Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » [Wow] Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok!
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

Semasa di usia kanak-kanak dan remaja, kita menonton filem Pendekar Bujang Lapok hanya untuk ketawa, santai dan berhibur melihat telatah Ramlee, Aziz dan Sudin berpencak silat.
Hanya setelah dewasa barulah kita sedar P. Ramlee mahu menyampaikan pesanan yang penting kepada bangsanya.
Samseng-samseng yang bekerja di jeti penambang ini adalah lelaki-lelaki pongah, kasar dan mempunyai akhlak yang rendah.

Samseng berbaju hitam dan baju dalam berbelang hitam-putih seperti badan nyamuk aedes ini suka memaki-hamun sesama sendiri.

Mereka bertangan panjang, mencuri buah-buahan yang dibawa oleh penumpang. Menyamun duit tambang perahu, menindas para penumpang yang terdiri daripada orang bawahan serta mendahulukan gadis-gadis cantik untuk menaiki perahu.

Ah! Hipokrit! Kemudian mampirlah sebuah sampan mendekati jeti dengan membawa beberapa orang penumpang.

Daripada raut wajah si pengayuh dan penumpangnya dapat dilihat kepayahan memperjuangkan hidup. Potret lazim Melayu desa yang sentiasa dipanggang matahari panas dan berkeringat mencari sesuap nasi.

Daripada barang-barang dibawa ternyata mereka menaiki sampan untuk menjalankan kerja-kerja harian ataupun berdagang.

Apabila sampai di jeti penambang, ada ramai penumpang yang menunggu untuk menaiki sampan. Orang-orang yang menunggu di situ juga semuanya kelihatan sugul.

Antara yang menunggu lama itu adalah Wak Mustar bergelar 'Pendekar Pinang Sebatang', Wak Mustar merayu untuk menaiki sampan.

Kata Wak Mustar dengan lemah lembut: "Nak...bila pak cik boleh naik? Sudah lama tunggu di sini..."

Wak Mustar juga tidak mempunyai pilihan selain menunggu kerana jalan lain hanyalah berenang di sungai yang besar.

"Bising pulak! Pergi berenanglah Wak! Sungai besar, Wak!", kata salah seorang samseng penambang itu.

Apabila si tauke itu datang, samseng-samseng itu pergi menyambutnya dengan penuh hormat. Hal ini dikritik oleh Wak Mustar: "Mentang-mentang aku orang miskin kau tolak-tolakkan ya. Kamu semua pengampu, pengampu orang kaya!".

Kata-kata yang keluar daripada mulut Wak Mustar mungkin tidak pernah didengar oleh tauke. Dia terkejut dan berasa terhina.


Sebagai orang kaya, selalunya dia menerima puji-pujian atau seperti kata Wak Mustar, setiap masa dia diampu kerana dia orang kaya.

Mereka mengampu tauke yang merupakan pemilik penambang tersebut dan sanggup menolak penumpang lain ketika tauke hendak menaiki perahu, hinggalah Pendekar Mustar menyingsing lengan.

Nah, tibalah masanya buaya di sebalik sungai yang tenang sudah muncul menunjukkan diri! Satu persatu samseng diajar oleh Wak Mustar!


Pemberontakan Pendekar Mustar ini merangsang Ramlee, Azizi dan Sudin yang pada mulanya sekadar duduk di satu sudut bersenandung menggembirakan hati sendiri.

Walaupun tanpa gerak silat yang tersusun, kegigihan tiga bujang lapok ini menentang golongan samseng membuahkan hasil. Dan pemberontakan ini bukan untuk membunuh dan menjadi pemenang. Sekadar untuk mendapatkan sampan sahaja untuk ke seberang.

Tauke iaitu pengusaha sampan tambang ini hanya berseorangan sebenarnya. Kuasa yang ada padanya ialah kuasa wang.

Dengan wang dia menggaji samseng-samseng untuk menjalankan operasi di penambang, menjadi pengayuh sampan dan sebagainya.

Pekerja-pekerja ini merasakan diri mereka lebih tinggi kedudukan daripada penumpang-penumpang itu lalu berlagak dan menunjukkan kuasa.

Mereka juga bergantung kepada tauke yang menjadi pemodal untuk mendapatkan kerja. Hakikatnya, kesemua orang yang dipaparkan oleh P. Ramlee di dalam filem ini tidak ada pilihan.

Mereka ini bergantung kepada golongan penindas yang memiliki kemudahan untuk mendapatkan kerja dan memenuhi keperluan hidup.

Oleh kerana pergantungan ini, mereka tidak dapat bertindak walaupun dizalimi. Pergantungan ini menyebabkan mereka tertekan, kehilangan maruah diri dan menikus di hadapan penindas yang berkuasa.

Dengan kebijaksanaan P. Ramlee, filem Pendekar Bujang Lapok memberitahu kita bahawa peniaga yang menindas dan peniaga bersikap samseng dapat diajar jika masyarakat bersatu-padu, berilmu dan bangkit membela hak kepenggunaan masing-masing.

Dulu kita ketawa melihat adegan kemuncak di penambang di mana samseng, penindas dan orang asing dihumbankan ke dalam sungai.

Sekarang kita harus membantu Aziz Satar yang aktif membantu seniman Melayu yang dipinggirkan. Janganlah bila tiba masanya Pak Aziz sudah keseberang sana kita baru sibuk hendak mengangkat jasa-jasanya.


Usah lupa kirimkan doa kepada Sudin yang baru-baru ini telah menghadap Ilahi. Ramlee dan Sudin telah menyeberangi alam dunia yang fana ke alam baqa yang kekal nan abadi.

Pasti dua sahabat baik ini sudah tiba di seberang sana dan berbahagia hendaknya. Manakala melalui memori yang menjentik menerusi skrin hitam putih, perahu yang digunakan Ramlee, Aziz dan Sudin bersama Wak Mustar sudah berjaya menyeberangi sungai.

Tiga bujang ini pun menuntut ilmu silat bagi mempertahankan diri dan menuntut ilmu akademik untuk mengubah nasib diri yang mewakili nasib bangsa Melayu.

Inilah pesan P. Ramlee kepada kita yang masih berdiri di seberang sini. Memang patutlah P. Ramlee diangkat sebagai lagenda dan budayawan bangsa bahkan dunia!

Mungkin sebab inilah juga mengapa filem-filem P. Ramlee termasuk filem Pendekar Bujang Lapok terus popular tiada tandingannya sehingga kini!

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments