KOTA BAHRU – Seorang anggota polis maut dalam nahas jalan raya di Simpang Empat, Kampung Paya Rambai di sini ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Jembal di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.05 petang itu, L/Kpl Farulazli Rosdi, 27, yang bertugas di Balai Polis Tumpat, sedang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC sebelum dikatakan bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama lalu terbabas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata mangsa maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah lagi kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah bertentangan.
“Difahamkan, mangsa yang berasal dari Taman Sri Lambak, Kluang, Johor itu selesai bertugas pada 5 petang dan ketika kejadian, mangsa masih memakai uniform polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
Farulazli yang berkhidmat selama tujuh tahun sebagai anggota polis meninggalkan seorang isteri, Nur Farahudanadirah Ya, 26.- BERNAMA
No comments
Post a Comment