Arau – Sebuku sabun dan sebilah pisau lipat kecil adalah barangan yang terdapat dalam poket seluar sukan milik Nur Hidayat Talib, 22, yang ditemui mati dalam keadaan mengaibkan di Jalan Padang Siding, dekat sini, kelmarin dipercayai akibat dibunuh.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Beruas, Mukim Binjal, Jitra, Kedah dikatakan suka hidup berdikari dengan tinggal menyewa rumah di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, identiti lelaki itu hanya dikenal pasti selepas majikannya membuat pengecaman sebelum mengesahkan mangsa bekerja sebagai buruh binaan.
Menurutnya, siasatan awal turut menemui sebuku sabun dan pisau lipat kecil di dalam poket kiri seluar sukan yang dipakai mangsa ketika mayatnya ditemui, namun tidak pasti kegunaannya.
“Mangsa tinggal menyewa di tingkat dua sebuah rumah kayu bertentangan dengan lokasi tempat dia dibunuh dan semua barangan peribadi miliknya termasuk telefon bimbit serta beg duitnya turut ditemui.
“Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapati mangsa mati akibat lemas sama ada dicekik atau dijerut,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkenaan sudah dituntut ahli keluarganya pada lewat malam kelmarin.
“Polis masih belum dapat mengenal pasti motif kejadian bunuh berkenaan dan belum mendapat petunjuk suspek yang mungkin terbabit.
“Sehingga kini tiada suspek ditahan dan polis hanya mengambil kenyataan daripada keluarga, penyewa, majikan serta beberapa individu lain,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan seorang lelaki ditemui mati dibunuh dalam keadaan mengaibkan dengan anggota badannya diikat secara berdiri di atas tangga sambil kemaluannya sengaja ditunjukkan kepada khalayak ramai di sebuah dusun di Kampung Padang Siding, di sini. – HARIAN METRO
No comments
Post a Comment