Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » 2 Pegawai Mangsa Samun Remaja Bermotosikal
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post


KUALA LUMPUR: Seorang pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri dan Pengarah Jabatan Pembangunan Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) masing-masing mengalami kerugian selepas menjadi mangsa samun kumpulan remaja bermotosikal di sekitar daerah Dang Wangi, semalam.
 
Dalam kejadian pertama, Pengarah Jabatan Pembangunan Kewangan BNM, Kamari Zaman, Juhari, 56, yang menukar rutin harian datang ke pejabatnya lebih awal, disamun sekumpulan tujuh lelaki menaiki lima motosikal pada jam 6.50 pagi, di hadapan bangunan BNM, Jalan Kuching, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata kejadian berlaku ketika mangsa berada dalam kereta Mercedes Benz miliknya sedang menunggu pagar utama bangunan BNM dibuka jam 7 pagi, sebelum didatangi suspek berusia lingkungan 20-an yang mengepung kiri dan kanan keretanya.

Seorang suspek bersenjata parang bertindak memecahkan cermin sisi penumpang depan sebelum seorang lagi suspek memaksa dan mengugut mangsa supaya membuka pintu jika tidak mahu dicederakan.

Kesan Suspek Menerusi CCTV

Akibat ketakutan dan bimbang keselamatan dirinya, mangsa membuka pintu sebelum dipaksa menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai RM2,000, kad kredit, tiga telefon bimbit, jam tangan dan cincin kepada suspek dianggarkan bernilai RM25,000, katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Zainuddin berkata, semua suspek memecut motosikal dinaiki selepas mendapati tindakan mereka dilihat beberapa individu berhampiran lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan identiti suspek kes itu termasuk mendapatkan maklumat beberapa saksi yang melihat kejadian berkenaan.
Disamun Di Lampu Isyarat

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Masyanti Abang Ibrahim, 48, yang menaiki kereta Proton Waja dan berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Dewan Bahasa, di sini, disamun dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5, pada jam 2 petang semalam.

Ketika kejadian, pembonceng motosikal itu bertindak memecahkan cermin penumpang depan sebelum melarikan beg tangan diletakkan di tempat duduk pemandu mengandungi wang tunai RM3,000, dua telefon bimbit, kad bank, kad kredit, buku bank serta kad pengenalannya.

Kedua-dua suspek kemudian memecut motosikal berkenaan, manakala mangsa yang terkandas dalam kesesakan lalu-lintas gagal mengenal pasti nombor pendaftaran dinaiki mereka.

Polis Daerah Dang Wangi menyiasat dua kes itu mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. Saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments