Dubai: Di negara yang terkenal dengan kemewahan rakyatnya berbelanja, rumah bergerak atau karavan bukanlah sesuatu yang diminati.
Bagaimanapun, penduduk Dubai mungkin perlu berfikir lebih daripada sekali apabila melihat sebuah kenderaan yang boleh dijadikan rumah bergerak ini.
Kenderaan sepanjang 12 meter ini dilengkapi pelbagai keistimewaan, termasuk kemasan emas pada badannya.
Ia dijangka dijual pada harga RM8.4 juta seunit dan bakal menjalar di jalan raya Dubai tidak lama lagi. Pengeluarnya, Marchi Mobile, mengesahkan kenderaan dikenali sebagai EleMMent Palazzo itu sedang disiapkan sebelum diperkenalkan di Dubai.
RUANG pemandu dalam kenderaan EleMMent Palazzo.
Ketua Pengurus Jenama Marchi Mobile, Juliane Rönisch berkata, sejumlah pengguna dari Dubai menunjukkan minat mendapatkan kenderaan syarikat Jerman - Austria itu. “Ketika ini kami mengeluarkan antara lima hingga 10 unit EleMMent Palazzo setahun dan ia dihantar ke seluruh dunia,” katanya. Juliane berkata, kenderaan tempahan khas itu boleh mencecah harga lebih mahal jika kemasannya ditambah dengan emas. Bagi syarikat itu, katanya, model komersial kenderaan itu boleh diperoleh dengan harga minimum RM3.2 juta. “Untuk model lebih mewah, harganya ialah dua juta euro (RM8.4 juta) setiap satu,” katanya. Bagaimanapun, ketika ini model Marchi Mobile itu tidak dipamerkan di Dubai.
Kata Juliane, mereka juga tidak bercadang membuka cawangan tetap di Emiriah Arab Bersatu atau mana-mana negara Teluk.
“Tetapi ketetapan itu mungkin boleh berubah,” katanya. Sementara itu, kenyataan syarikat Marchi Mobile menyebut, siri mode EleMMent itu bukan sekadar kenderaan konsep, sebaliknya sedia dihasilkan dalam unit terhad. EleMMent Palazzo boleh dilengkapi pelbagai ciri kemewahan, seperti bumbung terbuka, bumbung telus cahaya dan tangga.
No comments
Post a Comment