkenaan yang ingin memasuki ruang masjid.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi Rakan Cop di talian 04-2295900 atau mana-mana balai polis terdekat.


SHAH ALAM - Sejumlah 4,908 mangsa banjir ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara yang terletak di Tenom dan Keningau sehingga jam 8 malam tadi.

Memetik laporan RTM Sabah, bacaan aras Sungai Pagalan masih melepasi paras bahaya pada 177.02 meter menurun daripada 179.62 meter sebelum ini.

Di Tenom, seramai 3.806 orang yang terjejas banjir ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara.

Namun, 11 keluarga daripada lima kampung sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Keningau pula, seramai 1,102 mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara.

Bacaan aras Sungai Bayayo melepasi paras bahaya iaitu 174.30 meter.

SH


Baling: Helah lima warga asing bermalam dalam hutan bagi mengelak diberkas anggota penguat kuasa tidak berhasil apabila dicekup ketika pemeriksaan berhampiran sebuah tapak pembinaan di Pulai, dekat sini, dalam Ops 6P Bersepadu, awal pagi semalam.

Taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada lelaki warga Myanmar berkenaan dikesan apabila anggota penguat kuasa ternampak sebuah pondok kira-kira 20 meter dari tapak binaan itu selepas mendapati rumah kongsi tidak berpenghuni.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat kuasanya Aidil Safri Adnan berkata, kelima-lima warga Myanmar berusia 20-an itu ditahan dalam pondok kayu yang dijadikan tempat berteduh kira-kira jam 3 pagi dipercayai bagi mengelak dikesan anggota penguat kuasa.

Menurutnya, seorang wanita warga Indonesia turut ditahan ketika tidur dalam rumah kongsi di tapak pembinaan sama dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Enam orang yang ditahan adalah antara 22 PATI membabitkan 16 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 15 hingga 42 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam pemeriksaan di enam lokasi di daerah itu.

Ipoh: Seorang warga emas maut selepas terjatuh ketika menyertai ekspedisi memanjat Gunung Sugu 35 kilometer dari Simpang Pulai, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa Lee Kar Giap, 61, dari Petaling Jaya, Selangor menyertai ekspedisi memanjat gunung berkenaan bersama 27 rakannya yang lain bermula jam 9 pagi sebelum turun jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa bersama rakannya menyertai ekspedisi memanjat gunung berkenaan sejak pagi sebelum keluar dari gunung pada sebelah petang.

“Ketika menuruni bukit berkenaan mangsa terjatuh lalu pengsan. Rakan mangsa seorang doktor membuat pemeriksaan terhadapnya mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan. “Mangsa dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Anggota bomba menerima panggilan jam 3.50 petang sebelum tiba berhampiran kaki bukit Gunung Sugu setengah jam kemudian bersama satu jentera serta satu unit motosikal RRV dengan 11 anggotai diketuai Ketua BBP Simpang Pulai, Rozmie Hamat.

Mangsa berjaya dikeluarkan dari gunung berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara rakan mangsa yang menyertai ekspedisi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.



Putrajaya: Mesyuarat Majlis Sosial kali ketiga yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membentangkan dua kertas kerja masing-masing bertajuk ‘Kehamilan dan Kematian Di Kalangan Remaja’ oleh Kementerian Kesihatan dan Agenda Sosial Negara 2014 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri semalam, Kementerian Kesihatan menyatakan senario kehamilan dan kematian dalam kalangan remaja kini semakin serius dan perlu pendekatan holistik untuk mencegah dan membendungnya. 

Justeru, kerjasama berterusan amat diperlukan terutama dari ibu bapa, guru, badan bukan kerajaan (NGO), ahli agama dan ketua masyarakat bagi memberikan kesedaran menyeluruh kepada remaja.
Sementara itu, perbentangan kertas kerja kedua oleh KPWKM pula menerangkan lebih lanjut senarai program Agenda Sosial Negara 2014 yang akan dilaksanakan tahun ini.

