MALAYSIA bercadang
menghantar angkasawan kedua negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)
menjelang tahun 2016 selepas misi pertama berjaya dilaksanakan oleh
Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007 lalu.
Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara
(Angkasa), Mohd Zamri Shah Mastor berkata, pihaknya kini sedang
mengumpul maklumat bagi penyelidikan yang akan dilakukan oleh angkasawan
kedua negara di ISS.
Menurutnya, penghantaran angkasawan kedua juga perlu dilihat dari beberapa aspek seperti kajian cuaca dan juga ekonomi negara.
Mohd Zamri berkata, kos menghantar angkasawan ke ISS memerlukan dana yang besar, dan boleh mencecah RM100 juta.
“Cadangan penghantaran angkasawan kedua
negara sebelum ini telah pun diluluskan oleh Kabinet, tapi ia bergantung
kepada keadaan ekonomi negara pada tahun 2016 nanti," katanya.
Terdahulu, Mohd Zamri menjadi ahli panel
pada Program Bengkel Astrofotografi bersama media anjuran Yayasan
Angkasan Malaysia di Paya Indah Wetland.
Turut hadir dalam program tersebut,
Angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed dan Yang Dipertua,
Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Sebelum ini, pada tahun 2007 buat julung
kalinya Malaysia telah menghantar angkasawan pertama negara Dr Sheikh
Muszaphar dengan kerjasama Rusia.
Hasilnya, pelbagai penyelidikan dapat dilaksanakan antaranya membabitkan sel kanser dan leukemia.
Mohd Zamri berkata, buat masa ini,
pihaknya merancang meneruskan kerjasama dengan Rusia dan dalam masa sama
sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS),
Perancis dan China.
Katanya, kerajaan juga sebelum ini telah
meluluskan peruntukan sebanyak RM271.9 juta untuk program pembangunan
satelit RazakSAT-2 yang merupakan satelit penderiaan jauh bagi memantau
permukaan bumi.
“Manakala pada 2018 pula kita akan
lancarkan RazakSAT-3 dan kedua-dua satelit ini mempunyai jangka hayat
selama tujuh tahun,” katanya. YAM rangka kerjasama Ketua Pegawai
Eksekutif YAM Rajini Ramlan berkata, bagi meneruskan misi ini , Yayasan
Angkasawan Malaysia dan Angkasa turut bekerjasama pelbagai pihak dan
juga media bagi memastikan penghantaran angkasawan kedua negara mencapai
objektif diharapkan.
Katanya, YAM juga menganjurkan bengkel
astronomi bersama media bagi mempertingkat pemahaman mereka berkaitan
sains dan teknologi angkasa lepas.
"Cara ini juga mempertingkat kesedaran
awam berkaitan dengan ilmu angkasa lepas yang dilihat mampu
menyelesaikan sebahagian besar masalah bumi.
"Program angkasa lepas perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya sekadar penghantaran angkasawan ke ISS sahaja,” katanya.
Sementara itu, Mejar Dr Faiz Khaleed bersedia memberikan yang terbaik sekiranya terpilih dihantar ke ISS.
Menurutnya, latihan yang disertai selama
setahun sebelum ini berjaya melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu
agar dapat memberikan komitmen yang tinggi apabila berada di ISS kelak.
"Persiapan untuk ke ISS perlu diukur
dalam beberapa aspek dinilai iaitu dari segi mental fizikal, akademik,
kesihatan dan sebagainya.
“Saya sudah bersedia dan tidak menolak
jika dihantar menyertai latihan tambahan, jadi sekarang terpulang kepada
kerajaan untuk menyatakan persetujuan bagi melaksanakan misi tersebut,”
katanya.
Faiz berkata, dengan keazaman yang tinggi beliau mampu untuk lakukan terbaik.
Mengulas mengenai kepentingan teknologi
sains kepada pelajar, beliau berkata, ia adalah usaha yang baik dan
sewajarnya diperluaskan dengan menarik lebih ramai penyertaan golongan
muda bagi mengetahui apa itu angkasawan kepada pelajar sekolah serta
universiti.
"Adalah usaha penting bagi memastikan
kesedaran awam terhadap kepentingan sains angkasa dan pembentukan modal
insan berasaskan sains, teknologi, inovasi dan pembangunan negara dapat
dilaksanakan secara terancang, meluas, berkesan, dan berterusan,"
katanya.
Teruja melihat cerapan cahaya
Wakil media yang menyertai bengkel
teruja apabila dapat merasai pengalaman menarik yang tidak mungkin dapat
dilihat dengan mata kasar.
"Kami berpeluang melihat cerapan cahaya yang melintasi Malaysia setiap dua minit pada jam 5 pagi.
"Di samping itu juga, kami dapat melihat
sendiri penggerakan ISS dan satelit melintasi Malaysia pada waktu
tersebut," kata seorang wartawan akhbar tempatan.
Katanya, selain dapat melihat keindahan
alam semula bengkel ini juga memberi satu keinginan kepada kita untuk
mengetahui dengan lebih mendalam kehidupan di angkasa lepas.
"Dengan menggunakan teleskop kelihatan juga Planet Musytari," katanya.
No comments
Post a Comment