Patricia Cahiga menunjukkan ' aegyo sal' seakan-akan lingkaran gelap di bawah mata yang dibuat menggunakan teknik solekan. - Agensi
SEOUL 28 Julai - Wanita biasanya sanggup berbuat apa sahaja termasuk mengeluarkan duit lebih untuk menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata, namun berbeza bagi golongan itu di Korea Selatan yang mahukan ciri-ciri tersebut yang dianggap menarik.
Satu trend baharu dikenali sebagai 'aegyo sal' atau membuatkan bahagian bawah mata nampak berbonjol, kini menjadi kegilaan kerana ia disifatkan mampu menonjolkan mata wanita Korea yang kebiasannya kecil.
Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan bentuk bawah mata idaman itu sama ada melalui solekan atau melekatkan pita khas di bawah kulit, malah ada juga sesetengah wanita sanggup melakukan pembedahan plastik.
Blogger myfatpocket.com, Patricia Cahiga berkata, aegyo sal bukanlah lingkaran bawah mata yang terbentuk akibat kurang tidur atau disebabkan oleh genetik, namun merupakan lapisan kulit comel di bawah kelopak mata yang boleh membuatkan mata kelihatan lebih besar.
Laman web China, Weibo turut memaparkan video tentang cara-cara untuk mendapatkan ciri-ciri tersebut dengan menggunakan pita pelekat dan solekan.
Sementara itu, pemilik laman web Asian Eyelid Surgery, Dr. Kenneth Kim menjelaskan, prosedur pembedahan itu menjadi pilihan golongan wanita kerana ia memberikan penampilan lebih muda.
"Aegyo sal bukanlah lingkaran gelap bawah mata, tetapi ia mampu membuatkan mata seseorang nampak lebih cantik," ujarnya.
- AGENSI
No comments
Post a Comment