Antara program yang akan difokuskan termasuk memberi tumpuan kepada kumpulan sasar kementerian dan isu sosial yang spesifik untuk ditangani dan dibendung oleh kementerian.

Pada masa sama, kempen kesedaran dan pencegahan akan dilaksanakan bagi menangani masalah sosial yang sudah dikenal pasti.

Pada mesyuarat sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyediakan kertas makluman bertajuk ‘Kadar Jenayah Di Malaysia - Program Pencegahan oleh PDRM’ sebagai makluman awal kepada ahli mesyuarat.

Mesyuarat Majlis Sosial yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya itu turut dihadiri sembilan menteri; dua wakil NGO dan dua pegawai awam yang juga ahli tetap majlis.



KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah dikhuatiri mati lemas selepas bertindak terjun ke Sungai Padas di Beaufort kira-kira 97km dari sini, ketika melarikan diri daripada polis Rabu.
Lelaki berusia lingkungan 20-an itu bertindak demikian apabila bertembung dengan sepasukan enam anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Hospital Beaufort.
Ketua Polis Daerah BeaufortDSP Mustafa Maarof berkata kejadian kira-kira 5 petang itu, lelaki itu telah meninggalkan beg yang mengandungi syabu seberat tiga gram.
"Apabila lelaki itu ternampak sepasukan anggota polis, dia terus melarikan diri ke belakang tokong Cina sebelum terjun ke dalam sungai itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya setakat ini pihak polis masih belum mengetahui keadaan dan identiti lelaki itu.
"Penduduk kampung yang berdekatan diminta agar memaklumkan kepada pihak polis sekiranya terdapat maklumat mengenai suspek," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin berkata Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort menerima maklumat dari polis pada 6.13 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.
"Maklumat awal mendapati mangsa pada mulanya kelihatan berada di tengah sungai dan seterusnya hilang. Operasi ditangguhkan 6.45 petang tadi," katanya ketika dihubungi. -BERNAMA


TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan hari ini tiada kenaikan tol lebuh raya bakal berlaku dan kerajaan akan membayar RM400 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat, memetik laporan ringkas Bernama.
Pada hujung tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata tahun 2014 adalah masanya untuk kadar tol di lebuh raya dinaikkan mengikut perjanjian konsesi yang ditetapkan.
Menurut beliau pada masa itu, perjanjian konsesi menyatakan kadar bayaran tol perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.
“Bagaimanapun kadar itu tidak dinaikkan dan kerajaan membelanjakan RM400 juta untuk membayar pampasan untuk mengekalkan kadar sedia ada, yang boleh digunakan untuk perkara lain.
“Telah tiba masanya untuk mengotakan perjanjan yang telah dipersetujui,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan mewarna dan melukis sambutan ulang tahun ke-50 Bangunan Parlimen di dataran Parlimen pada 14 Disember lepas mengikut laporan Bernama.
Dengan pengumuman Muhyiddin itu, rakyat boleh menarik nafas lega apabila disahkan tiada kenaikan tol di konsesi lebuhraya akan dilaksanakan pada tahun ini.
Gambar Hiasan

Bera: Akibat tinggal di rumah kerana tiada sanak-saudara pulang sempena sambutan Tahun Baru Cina, seorang nenek berusia 65 tahun bertindak menghiburkan hati dengan menyertai sindiket perjudian di dalam ladang kelapa sawit di Perkampungan Kerayong Selatan, dekat sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, hasrat warga emas itu untuk berhibur tidak kesampaian apabila dia dicekup bersama 13 lagi kaki judi dalam serbuan polis kira-kira jam 8.30 malam.

Serbuan itu diketuai Inspektor Mohamed Izawan Zakariah bersama sepasukan anggotanya daripada Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hasil maklumat awam.

