PETALING JAYA: Pelawak AR Badul mengakui ramai yang menganggap dia memiliki lebih daripada seorang isteri sedangkan dia tidak pernah mengamalkan hidup berpoligami.
Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 63, berkata, walaupun agama Islam membenarkan untuk berbuat demikian namun dia tidak sanggup menerima cara hidup berpoligami kerana risau sekiranya tidak dapat berlaku adil.
"Memang ramai yang anggap saya ini ada ramai isteri. Memang betul, saya ada lima orang isteri. Tetapi sudah menjadi bekas isteri sahaja. Saya berkahwin, kemudian berpisah dan berkahwin lain.
"Dan yang hanya ada kini ialah seorang wanita dalam hidup saya di mana kami baharu mendirikan rumah tangga pada dua tahun lalu.
"Mungkin kerana kekeliruan itu membuatkan saya dilabel lelaki yang mengamalkan hidup berpoligami," selorohnya.
Bagaimanapun tambah Badul, dia tidak kisah dengan tanggapan orang ramai kerana mengakui ia berpunca daripadanya yang tidak terlalu mendedahkan hal peribadinya kepada umum.
"Salah saya juga kerana tidak berkongsi hal peribadi saya, tetapi tidak mengapa, bukan salah mereka untuk menganggap saya begitu (berpoligami)," ujarnya.
Sementara itu, Badul memberitahu, dia kini mula beralih ke bidang produksi animasi pula sejak tawaran lakonannya semakin berkurangan.
Animasi yang dihasilkan itu diterbitkan di bawah syarikat produksinya sendiri iaitu Makmur Megah Sdn Bhd.
"Sekarang ini saya sibuk dengan kerja-kerja produksi animasi. Alhamdulillah, beralih sedikit ke bidang ini memberi kepuasan yang berlain pula.
"Maklumlah tawaran lakonan dah semakin tidak ada. Jadi saya perlu memikirkan sesuatu untuk terus hidup dalam dunia seni ini," ujarnya.
Ditanya adakah dia kecewa dengan situasi industri seni yang semakin melupakannya, Badul berkata, dia akur dengan perkara tersebut kerana sudah lama bersiap sedia untuk kemungkinan itu.
"Dahulu saya selalu jadi hero, kemudian jadi bapa dan lama-lama hilang terus. Saya rasa itu satu perkara yang normal dalam industri seni kita.
"Bukan di negara ini sahaja, bahkan di Indonesia mengalami situasi yang sama lebih-lebih lagi terlalu ramai pendatang baharu yang ingin bergelar pelakon.
"Jadi rasanya, tidak perlulah untuk kita berasa kecewa kerana tidak dipanggil berlakon. Saya anggap ia adalah sebahagian proses kehidupan sebagai pelakon," tuturnya.
mStar
No comments
Post a Comment