Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » ” Kami Tidak Bersikap Perkauman Langsung,” Tegas PM Pada CNN
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

" Kami Tidak Perkauman Langsung," Tegas PM Pada CNN

KUALA LUMPUR – Perjuangan Malaysia bagi kesederhanaan dan pembaharuan tidak akan goyah walaupun kerajaan menerima kritikan daripada sesetengah kumpulan konservatif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam wawancara dengan Christiane Amanpour dari CNN dalam program “Amanpour” yang disiarkan Jumaat petang, beliau berkata kerajaan Malaysia komited dengan perjuangan itu dan turut menjadi keutamaan beliau adalah memastikan negara aman dan harmoni.

Najib, bagaimanapun berkata bagi membolehkan mencapai matlamat jangka panjang negara itu, perlu mengharungi “beberapa rintangan di sepanjang jalan”.

“Dan jika anda mahukan kestabilan berpanjangan, anda perlu pastikan majoriti rakyat tidak terpinggir.

“Pendek kata, kami turut memenuhi, dalam cara yang amat inklusif, keperluan golongan minoriti. Misalnya dalam ucapan bajet saya, saya menangani kebimbangan masyarakat India Malaysia. Kami tidak bersikap perkauman langsung,” katanya.

Amanpour bertanya kepada Najib mengenai tekanan-tekanan yang dihadapinya di tanah air, yang jelas telah memaksanya membuat perubahan terhadap banyak daripada pembaharuan yang telah beliau perkenalkan.

“Saya percaya kami akan mencapai matlamat-matlamat kami. Dalam setiap negara, akan ada orang yang mewakili keseluruhan spektrum politik, lihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat misalnya.

Mereka mengadakan ‘Tea Party’ (protes) yang telah mengucar-kacirkan seluruh proses politik di Amerika Syarikat.

“Tetapi nasib baik, kami tidak berdepan keadaan di tahap sebegitu di Malaysia. Namun kami ada mempunyai orang yang mungkin lebih konservatif dalam pandangan mereka. Kami ada orang yang lebih bimbangkan mengenai soal keseimbangan etnik di Malaysia,” katanya.

Memberikan contoh konflik di dunia Islam antara puak Syiah dan Sunnah Wal Jamaah, Najib menegaskan kesederhanaan merupakan satu-satunya jalan yang dapat memastikan keamanan dan kestabilan untuk umat Islam dan dunia keseluruhannya.

Beliau turut ditanya mengenai krisis politik di Mesir, yang menurut Najib perdamaian peringkat nasional diperlukan untuk menyelesaikan krisis itu.

Dalam wawancara selama 12 minit itu, Perdana Menteri turut memberitahu Amanpour bahawa dengan mandat diperolehnya daripada rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 dan dalam kalangan anggota Umno pada pemilihan parti yang baru berakhir, beliau optimis mampu meneruskan pembaharuan-pembaharuan itu dan memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Najib berkata beliau turut membuat beberapa perubahan penting di Malaysia sejak mengambil alih jawatan pada 2009, seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat, dan pada masa sama turut membenarkan perhimpunan aman diadakan.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) (gabungan parti pemerintah di Malaysia) terlibat dalam penipuan dan manipulasi undi dalam pilihan raya umum lepas.
“Pada dasarnya, tuduhan itu langsung tidak berasas. Mereka tidak dapat membuktikannya langsung. Misalnya, mereka mendakwa kami membawa masuk 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi dalam pilihan raya umum lepas.
“Dan sejak pilihan raya umum lepas, mereka masih tidak dapat mengemukakan sebarang bukti mengenainnya,” katanya.
Ditanya mengenai masalah aliran keluar golongan cerdik pandai atau ‘brain drain’ di Malaysia, Najib berkata kerajaan menyediakan lebih banyak peluang dan mewujudkan jawatan-jawatan dengan gaji tinggi sebagai antara strategi untuk mengatasi masalah itu.
Beliau berkata kaji selidik Bank Dunia baru-baru ini bagi kategori ‘mudah menjalankan perniagaan” telah meletakkan Malaysia di tangga keenam di dunia, peningkatan ketara daripada tempat ke-12 sebelum ini.
Ini mencerminkan kejayaan pembaharuan-pembaharuan yang telah dilakukan di dalam negara, katanya. – BERNAMA

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments