KUALA BESUT – Cubaan seorang pelancong dari Korea Selatan untuk menyelamatkan suaminya yang menghadapi kesukaran bernafas ketika mandi di perairan Tanjung Langir dekat Teluk Aur, Pulau Perhentian Kecil, semalam, bertukar menjadi tragedi apabila dia pula yang lemas.
Kim Dong Huk, 52, meninggal dunia setengah jam selepas diselamatkan oleh penduduk, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian mangsa bersama suami, KyungMin Baek, 54, seorang ahli perniagaan, dan sepasang rakan senegara melakukan aktiviti snokeling di tempat kejadian pada jam 10 pagi.
Menurutnya, selepas kira-kira dua jam, mangsa nampak suaminya tenggelam timbul menyebabkan mangsa cuba menyelamatkannya dengan memegang kuat badan suaminya.
“Bagaimanapun, dalam keadaan panik itu, mangsa tenggelam.
“Suami dan rakannya tidak dapat menyelamatkan mangsa dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Kamaruddin berkata, mangsa dihantar ke Pusat Kesihatan Pulau Perhentian, tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Mayat Kim dihantar ke Hospital Besut di Jerteh untuk bedah siasat.
Suaminya, ketika ditemui Sinar Harian berkata, mereka tiba di Pulau Perhentian pada 20 Julai lalu untuk bercuti bersama dua rakan.
Menurutnya, beliau amat sedih dengan pengorbanan isterinya yang berusaha menyelamatkannya, tetapi dia sendiri menemui ajal.
Pasangan berkenaan dijadualkan pulang Korea Selatan pada 23 Julai dengan kapal terbang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur sebelum berlepas pulang pada hari sama.
Dalam kejadian berasingan, Mimi Sakira Mohd Zaki, 19, dari Kuala Besut terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Semerak-Kuala Besut.
Kejadian berkenaan berlaku berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kuala Besut, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
Semasa kejadian, mangsa membonceng motosikal yang ditunggangi ibunya, Normah Mohamad, 47.
Apabila tiba berhampiran sekolah berkenaan, sebuah kereta jenis Perodua Myvi melanggar mereka dari arah belakang.
Berikutan kejadian itu, mangsa yang parah di leher dan mengalami pendarahan, dihantar ke Hospital Besut.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, jam 4 pagi semalam. – Sinar Harian
No comments
Post a Comment