Dalam satu penyelidikan yang dilakukan di Madrid, Sepanyol, sekumpulan saintis mendakwa jangka hayat seseorang manusia boleh diukur secara biologi. Dengan hanya melakukan ujian darah, seseorang boleh mengetahui bilakah dia akan meninggal dunia.
Kromosom Telomere.
Kaedah ujian darah itu dilakukan dengan cara mengukur komposisi jenis kromosom di dalam tubuh seseorang. Komposisi kromosom ini disebut sebagai telomere dan tahap ukurannya boleh dibuat dengan mudah iaitu melalui ujian darah.
Telomere diyakini oleh para penyelidik sebagai satu daripada penunjuk penuaan sel tubuh yang paling signifikan dan tepat. Dengan kata lain, ketika penuaan sel mencapai tahap tertentu, ia boleh ditafsirkan sebahai tahap terakhir seseorang itu mampu melakukan aktiviti.
Tahap ukuran usia ini tentunya tidak termasuk faktor luaran lain seperti kemalangan atau penyakit yang secara tiba-tiba menyerang.
Dengan menjalani ujian Telomere, umur biologi boleh menjadi salah satu petunjuk bilakah usia seseorang itu akan berakhir. Atau dengan kata lain, seseorang akan dapat mengetahui bilakah mereka akan menghembuskan nafas yang terakhir.
Menurut salah seorang penyelidik dari Pusat Penyelidikan Kanser Nasional Sepanyol, Dr. Maria Blasco, sama ada tua atau muda usia biologi seseorang boleh diukur berdasarkan panjang telemore mereka.
Dr. Maria Blasco.
Semakin panjang ukuran Telomere, maka semakin tinggilah usia atau jangka hayat seseorang.
Menurut Dr. Maria Blasco lagi, usia biologi adalah berbeza dengan usia nyata yang dimiliki oleh seseorang manusia.
Sebagai contoh, lelaki yang berusia 65 tahun berkemungkinan mempunyai usia biologi yang lebih muda daripada lelaki yang berusia 45 tahun dan lelaki yang berusia 45 tahun berkemungkinan pula mempunyai usia yang lebih pendek daripada itu.
Secara teorinya, Telomere berfungsi untuk melindungi DNA di dalam tubuh seseorang daripada sebarang gangguan dan kerosakan.
Bahagian inilah yang mengandungi segala maklumat yang diperlukan untuk proses mitosis ataupun pembahagian sel.
Seperti yang diketahui, sel-sel didalam tubuh kita akan mati dan sel-sel inilah yang perlu diganti. Dengan adanya Telomere, maklumat dapat diberikan agar sel-sel baru boleh terbentuk.
Seiring dengan peningkatan usia, fungsi telemore menjadi semakin berat. Maka, tahap kepanjangannya akan mengalami penyusutan dan telemore menjadi semakin memendek. Sampai ke satu tahap tertentu, Telomere akan habis dengan sendirinya.
Ketika usia seseorang semakin mencapai usia separuh abad, tahap penyusutan ini mencapai satu titik di mana telemore tidak mampu lagi berfungsi untuk melindungi DNA.
Keadaan itu akan menjadi semakin buruk apabila sel-sel tubuh mula memisah. Kesannya adalah kulit akan menjadi longgar dan berkedut, daya tahan tubuh menjadi tidak berkesan dan penyakit-penyakit seperti diabetes dan jantung akan merebak dengan lebih agresif.
Penyelidikan berkaitan usia telemore bermula pada tahun 1984, apabila dua orang penyelidik dari England, Carol W. Greider dan Elizabeth Blackburn telah menemui sejenis enzim yang dipanggil telomerase. Enzim ini dikatakan boleh memanjangkan Telomere.
Dalam kesimpulan yang dilakukan, mereka mendapati apabila Telomere sentiasa kekal panjang, maka hayat seseorang akan menjadi lebih lama. Kedua-dua penyelidik itu juga mendakwa, penggunaan telomerase yang berpanjangan akan membuatkan seseorang tidak akan menjadi tua. Namun, fakta ini sukar dibuktikan kerana usia manusia sentiasa meningkat.
Berdasarkan rumusan itu, Dr. Maria Blasco telah mendapat tanda yang lebih baik dengan menyatakan jangka hayat seseorang boleh diukur berdasarkan tahap kepanjangan telomere di dalam tubuh.
Justeru, beliau bersama pasukan penyelidiknya telah mencipta sejenis peralatan yang mampu untuk mengukur telomere hanya melalui ujian darah.
Peralatan yang diberi nama Telomeres itu berharga sekitar RM2,000 dan akan dipasarkan ke seluruh England pada penghujung tahun 2013.
Pasukan penyelidik percaya ujian Telomere akan menjadi popular dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
Bagaimanapun, sesetengah saintis mempersoalkan nilai kepentingan peralatan ini kerana ia akan menimbulkan situasi yang boleh membimbangkan masyarakat.
Malah, mereka juga berpendapat, penjualan teknologi ini perlu dikawal dan tidak boleh dijual secara sewenang-wenangnya.
Selain itu, mereka turut bimbang dengan kemungkinan wujudnya organisasi tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menjual ramuan anti-penuaan dan bahan kimia palsu untuk memanjangkan usia.
Dalam masa yang sama, keputusan ujian usia ini juga boleh menjadi tarikan kepada syarikat insuran untuk mengubah polisi insuran hayat secara sesuka hati.
No comments
Post a Comment