Pegawai Turus D7 Deputi Superintendan Azlihan Ishak berkata, sebelum serbuan, polis membuat intipan dan mengepung kawasan ladang kelapa sawit itu bagi mengelak semua kaki judi melarikan diri.

Menurutnya, sebaik saja serbuan dilakukan, nenek terbabit bersama kaki judi lain cuba memboloskan diri di kawasan ladang kelapa sawit namun gagal kerana sudah dikepung.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, polis merampas wang tunai berjumlah RM5,000 daripada setiap pemain dan beberapa keping cip digunakan untuk berjudi.
“Pada masa sama, polis turut menemui sekeping nota tercatat ‘tidak boleh letak wang, hanya cip saja’ namun percaya itu hanya taktik untuk mengelirukan polis.

“Siasatan awal mendapati markas perjudian terbabit dipercayai dibuka sejak beberapa hari lalu sebelum sambutan Tahun Baru Cina oleh seorang penduduk,” katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati, ada antara mereka mengakui mahu berseronok sempena sambutan Tahun Baru Cina selain memberitahu rasa bosan tinggal di rumah.

Katanya, semua barang rampasan itu bersama kaki judi berkenaan dibawa ke Balai Polis Bera untuk siasatan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.



Kota Bharu: Seorang remaja berusia 13 tahun bukan saja dilanggar malah turut digilis kenderaan sama sebelum pemandunya dipercayai melarikan diri dalam kejadian menyayat hati berhampiran rumah neneknya dekat Kampung Panchor, Jalan Kemumin, di sini, jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, kejadian itu turut disaksikan oleh sepupunya, Nor Suhadah Fauzi, 17, yang sebelum itu bersama mangsa, Muhammad Arif Salleh berjalan kaki untuk membeli kad prabayar di sebuah kedai terletak kira-kira 15 meter dari rumah nenek mereka.

Nor Suhadah berkata, mereka berdua keluar rumah pada jam 9.46 malam untuk ke kedai memandangkan mangsa mahu menggunakan perkhidmatan Internet.

Katanya, mereka berdua hanya berjalan kaki di bahu jalan dan dia sempat memimpin tangan mangsa namun dilepaskan ketika dalam perjalanan ke kedai itu.

“Mula-mula saya pimpin tangan dia tetapi dia lepas dan berjalan di depan. 



KOTA BHARU – Seorang wanita didera oleh suaminya kerana enggan memberi wang RM100 kepada suaminya yang juga seorang penagih dadah di rumah mereka di Kampung Temusu, Limbat, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata dalam kejadian  kira-kira 7 malam itu, lelaki berusia 26 tahun tersebut dilaporan memukul kepala isterinya yang berumur 21 tahun dengan belakang kapak dan mengikat leher isterinya dengan rantai dan dikunci dengan mangga.

Beliau berkata anggota keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu telah  menghubungi pihak polis, namun lelaki tersebut sempat melarikan diri apabila polis tiba.

Wanita berkenaan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Mangsa yang baru melahirkaan anak kedua, ketika ditemui di hospital berkata dia masih trauma dengan kejadian itu.

“Saya takut untuk kembali ke rumah itu lagi dan menganggap hubungan antara kami (dengan suami) telah berakhir. Sekarang tumpuan saya ialah untuk membesarkan dua anak saya dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi kepada saya,” katanya yang telah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya. – BERNAMA


Sabak Bernam: Seorang nelayan sanggup membawa anak lelakinya ke satu kawasan yang dipenuhi penagih dadah semata-mata hanya untuk melepaskan ketagihannya di kawasan hutan bakau dekat Jalan Pantai, Panchang Bedena, dekat sini, kelmarin.

Warga tempatan berusia 26 tahun itu mendakwa terpaksa membawa anaknya itu kerana isterinya sudah pulang ke Kemboja untuk memperbaharui pasportnya manakala kedua-dua orang tuanya pula tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Lelaki berkenaan adalah antara 19 penagih yang diberkas selepas kawasan melepaskan gian mereka diserbu kira-kira jam 6.30 padi dan berakhir jam 3 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, daripada jumlah penagih itu, seorang adalah wanita dan semua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Menurutnya, seramai 15 anggota dan dua pegawai diketuai Asisten Superintendan Ramly Raaf melakukan operasi secara bersepadu di kawasan itu dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah di ‘port’ berkenaan.

