Kapar – Berang disaman polis kerana
melanggar lampu isyarat merah dan tidak memakai topi keledar, seorang
lelaki nekad membakar kereta Toyota Vios milik seorang anggota polis
berpangkat konstabel dalam kejadian di sebuah taman perumahan di daerah
ini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa
berusia 20-an sedang tidur di rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi
penggera kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumah.
Menurut sumber, curiga dengan bunyi
penggera itu, mangsa bingkas bangun dan keluar meninjau keadaan di luar
sebelum menyedari keretanya sudah terbakar.
Katanya, tanpa berlengah, mangsa segera
memadam kebakaran keretanya itu bagi mengelak ia merebak dan
membahayakan jiran yang tinggal bersebelahan.
Menurutnya, kereta mangsa terbakar di
bahagian depan dan belakang manakala cermin hadapannya berlubang
dipercayai di baling botol berisi petrol.
“Siasatan awal mendapati, rakan serumah
mangsa yang juga bertugas di balai polis sama ada mengeluarkan saman
kepada seorang lelaki yang menaiki motosikal kerana tidak mematuhi lampu
isyarat merah serta tidak memakai topi keledar di sekitar Klang
kira-kira jam 3 pagi, hari yang sama.
“Namun, lelaki terbabit yang berusia
20-an itu berang kerana disaman dan mengeluarkan kata kesat dan mengugut
rakan serumah mangsa itu.
“Tidak gentar dengan ugutan itu, rakan
serumah mangsa tetap mengeluarkan saman. Namun, dia tidak menyangka
lelaki itu akan membalas dendam dengan membakar kereta yang disangka
kereta anggota polis yang menyamannya,” katanya.
Sumber berkata, sepasukan polis berjaya
menahan empat lelaki di sekitar Klang dan seorang daripada mereka
mengaku membakar kereta rakan mangsa yang disangka kereta mangsa
menggunakan minyak petrol bersama dua lagi rakannya. – myMetro Online
No comments
Post a Comment