Bau kaki atau bau pada kasut merupakan satu masalah bau pada tubuh yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mempengaruhi pergaulan dan kebersihan seseorang.
Seseorang yang mengalami masalah kaki berbau busuk dan masam akibat peluh pastinya berasa malu, rimas dan gusar untuk melakukan aktiviti seharian.
Masalah yang dialami kebanyakan orang itu juga mampu membuatkan orang di sekeliling mereka juga kurang selesa, tambahan pula jika baunya terlalu kuat.
Bagaimanapun, penghidap masalah ini seringkali memandang remeh, apa lagi cuba mendapatkan rawatan yang betul.
Hal itu terjadi mungkin kerana kurang pengetahuan untuk menangani masalah itu, tidak memahami kesan buruk dan malu bertemu doktor. Jadi sila lihat beberapa tips untuk mengelakkan kaki anda berbau.
15 TIP ELAK KAKI BERBAU:
1. Jaga kebersihan kaki
Ketika mandi, biasakan menggosok kaki sehingga bersih. Berusaha untuk menggunakan sabun antibakteria bagi membersihkan kaki. Sabun yang mengandungi sulfur sangat baik untuk menghilangkan bau. Paling penting, perlu mencuci kaki secara tetap dan teratur, kemudian mengeringkannya. Gosok dan sela jari untuk mengeluarkan sisa-sisa sel kulit mati.
2. Potong kuku
Potong dan bersihkan kuku kaki secara tetap dan teratur untuk menghindari penompokan kotoran. Kuman yang menempel di kuku menjadi salah satu faktor utama penyebab bau. Rajin-rajinlah memotong kuku. Jangan biarkan kotoran menompok.
3. Jangan guna losen pelembap sebelum memakai kasut
Kaki yang lembap punca bakteria membiak. Jangan mengoleskan krim pelembap sebelum memakai kasut terutamanya di antara jari-jari kaki. Sebaliknya, gunakan bedak antijamur. Losen pelembap boleh digunakan pada malam hari sebelum tidur.
4. Gunakan alas kaki ketika berjalan di luar rumah
Walaupun hanya di halaman rumah, pastikan pakai selipar/sandal. Hindari kebiasaan berkaki ayam kerana ia memudahkan kaki menjadi sarang bakteria. Sarang bakteria menimbulkan bau dan boleh mendatangkan penyakit.
5. Rajin ganti stokin
Jangan gunakan stokin sama selama berhari-hari. Jagalah kebersihan stokin kaki. Stokin kaki harus diganti sekurang-kurangnya dua hari sekali, bergantung kepada pemakaiannya.
6. Belilah stokin yang berkualiti
Pilih stokin yang betul dan jangan membeli stokin semata-mata kerana rupanya. Elakkan memakai stokin yang tidak menyerap peluh, kerana ia adalah punca kaki anda berbau.
7. Jangan pakai kasut dalam jangkamasa lama
Perbuatan memakai kasut tertutup dalam jangkamasa lama boleh menggalakkan perkembangan bakteria.
8. Tukar kasut
Kasut yang sudah dipakai selama 24 jam atau lebih perlu digantikan dengan kasut lain. Jangan lupa untuk membiarkan kasut ‘berehat’ sehari semalam sehingga bau hilang.
9. Kasut yang berbeza
Sesuaikan jenis kasut dengan kegiatan kamu. Seelok-eloknya, kasut kerja tidak digunakan untuk berjalan-jalan atau aktiviti luar yang mengeluarkan banyak peluh.
10. Cuci bahagian dalam kasut
Rajinlah mencuci bahagian dalam kasut untuk mengurangkan bakteria pada kasut. Bersihkan kasut kamu sekurang-kurangnya satu bulan dua kali.
11. Pilihan kasut
Kasut yang dibuat daripada plastik/pvc akan membuatkan kaki menjadi cepat panas dan berpeluh. Jadi, hindari kasut jenis itu. Bahagian dalam kasut yang baik adalah yang berasaskan kain. Kain dapat menyerap peluh dengan baik dan juga nyaman.
12. Saiz kasut
Memakai kasut terlalu ketat akan membuatkan kulit kaki sukar bernafas. Kuman dan kotoran yang wujud menimbulkan bau yang tidak enak.
13. Gunakan pelapik dalam kasut
Pelapik dalam kasut sangat bagus untuk dipakai kerana senang dikeluarkan daripada kasut untuk dibersihkan.
14. ‘Rumah’ kasut
Simpanlah kasut di tempat yang teduh dan aliran udaranya lancar. Dengan meletak gel silika di dalam kasut dapat menghindarkan bau-bau tidak enak. Gel silika menyerap bau dan kelembapan secara konsisten dan dapat ditempatkan di dalam kasut untuk jangka waktu cukup lama.
15. Jangan gunakan kasut dan stokin kaki yang belum kering
Jangan memaksa menggunakan kasut dan stokin kaki lembab kerana ia juga menggalakkan kehadiran bakteria yang pastinya menyebabkan bau kaki tidak enak. Jika kasut basah, letakkan di tempat terbuka.
No comments
Post a Comment