“Dalam usaha memutihkan kawasan ini, polis menjalankan intipan selepas menerima laporan daripada orang awam memaklumkan kawasan ini sering dijadikan port penagihan dadah,” katanya.

Berdasarkan maklumat itu, polis melancarkan gerakan ‘memburu’ penagih yang kebanyakan tinggal sekitar daerah Sabak Bernam dengan membuat sekatan dan menahan mereka yang dipercayai menuju ke kawasan hutan bakau berkenaan untuk melepaskan gian.

“Operasi ini dianggap berjaya walaupun usaha untuk menahan mereka berdepan dengan pelbagai halangan dan kesulitan apabila ada antara mereka cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam tali air berdekatan,” katanya.

Menurutnya, polis juga menahan seorang lelaki yang membawa anak lelakinya yang masih kecil ke kawasan berkenaan. Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada datuk dan neneknya.

“Ketika disoal siasat lelaki berkenaan memberitahu dia terlalu gian hingga terpaksa membawa anaknya ke kawasan itu kerana isterinya sudah pulang ke negara asal,” katanya.

Menurut Noor Mushar, kawasan hutan bakau itu menjadi pilihan kaki lalok memandangkan lokasinya yang tersorok.

“Kita yakin penagih sering keluar masuk ke dalam kawasan ini untuk melepaskan gian dan kita harap dengan operasi seperti ini akan dapat membanteras kegiatan terbabit pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan menjalani ujian air kencing di IPD Sabak Bernam dan 12 daripadanya positif dadah, tiga di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan selebihnya dibebaskan.

“Mereka yang positif akan direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.


MUAR – Seorang kanak-kanak menempuh detik hitam bukan hanya dirogol dan diliwat, tetapi menerima 18 jahitan di kemaluan akibat ditoreh dengan senjata tajam apabila enggan melakukan seks oral, oleh lelaki yang menculiknya di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku ketika murid berusia 10 tahun berkenaan dalam perjalanan ke sekolah agama dengan menaiki basikal bersendirian melalui jalan pintas dari rumahnya.
Mangsa diculik di lorong dalam kebun getah pada jarak kira-kira 150 meter dari rumah penduduk.
Menurut sumber, mangsa didatangi lelaki berusia 37 tahun yang menariknya masuk ke dalam kereta sebelum dilarikan.
“Mangsa dibawa ke tempat pembuangan sampah lalu dirogol dan diliwat dalam kereta tersebut.
“Seorang pekebun ternampak mangsa diculik tetapi tidak sempat menghalang kerana kejadian berlaku dengan pantas,” katanya.
Sumber berkata, pekebun itu mencatat nombor pendaftaran kereta suspek sebelum menghubungi pihak polis.
Katanya, suspek berjaya diberkas kira-kira jam 5 petang kelmarin semasa berhenti di sebuah stesen minyak dipercayai untuk mengisi minyak.
Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, jalan pintas itu sememangnya sunyi kerana dikelilingi kebun getah.
“Tetapi penduduk tidak ada pilihan lain kerana laluan itu mempercepatkan perjalanan hantar anak ke sekolah serta turut digunakan mangsa setiap hari,” katanya. - Sinar Harian


Ipoh: Seorang lelaki ditemui mati dengan kepala berlumuran darah dan hanya berseluar dalam berhampiran pencawang telekomunikasi bersebelahan sebuah kilang di Jalan Perindustrian Kanthan 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, A R Govindaraju, 30, dipercayai dihentak kepalanya dengan objek tumpul berulang kali sebelum dibiarkan mati di dalam kereta Honda City.

