Bas shuttle henti-henti Genting yang terhumban ke dalam gaung dipercayai membawa lebih 40 orang penumpang ketika insiden itu iaitu di KM3.5 dari puncak Genting Highlands.
Setakat ini 10 mayat sudah ditemui manakala 15 lagi cedera apabila bas itu terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter, menurut laporan Berita Harian Online.
Menurut laporan blog Mazidul Akmal, kira-kira 50 orang penumpang berada di dalam bas itu kerana sebilangannya berdiri, setakat ini sembilan orang berjaya dinaikkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Sumber yang ditemubual Mazidul berkata setakat ini seorang maut dan ketika kejadian pelbagai etnik berada di dalam bas tidak kira Melayu, cina dan juga warga Bangladesh turut terlibat.
Mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian diberikan rawatan kecemasan segera sebelum dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.
Bas berkenaan yang membuat perjalanan dari Hentian Bas Pekeliling ke Genting Highlands dipercayai terhumban sedalam kira-kira 150 meter sehingga anggota bomba terpaksa menggunakan tali untuk menyelamatkan mangsa.
Wartawan mynewshub.my yang kerap berulang alik dari Genting Highlands memang mendapati bas berkenaan sering dibawa laju sama ada ketika naik ataupun turun dari pusat peranginan terkenal di dunia itu.
Jumlah penumpang yang dibawa menaiki bas berkenaan biasanya tidak pernah kosong dan pasti akan ada penumpang berdiri di dalam bas ketika perjalanan.
Beberapa kali juga, kelihatan bas berkenaan dilihat seperti hampir terbalik tatkala mengambil selekoh dan ia sentiasa membahayakan pengguna-pengguna jalanraya lain. – Mynewshub.my
No comments
Post a Comment