Lebih kurang sebulan selepas kelahiran puteri sulung buat pasangan Shuib Sepahtu dan penyanyi Siti Sarah, Dzakira Talita Zahra, ibu kepada penyanyi tersebut iaitu Nooraini Mohamad, pula pergi menyambut seruan Illahi setelah beberapa tahun menderita menghidap penyakit 3 Serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
Portal Murai.com.my ada menyiarkan berita mengenai pemergian ibu Siti Sarah yang juga isteri kepada pelakon veteran, Raisuddin Hamzah itu dan Siti Sarah menyatakan kerelaannya kerana tidak sanggup lagi melihat ibunya terlantar sakit.
Namun begitu, baru-baru ini ketika ditemui di sebuah majlis anjuran KRU Music, perasaan sebak menyelubungi hati pelantun lagu Kesetiaan ini apabila membayangkan dia dan ahli keluarga akan menyambut Aidilfitri yang pertama tanpa ibu tercinta.
“Saya memang tak boleh nak cakap pasal ibu saya sebab sebagai seorang anak, saya tidak sanggup nak melihat keadaan dia begitu. Bila saya menjadi ibu, baru saya dapat menyelami apa yang ibu saya rasakan.
“Sepanjang masa saya bersama dengannya. Sampaikan telefon pun saya tak tahu letak di mana kerana saya jadi beremosi. Malas nak bercakap dan jawab telefon, semuanya rasa macam tak kena.
“Saya memang reda ibu tinggalkan kami, tapi ia merupakan kehilangan dan hakikat yang perit untuk diterima,”ujar Siti Sarah dalam nada tersekat-sekat mengenangkan arwah ibunya yang pergi pada 26 Jun lalu.
Selain daripada sibuk menguruskan dua orang anaknya, Uwais Al-Qarni dan Dzakira Talita Zahra, penyanyi ini akan melancarkan single terbarunya tidak lama lagi. Sambutan Aidilfitrinya tahun ini juga tidaklah semeriah selalu dan dia belum memutuskan untuk beraya di kampung ayahnya di Kuala Selangor atau di Kulai, Johor bersama keluarga Shuib.
No comments
Post a Comment