KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak menggunakan ‘kangkung’ sebagai penjelasannya
sebelum ini berhubung harga barang kerana ia sekadar contoh barangan
yang digunakan ramai orang.
“Saya suka makan kangkung, anda
semua suka makan kangkung…(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang
makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu
sahaja makan.
“Tidak seharusnya contoh itu
dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip
‘supply and demand’ (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga
sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga
kawalan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas
isu ‘kangkung’ yang ditimbulkan sesetengah pihak susulan penjelasannya
sebelum ini berhubung harga barang sambil menambah bahawa perkara itu
tidak patut dipermainkan.
Dalam pada itu, Najib telah mengarahkan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
supaya lebih tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang sesuka
hati.
Perdana Menteri berkata, ia bagi
memastikan peniaga lebih beretika dalam menjalankan aktiviti perniagaan,
sekali gus membantu rakyat.
“Saya dah arahkan kementerian untuk
gunakan akta sedia ada yang mana kuasa dan tindakan boleh diambil
terhadap mana-mana peniaga yang umumkan bayaran atau caj yang terlalu
tinggi, (semata-mata) untuk mendapat untung lebih.
“Ini satu cara bagaimana kita boleh
bantu mengurangkan harga kepada pengguna dan rakyat, (akibat) peniaga
tidak beretika yang cuba mencari kesempatan dalam masa sekarang,”
katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Bersama Perdana Menteri
anjuran Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di sini Jumaat malam.
Beliau turut menggesa pengguna supaya
lebih proaktif dengan terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya
mereka mengesan peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan. – BERNAMA
No comments
Post a Comment