Ketika ditemui, mayat mangsa berada di tempat duduk belakang kereta dalam keadaan telentang dan separuh bogel.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Ahmad Tarmizi Abdul Haq berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang curiga selepas melihat but kereta mangsa terbuka di kawasan pencawang itu.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati ada enam kesan kecederaan di kepala mangsa yang dipercayai akibat dipukul dengan besi atau kayu.

“Semakan mendapati, mangsa tinggal di Ladang Dovenby, Sungai Siput manakala kereta Honda City terbabit pula dilaporkan hilang pada Mei tahun lalu selain menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.



KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan beberapa dakwaan berkaitan Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2014 yang tersebar melalui media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Jabatan itu dalam satu kenyataan menjelaskan JPJ mempunyai pasukan penyamaran bagi mengesan kesalahan-kesalahan utama yang boleh menyebabkan kemalangan. 

Katanya, pasukan tersebut hanya mengumpul bukti bergambar dan menghantar notis siasatan kepada pemilik berdaftar untuk hadir temusiasat bagi menentukan pesalah sebelum saman dikeluarkan.

Kenyataan itu juga menafikan dakwaan JPJ menetapkan sasaran 15 saman kepada seorang anggota semasa Ops berkenaan serta kadar kompaun tidak kurang daripada RM1,000.

"Kadar kompaun adalah berdasarkan kepada kadar yang telah ditetapkan iaitu tidak melebihi RM300," katanya sambil menambah operasi perlu dijalankan menggunakan kenderaan jabatan dan bukan melibatkan kenderaan persendirian.

Anggota ditugaskan mengikut syif yang ditetapkan tanpa melibatkan sebarang tuntutan elaun lebih masa atau tuntutan perjalanan, katanya.

"Sekiranya didatangi oleh individu yang mendakwa dirinya adalah pegawai JPJ tanpa memakai uniform dan gagal menunjukkan kad kuasa, maka orang ramai perlu membuat laporan kepada pihak JPJ atau polis dengan segera," katanya.

Khabar angin disebarkan melalui media sosial dan SMS berhubung Ops TBC 2014 yang mendakwa JPJ akan mengadakan ops penyamaran tanpa sekatan jalan raya; anggota JPJ diberi sasaran 15 saman; anggota JPJ tidak memakai pakaian seragam; dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri ketika bertugas; dibenarkan membuat tuntutan dan saman dikenakan tidak kurang daripada RM1,000. - BERNAMA


ENDAU – Mayat seorang lelaki yang sudah berbau busuk dan berulat dengan hanya memakai seluar dalam ditemui terdampar oleh seorang penduduk di pantai Kampung Sungai Mengkuang, di sini, kira-kira jam 5.15 petang tadi.
Penduduk, Azmi Mahmood, 44, berkata, dia diberitahu oleh seorang wanita bersama anak perempuannya bahawa mereka melihat satu objek terdampar yang kelihatan seperti mayat manusia di tepi pantai berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk kepastian dengan melihat lebih dekat objek tersebut.
Bagaimanapun, cubaan beliau untuk untuk merapati dan melihat objek berkenaan dengan lebih dekat yang jaraknya kira-kira 100 meter dari pantai gagal kerana keadaan lumpur tebal.
“Setelah mengharungi lumpur pantai kira-kira 50 meter saya mula terhidu bau busuk serta dapat melihat dengan jelas mayat seorang lelaki hanya berseluar dalam terdampar di pantai.
“Saya segera berpatah balik untuk menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Susulan daripada itu, sepasukan anggota penyelamat diketuai Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Husin bersama enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu membawa mayat itu ke pantai.
“Pasukan penyelamat menghadapi sedikit kesukaran untuk menghampiri mayat itu dan operasi membawa naik mangsa ke pantai memakan masa kira-kira setengah jam kerana terpaksa mengharungi lumpur hingga ke paras pinggang untuk sampai ke lokasi,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim berkata, keadaan mayat tanpa sebarang dokumen berkenaan yang ditemui sudah berbau dan berulat dipercayai mati lebih tiga hari seterusnya menyukarkan proses pengecaman.
“Setakat ini identiti mangsa yang dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun masih belum dapat dikenalpasti dan dipercayai warga asing (Thailand) berdasarkan tanda tatu yang terdapat pada tubuh si mati,” katanya.
Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. - Sinar Harian Online

