Di matanya, aktor bernama Farid Kamil adalah seorang pelakon yang cukup dikagumi. Dalam erti kata lain, gadis putih gebu ini sangat meminati gaya lakonan sekaligus dan menyifatkan suami kepada pelakon Diana Danielle itu sebagai seorang bintang filem hebat.
Sementelah digandingkan bersama dalam drama adaptasi novel, Jodoh Itu Milik Kita, Tiz mengakui malu, berdebar dan janggal setiap kali berdepan dengan bintang pujaan hatinya itu.
“Awal-awal penggambaran tu saya rasa janggal. Saya jadi berdebar sebab lagipun ini pertama kali kami digandingkan bersama. Starstruck juga lah sebenar dengan dia.
“Nak, nak dalam drama ni kami sebagai pasangan suami isteri. Drama ni berat sebab saya banyak menangis. Banyak juga babak romantik. Jadi bila saya perlu manja-manja dengan Farid, saya malu. Tapi kami masing-masing anggap macam kawan-kawan dah lama-lama tu, saya mula selesa”, katanya yang sekali lagi melakonkan watak wanita bertudung.
Dicanang-canang bakal mencetus fenomena, Jodoh Itu Milik Kita mengisahkan konflik dalaman suami, Aariz Danial (Farid) yang terpaksa menawarkan dirinya tampil di saat-saat akhir menggantikan tempat adiknya yang sepatutnya berkahwin dengan Dahlia (Tiz).
Drama yang turut dibintangi Nabila Huda, Syazwan Zulkifly, Ziela Jalil, dan Keith Foo akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam bermula 19 Ogos depan di saluran 134, Mustika HD.
Sanggup Tak Beraya Demi Kucing
Dalam pada itu Tiz sempat berkongsi mengenai persiapan raya Aidilfitri. Seperti tahun-tahun sudah, setiap kali menjelang lembaran, dia dan ayahnya akan sibuk mengemas rumah. Sementara ibunya pula akan menyediakan juadah hari raya. Kebiasaannya mereka sekeluarga akan beraya di subang kemudian pulang ke kampung ayahnya, di Negeri Sembilan
dan selepas itu ke kampung ibu, di Melaka.
“Selalunya saya lebih suka mengemas dan menghias rumah. Ibu saya yang akan masak juadah. Baju raya pula, kami beli siap jer. InsyaAllah, kakak saya yang tinggal di Singapura akan balik ke sini raya kali ni. Walaupun keluarga kami kecil tapi raya memang meriah.
Bagaimanapun penggemar juadah rendang ayam dan nasi impit ini, sambutan raya tidak diraikan terlalu beria sebaliknya hanya sederhana. Malah untuk pulang ke kampung pun hanya untuk sekejap kerana dia risau mahu meninggalkan kucing-kucing kesayangannya dalam tempoh yang lama.
“Kat rumah, kami ada 20 ekor kucing. Ada kucing biasa dan parsi. Asalnya kucing kat rumah dua ekor saja. Waktu umur saya sembilan tahun, kawan ayah saya yang hadiahkan kucing-kucing tu. Lama-lama membiak. Keluarga saya memang pencinta kucing. Saya juga ada bela sugar glider. Saya tak suka hantar di pusat jagaan, sebab banyak terjadi kes ngeri dan saya susah nak percaya pada mana-mana pusat jagaan binatang.
“Itu yang susah kalau nak balik kampung lama-lama. Jadi keluarga saya memang akan balik hari je lah ke kampung. Kami ke kampung ayah kemudian singgah kampung ibu dan malam balik semula ke Kuala Lumpur”, katanya yang membelanjakan sebanyak RM800 sebulan bagi membeli makanan binatang-binatang peliharaannya itu.
Meskipun risaukan kucing-kucing, kata Tiz dia tetap akan pergi beraya ke rumah kekasihnya, Daniel Haziq.
“InsyaAllah, pergi. Lagipun sepupu-sepupu dia adalah kawan-kawan saya juga. Jadi kami akan saling ziarah menziarah lah nanti”, ujarnya. - Malaysian Digest
No comments
Post a Comment