KUALA LUMPUR – Penyanyi Anas (Mentor 6)
meluahkan keinginannya untuk mengembangkan cabang seni sebagai seorang
pengarah filem dan teater selain menceburi karier nyanyian.
Anas atau nama sebenarnya Anas Ridzuan,
24, berkata, kerana itu dia mengambil keputusan menyambung pengajiannya
peringkat Ijazah Sarjana Muda, Pengarahan Teater sebagai langkah
permulaannya sebelum mengarah.
“Sebelum menceburi bidang nyanyian lagi menerusi pertandingan Mentor 6 tahun lalu, saya merupakan seorang penggiat teater.
“Jadi saya tidak mahu mensia-siakan pengalaman yang ada. Buat masa ini saya mahu cari ilmu dahulu sebelum mengarah,” katanya.
Tambah Anas, dia juga mengimpikan untuk
menghasilkan sebuah filem atau teater berunsurkan budaya negara Malaysia
seperti Mak Yong yang di modenkan, sesuai dengan penonton generasi baru
yang menyaksikannya.
“Jika dilihat zaman kini, budaya-budaya
tradisional Melayu tidak lagi diendahkan, jadi saya kalau boleh mahu
mengarahkan karya berkaitan budaya negara kita dengan olahan yang lebih
‘urban’.
“Bagaimanapun semua ini masih lagi dalam
perancangan. Apa-apa hal, saya mahu belajar dahulu, selain mengutip
pengalaman menerusi kerja-kerja lakonan saya,” ujarnya.
Sementara itu, Anas turut mengakui
perjalanan karier nyanyiannya agak perlahan sejak keluar daripada
pertandingan program realiti Mentor 6 tahun lalu.
Namun ia tidak melunturkan semangat
penyanyi lagu Hanya Dirimu ini untuk meneruskan karier yang dianggap
penuh dengan cabaran dalam mengukir namanya sebagai penyanyi yang
berjaya.
“Saya anggap diri ini masih baru dan jauh lagi perjalanan dalam mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi yang baik.
“Apa-apa pun saya tidak pernah menyerah
kalah walaupun perkembangan nyanyian saya agak perlahan. Tetapi tetap
bersyukur kerana sehingga kini masih lagi menerima tawaran undangan
membuat persembahan,” tuturnya. – mStar Online
No comments
Post a Comment