SEOUL – Syarikat pembekal perkhidmatan telefon bimbit utama di Korea Selatan, SK Telecom semalam memperkenalkan rangkaian mudah alih generasi baharu, LTE-Advanced (LTE-A) yang pertama di dunia.
Rangkaian terbaharu itu menawarkan kelajuan dua kali ganda berbanding rangkaian LTE sebelum ini. Ia juga sepuluh kali lebih pantas berbanding perkhidmatan telekomunikasi Generasi Ketiga (3G).
Perkhidmatan LTE-Advanced yang boleh didapati di Seoul dan 40 bandar lain tidak lama lagi itu akan membolehkan para pengguna untuk memuat turun sebuah filem hanya sekitar 40 saat.
Ia dilancarkan bersama versi LTE-A baharu telefon pintar Samsung Galaxy S4. SK Telecom menyatakan sebanyak enam model telefon pintar yang bersesuaian dijangka ditawarkan pada separuh masa kedua tahun ini.
“LTE-A akan menawarkan perkhidmatan tambah nilai mudah alih baharu yang boleh membawa perubahan inovatif kepada kehidupan pelanggan kami,” kata Presiden Network Business Operations di SK Telecom, Park In-Sik.
SK Telecom merancang menggunakan rangkaian baharu itu untuk melancarkan perkhidmatan panggilan video secara berkumpulan sehingga empat orang pengguna.
Ia didakwa akan mempunyai kualiti video 12 kali lebih baik. Selain kualiti audio dua kali ganda lebih jelas daripada perkhidmatan sedia ada.
Korea Selatan kini mempunyai sekitar 20 juta pengguna perkhidmatan 4G. – AFP
No comments
Post a Comment