Pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah mengakui pernah membuatkan ibunya, Roshida Hashim menangis gara-gara luahan hatinya untuk tidak mahu mempunyai insan bernama lelaki lagi dalam diari hidupnya. Kata-kata itu diluahkan selepas hubungan cintanya dengan pelakon Fizz Fairuz kecundang di tengah jalan.
“Apa yang berlaku membuatkan saya menangis kerana saya tidak kuat untuk menghadapinya. Malah, saya juga pernah terfikir untuk tidak mahu ada lelaki lagi dalam hidup saya. Namun, kata-kata saya itu telah membuatkan ibu saya menangis kerana ibu memberitahu jika kita sakit, kita perlu insan yang bernama suami atau lelaki untuk menjaga kita,” ujar Almy.
Almy ketika ditemui di Rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini juga turut memberitahu dia sudah melupakan kisah yang berlaku antaranya dengan bekas kekasih dan mengakui kini menerima Fizz sebagai kawan.
“Saya pernah meletakkan Fizz sebagai musuh saya dalam industri, namun saya berfikiran positif dan menerimanya sebagai kawan. Saya tak nak bermusuh dengan sesiapa kerana sebagai hamba Allah, saya kena berkawan dan berbuat baik dengan semua orang. Saya kurang berkawan dengan rakan artis yang lain. Tetapi sebab dia bekas kekasih saya, saya berkawan saja. Alhamdulillah, kami tiada masalah untuk berkawan. Malah, kami juga turut bekerjasama dalam program ‘Seiring Sejalan Raya’,” ujar Almy memberitahu tidak terfikir untuk kembali semula kepada Fizz.
“Tidak pernah terlintas langsung soal kembali balik kerana jika terlalu memikirkan mengenai hal ini, macam meletakkan harapan saja. Saya serah kepada Allah kerana jika terlalu mengharap kita boleh kecewa. Lagipun, soal kembali balik ini benda yang ke-100 saya nak fikir sebab banyak lagi perkara lebih penting seperti keluarga serta kerjaya yang perlu saya fikirkan,” ujar Almy lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, pelakon yang bakal meraikan sambutan Aidilfitri di kampung halamannya, Pulau Pinang ini turut menganggap apa saja yang berlaku dalam kehidupannya sejak kebelakangan ini sebagai kehendak Ilahi.
“Satu persatu dugaan yang menimpa saya. Selepas putus cinta, rumah keluarga saya terbakar, ibu saya terjatuh di bilik air sehingga tulang rusuk kanannya patah dan baru-baru ini, anak saya pula demam panas. Namun, Alhamdulillah dugaan ini membuatkan saya lebih kuat. Jika saya tidak berfikiran positif, saya rasa boleh jadi gila agaknya. Saya sentiasa letak dalam fikiran yang Allah bagi dugaan ini sebab tahu saya boleh menghadapinya.”.gua.com.my
No comments
Post a Comment