IPOH – Seorang penunggang motosikal maut dan anggota badannya hancur selepas terbabit dalam kemalangan dipercayai dengan kenderaan berat sebelum diseret sejauh lebih 40 kilometer, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, serpihan daging dan motosikal mangsa jenis Honda EX5 ditemui di Kilometer 274.2 arah Selatan kira-kira 800 meter ke susur keluar Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Ipoh.
Serpihan daging dan sebahagian tangan serta kaki mangsa kemudian turut ditemui Kilometer 317 kawasan Tapah arah Selatan.
Pemeriksaan melalui nombor pendaftaran motosikal yang ditemui, mangsa dikenalpasti sebagai Ahmad Mahmud, 25, beralamat di Lot 15 Kampung Majidi, Serdang, Kedah yang dalam perjalanan dari kampungnya ke tempat kerja di kilang PROTON di Tanjung Malim, dekat sini.
Ketika kejadian keadaan cuaca baru lepas hujan dan jalan licin.
Difahamkan ibu mangsa sudah dimaklumkan mengenai kemalangan ngeri itu. – HARIAN METRO


KIRA-KIRA 10 bulan lalu, dirinya ditimpa musibah apabila suaminya, Allahyarham Asisten Superitendan Zulkifli Mamat, anggota VAT69 gugur dalam pertempuran menentang pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Masih terbayang-bayang lagi tangisan Noor Ziah Noor, 28, sewaktu berhadapan dengan dugaan yang begitu besar tatkala dia mempunyai dua anak kecil yang masih dahagakan kasih-sayang seorang ayah.

Lebih memilukan lagi, pada waktu itu, dia baru sahaja mengandungkan anak ketiga hasil perkongsian hidup dengan arwah Zulkifli.

Bagaimanapun, kesedihan Noor Aziah Noor, 28, sedikit terubat apabila bayi lelaki itu dilahirkan pada Oktober tahun lalu.

Namun, disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari apabila Noor Aqib Syahid yang baru berusia tiga bulan disahkan terkena jangkitan kuman pada paru-parunya pada pertengahan bulan ini.

Ketika ditemui pihak Mynewshub di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras hari ini, Aziah memaklumkan bahawa anaknya sebelum ini sudah pun menerima rawatan di sebuah hospital di Perlis.

Dia mula dimasukkan ke wad pada 16 Januari lalu dan dibenarkan keluar pada 22 Januari. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, saya lihat keadaannya kembali tidak sihat. 

Aqib kelihatan penat dan nafasnya agak laju daripada biasa sehingga menyebabkan saya terpaksa membawanya kembali ke hospital. Bayi saya kemudiannya ditahan semula di wad berkenaan sehinggalah 26 Januari lalu.

“Semalam, saya membawanya ke HUKM memandangkan saya perlu menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Op Daulat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Ia sekaligus memudahkan saya untuk menjaganya di sini selain mahukan rawatan yang terbaik untuk anak saya. Pada masa yang sama,  hospital ini mempunyai ramai pakar yang mungkin boleh membantu dalam memulihkan kesihatan Aqib,” katanya.

Ditanya keadaan terkini bayi itu, Aziah menjelaskan Aqib kini dalam keadaan stabil, namun masih memerlukan rawatan dan perhatian rapi.

“Saya cuma berharap agar anak saya kembali pulih seperti sediakala dan memohon agar orang ramai sudi mendoakan yang terbaik untuk kesihatan anak saya,” ujarnya tenang ketika mengakhiri perbualan.