KUANTAN : “Walaupun dia hanya anak angkat, amanah itu sepatutnya dijaga bukan didera,” kata Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah kepada seorang peniaga, Abdul Muhamad Khalifah Ali, 39, selepas lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, terhadap pertuduhan mendera anak angkatnya menggunakan seterika panas September tahun lalu.
Tuan Ruzuaini menyifatkan perbuatan tertuduh itu tidak berperikemanusiaan kerana mendera kanak-kanak lelaki yang baru berusia tujuh tahun.
“Dalam usianya baru tujuh tahun, dia berdepan tekanan emosi selain kecederaan fizikal yang serius akibat perbuatan kamu,” katanya.
Abdul Muhamad dari Taman Tas, dekat sini, menjaga mangsa bersama isterinya sejak kanak-kanak itu masih kecil.
Akibat perbuatan lelaki itu, mangsa melecur di beberapa bahagian badan termasuk lengan, tapak kaki dan badan akibat ditekap seterika panas di rumah mereka di Lorong Tas 24, Taman Tas, pada 5 September tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Berikutan pengakuan bersalah itu, Tuan Ruzuaini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dari tarikh tertuduh ditangkap dan denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika dia menjelaskan denda berkenaan.
Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memaklumkan dia dan isterinya menjaga tiga anak angkat termasuk mangsa selain tiga anak sendiri.-HM
No comments
Post a Comment