MANCHESTER – Seorang jurutera perisian komputer dari New Hampshire menembak mati anak lelakinya yang berusia sembilan tahun sebelum membunuh dirinya sendiri ketika sesi lawatan yang diselia di pejabat Persatuan Wanita Muda Kristian (YWCA), kata pihak berkuasa semalam.
Penyelia dewasa turut hadir di pusat itu ketika Muni Savyon, 54, mengambil pistol lalu menembak Joshua Savyon sebelum menembak dirinya sendiri kira-kira jam 10 pagi, kata pejabat pendakwa raya.
Savyon menulis e-mel kepada seorang teman menyatakan dia akan membunuh diri sebelum kejadian itu, kata Rabbi Levi Krinsky dari Chabad Lubavitch, Manchester.
Krinsky berkata, Savyon mengalami kemurungan sejak pulang dari pengebumian abangnya di Israel dan ada menemuinya minggu lalu tetapi tidak menyangka lelaki itu akan membahayakan orang lain dan dirinya sendiri.
“Apa yang mendorongnya untuk membunuh anak lelaki dan dirinya sendiri? Saya tidak fikir ada orang yang tahu mengapa,” katanya.
Ahad lalu, YWCA dibuka untuk lawatan penyeliaan kanak-kanak dan pertukaran hak penjagaan.
Krinsky berkata, Savyon dan ibu anaknya berkongsi hak penjagaan terhadap kanak-kanak itu selepas berpisah beberapa tahun lalu.
Savyon sebelum ini pernah mengancam untuk membunuh dirinya, bekas isteri dan juga anak lelakinya.
Sementara itu, Ellen Savyon Vig yang pernah berkahwin dengan Savyon dan kekal sebagai kawan selepas kedua-duanya bercerai pada 1997 menyifatkan bekas suaminya sebagai seorang yang baik hati.
Ellen berkata, Savyon sangat rapat dengan abangnya dan menyayangi anak mereka.
“Dia tidak ganas dan akan cuba membantu sesiapa saja. Dia memang orang yang baik,” katanya. – Agensi
No comments
Post a Comment